03 November 2010

Perbahasan Hukum Orang Yang Mati Terkena Peluru Sesat

Sumber : pmram-manhal.blogspot.com

PERSOALAN

Apakah hukum orang yang mati terkena peluru sesat Israel laknatullah,sedangkan dia tidak menyertai peperangan,adakah dianggap syahid atau tidak?

JAWAPAN :

Istilah dan pembahagian Syahid telah dijelaskan mengikut pandangan Fuqaha' sebagaimana berikut:

ISTILAH SYAHID

1) Ulama' Hanafiah: Individu yang dibunuh oleh golongan Musyrikin ataupun yang terbunuh didalam peperangan dengan mempunyai tanda-tanda yang yang jelas sama ada secara zahir atau batin seperti keluarnya darah dari mata ataupun anggota lain yang seumpamanya.

2) Ulama' Syafieah; Individu yang terbunuh dengan sebab memerangi golongan kuffar dengan niat ikhlas kerana AllahSWT secara berhadapan dan bukannya terbunuh semasa lari dari medan pertempuran.

3) Ulama' Hanafiah: Individu yang terbunuh didalam peperangan dengan golongan kuffar,lelaki atau wanita,beligh ataupun sebaliknya,samada dibunuh oleh kuffar atau dengan senjatanya sendiri ataupun terjatuh dari kenderaannya atau meninggal dunia tanpa terdapat kesan-kesan pada anggota badannya tetapi mempunyai niat yang ikhlas untuk berperang dijalan Allah SWT.

PEMBAHAGIAN SYAHID :

1) Syahid Dunia: Individu yang syahid berpandukan hukum dunia tetapi tidak mendapat pahala syuhada' di sisi Allah disebabkan terdapat unsur-unsur ketidakikhlasan dalam berjuang serta mempunyai kepentingan duniawi dalam melakukannya. Golongan ini tidak wajib disembahyangkan dan tidak dikafankan tetapi disemadikan dengan pakaian dan darah yang masih melekat pada tubuh badan mereka.

2) Syahid Dunia dan Akhirat: Individu yang berperang dalam serangan hendap dengan musuh dan terbunuh untuk menegakkan kalimah AllahSWT dengan niat yang ikhlas. Golongan ini tidak wajib disembahyangkan,tidak dikafankan dan jenazahnya disemadikan dengan pakaian dan darah yang masih melekat pada tubuh badan mereka.

3) Syahid Akhirat: Mereka yang mati kerana bencana alam,dibunuh secara zalim,mempertahankan hak,mati kerana sakit pada bahagian perut,wanita yang mati ketika melahirkan anak,mati lemas,mati ketika menuntut ilmu dan sebagainya. Jenazah mereka diuruskan seperti biasa.

Ulasan daripada; Syeikh Muhammad Al Khatib (Ulama' Al Azhar):

1) Persoalan ini hampir sama seperti yang pernah berlaku pada zaman RasulullahSAW ketika berlaku perang Uhud,ada seorang pemuda yang tidak dapat menyertai perang tersebut menyaksikan peperangan daripada jauh terkena anak panah dan mati. Kematiannya ini ditangisi oleh ibunya yang mempersoalkan kedudukan anaknya diakhirat nanti. Apabila beliau menimbulkan persoalan ini kepada Rasulullah SAW,baginda menjawab bahawa pemuda itu mati syahid.

2) Perkara pertama yang perlu dinilai ialah niat individu itu;

-Sekiranya dia melaknat Israel dan hatinya bersama mujahidin,maka dia dianggap terikat dengan perjuangan fisabillillah dan syahid sekalipun tidak menyertai peperangan.

-Sekiranya dia takut dan bersedia untuk memberi sumbangan dan kerjasama dengan pihak penjajah, maka Allah SWT sajalah yang layak menentukan kedudukannya.

KESIMPULAN

Secara umumnya Jumhur Fuqaha' tidak meletakkan hukum syahid hanya kepada orang yang dibunuh disebabkan tindakan musuh tetapi meliputii semua keadaan walaupun yang terbunuh hasil dari tindakannya memerangi musuh dengan niat yang ikhlas kepada AllahSWT.

Rujukan:

1. Hasyiah Ibnu 'Abidin - jilid 2 m.s 268
2. Qawanin Fiqhi m.s. 96
3. Al Qamus Fiqhi Lughatan Wa Istilahan m.s. 204(Abu Jib)
4. Syahid Fil Islam m.s.77 (Syeikh Hassan Kholid)
5. Ahkam Al Jana'iz Dirasah Fiqhiyah Jadid (Syeikh Muhammad Hassan)
6.Akhbar Afaq Arabiah.

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal