18 June 2010

Pendirian Ulama Terhadap Penulisan Mushaf - MANHAL



Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani

Telah berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan ulama berkenaan hukum beriltizam dengan penulisan 'Uthmani. Pendapat-pendapat tersebut ialah :

Pertama : WAJIB beriltizam dengan Rasm 'Uthmani pada penulisan mushaf. Ini ialah pendapat jumhur ulama salaf dan khalaf.

Kedua : TIDAK WAJIB beriltizam dengan Rasm 'Uthmani bahkan HARUS jika ingin menulis menggunakan kaedah Imlai (الإملائية) secara am. Antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Ibn Khaldun, al-Baqillani, dan sebahagian ulama hari ini.

Ketiga : HARUS untuk menulis mushaf kepada orang awam mengikut kaedah Imlai yang makruf di sisi mereka di samping dalam masa yang sama MESTI bagi golongan ulama memelihara Rasm 'Uthmani yang berada dalam mushaf. Imam az-Zarkashi adalah antara ulama yang berpegang kepada pendapat ini.

DALIL BAGI SETIAP PENDAPAT

Pendapat Pertama :

1. Sesungguh Nabi s.a.w. telah melantik dalam kalangan sahabat r.a. beberapa orang penulis wahyu. Para penulis wahyu tersebut telah menulis ayat-ayat suci al-Quran mengikut rasm yang ada di tangan kita sekarang (melainkan tanpa titik dan baris). Seterusnya telah membetulkan tulisan-tulisan mereka di hadapan Rasulullah s.a.w. sendiri. Setelah kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., penulisan mushaf kekal dalam bentuk tadi tanpa berlaku sebarang perubahan dan penukaran. Hal yang sama juga pada zaman Khalifah Abu Bakr as-Siddiq dan Khalifah 'Uthman bin 'Affan. Semasa Saidina 'Uthman menulis kembali mushaf, beliau telah menjadikan mushaf yang ditulis semasa zaman Abu Bakr sebagai rujukan utama. Bahkan umat Islam pada ketika itu telah ijmak dan bersepakat dengan kaedah penulisan tersebut tanpa berlaku sebarang bantahan. Demikianlah juga pada zaman tabi'in, tabi' tabi'in, dan imam-imam mujtahid. Kesemuanya bersetuju dan mengikut kaedah penulisan seperti sebelumnya. Dengan tercatatnya ijmak para sahabat dan golongan terdahulu terhadap bentuk penulisan 'Uthmani, maka TIDAK HARUS bagi kita untuk mengubahnya kepada bentuk penulisan lain. Sesungguhnya bentuk penulisan 'Uthmani ini ialah sebahagian daripada asas terbinanya rukun kesahihan bacaan (qiraat).

2. Terdapatnya nas yang jelas daripada ulama terdahulu tentang kewajipan mengikut kaedah Rasm 'Uthmani. Antaranya:

i. Imam as-Sakhawi telah meriwayatkan bahawa Malik bin Anas pernah diajukan soalan tentang adakah dia bersetuju sekiranya penulisan mushaf diperbaharui mengikut bentuk penulisan moden? Beliau lantas menyatakan tidak setuju dan menyuruh supaya ditulis mengikut bentuk sebelumnya.

ii. Berkata Imam Ahmad rahimahullah : Haram bagi kami menulis mushaf dengan bentuk penulisan yang berbeza dengan Rasm 'Uthmani sama pada و atau ي atau أ atau sebagainya.

iii. Imam an-Naisaburi pula berkata : Sesungguhnya wajib kepada Qurra (ahli al-Quran), ulama-ulama, dan para penulis untuk mengikut Rasm 'Uthmani semasa penulisan mushaf kerana itu ialah tulisan Zaid bin Thabit r.a. penulis wahyu juga tulisan Nabi s.a.w.

iv. Imam al-Ja'bari telah meriwayatkan bahawa semua Imam Empat telah berijmak pada wajibnya mengikut Rasm 'Uthmani semasa penulisan mushaf.

Pendapat Kedua :

1. Sesungguhnya tulisan dan garis tersebut tidak lain dan tidak bukan melainkan alamat dan simbol semata-mata. Setiap simbol mempamerkan perkataan dan cara baca bagi perkataan tersebut.

2. Rasm 'Uthmani telah menyebabkan pembacanya keliru dan susah untuk mengenal di samping payah untuk membacanya. Ini menyebabkan mereka tidak mampu untuk melafazkan bacaan secara sempurna seterusnya boleh menjauhkan mereka daripada mendapat pahala bacaan bahkan mendapat dosa pula. Manakala jika ditulis dengan kaedah Imlai, mereka pasti akan dapat membaca ayat-ayat al-Quran secara baik dan lancar.

3. Tidak wujud dalil yang menyatakan kewajipan mengikut Rasm 'Uthmani secara mutlak sama ada daripada sunnah, ijmak umat, ataupun qias syara'.

Pendapat Ketiga :

Berhujahkan bahawa umat Islam susah untuk membaca Rasm 'Uthmani, maka perlu diubah sedikit bentuk penulisan supaya mudah untuk dibaca. Tetapi dalam masa yang sama, mesti ada golongan yang memelihara bentuk penulisan 'Uthmani bagi menjaga kesinambungan penulisan sehingga kepada Nabi s.a.w.

Daripada pendapat-pendapat di atas, yang manakah menjadi pilihan?

Saya lebih cenderung kepada pendapat Dr. Abdul Karim iaitu yang pertama. Hujahnya ialah :

1. Nas-nas yang telah didatangkan oleh pendapat pertama daripada ulama terdahulu tentang kewajipan menulis mushaf mengikut kaedah Rasm 'Uthmani.

2. Bebas dan terpeliharanya Rasm 'Uthmani sejak zaman Saidina 'Uthman sehinggalah sekarang merupakan bukti bahawa tiada berlaku sebarang perubahan atau pertukaran pada bentuk penulisan terbabit melainkan beberapa penambahbaikan seperti titik dan baris.

Seandainya dibolehkan untuk ditulis dalam kaedah Imlai, nescaya akan berlaku banyak perubahan dan perbezaan kerana setiap negara mempunyai bacaan yang berlainan. Semestinya setiap daripada negara tersebut berlumba-lumba untuk mencipta bentuk penulisan sendiri. Ini bakal mengundang masalah yang lebih besar.

3. Kemungkinan besar perubahan bentuk penulisan ini akan menjadi faktor kepada terjejasnya I'jaz al-Quran itu sendiri sama ada dari segi I'jaz huruf, kalimah, baris, dan gaya bahasa. Kesannya akan menjadi parah seandainya tidak disekat sejak awal. Hal demikian ini ialah sekiranya berlaku perubahan dari segi baris sebagai contoh, semestinya akan berlaku perubahan juga dari segi I'rab. Seterusnya akan berlaku perubahan pada hukum yang terbit daripada I'rab tersebut. Sudah tentu anda sudah dapat bayangkan kesan-kesan selepas itu yang berbahaya kepada syara'.

4. Akan hilangnya sebilangan besar bahasa fushah atau bahasa standard. Juga jika hilangnya rasm, mana mungkin lagi dapat kita katakan bahawa al-Quran ialah أصدق الحديث iaitu sebaik-baik kalam.

5. Terputusnya sanad. Sebagaimana maklum, kesinambungan sanad amat dititikberatkan dalam periwayatan al-Quran sehingga dijadikan salah satu rukun.

6. Sesungguhnya terdapat pada Rasm 'Uthmani banyak faedah dan manfaat selain I'jaznya yang tersendiri.

Jawapan kepada hujah yang mengatakan Rasm 'Uthmani ini susah untuk dibaca

Pertama sekali pendapat ini adalah DITOLAK. Ini disebabkan proses pembelajaran al-Quran tidak hanya bergantung kepada penulisan sahaja. Bahkan MESTI melalui TALAQQI & MUSYAFAHAH (التلقي والمشافهة) dengan sheikh yang betul-betul menjaga hafalannya selain tekun dan teliti dalam bacaannya. Inilah perkara asal.

Firman Allah s.w.t. :

لا تحرك به لسانك لتعجل به . إن علينا جمعه وقرءانه . فإذا قرأنه فاتبع قرءانه

"Janganlah engkau menggerakkan lidah engkau untuk membaca al-Quran secara terburu-buru. Sesungguhnya urusan Kami mengumpulkannya dan membacakannya. Maka apabila Kami membacanya, turutlah bacaan tersebut." (al-Qiamah : 16-18)

Jelaslah kepada kita bahawa sesiapa yang membaca al-Quran secara talaqqi dan musyafahah hasil daripada ajaran Nabi s.a.w. yang melakukan perkara sama dengan Jibril a.s., nescaya tidak akan ada istilah susah atau sukar baginya dalam membaca al-Quran. Susah dan sukar itu hanyalah bagi mereka yang tidak bertalaqqi!

Kesimpulannya, WAJIB kepada setiap penulis untuk menggunakan kaedah Rasm 'Uthmani dalam penulisan mushaf tanpa ada sebarang perubahan pada kaedah tersebut. Semoga kita tergolong dalam kalangan ahli Quran seterusnya ahli Allah s.a.w. Amin...

Artikel Dipetik dari blog :

Wan Mohd Al Hafiz bin Wan Mustapa
Fellow MANHAL (Sekretariat Al-Quran & Qiraat)
www.cendiakawanalhafiz.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal