HARI PERTAMA (15 JUN 2010)
Hayyu Sabiek - Bertempat di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan di Hayyu Sabiek, telah berlangsung satu program di bawah anjuran program induk Liqa’ Mahabbah 2010 (LIMA 10). Program Akademi Du`at yang berlangsung selama dua hari, bermula pada 15 Jun 2010 dan berakhir pada 16 Jun 2010 disertai seramai 27 peserta daripada mahasiswa tahun satu DPM (MAQAZ) Shoubra.
Program Akademi Du`at dimulakan pada jam 8.30 pagi dengan ucapan perasmian oleh Ustaz Mohd Farkhan bin Md Zain, Naib Presiden III Persekutuan Republik Melayu Arab Mesir (PMRAM). Sebelum itu, majlis perasmian Akademi Du`at didahului dengan ucapan alu-aluan oleh pengarah program, Mohammad `Afif bin Abd Karim. Seterusnya, ucapan Setiausaha Agung DPM (MAQAZ) Shoubra merangkap pengarah program Liqa’ Mahabbah 2010, Ustaz Ahmad `Afif Zuhdi bin Ahmad Zaki.
Meneruskan lagi perjalanan program, para peserta disajikan dengan pengisian 1 yang bertajuk Fiqh Aulawiyat oleh Ustaz Abdul Mui`zz bin Mohamad, mantan presiden PMRAM 2009. Sejurus selepas peserta menikmati sajian sarapan pagi, peserta didedahkan pula dengan pengisian seterusnya yang bertajuk Skema Kertas Kerja & Surat Program oleh Ustaz Ahmad `Afif Zuhdi bin Ahmad Zaki, Setiausaha Agung PMRAM cawangan Shoubra. Seterusnya, peserta dilatih untuk menyediakan kertas kerja program melalui Gerak Kerja Berkumpulan (GKB). Setiap kumpulan GKB dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Tadbir DPM (MAQAZ) Shoubra yang bertindak sebagai fasilitator.
Demi mencapai matlamat program untuk melahirkan para du`at yang disegani, peserta Akademi Du`at didedahkan dengan Seni Komunikasi Berkesan yang disampaikan oleh Ustaz Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi, Naib Setiausaha Agung PMRAM 2010 merangkap Ketua Lajnah Pendaftaran. Selepas selesai menunaikan solat zohor dan makan tengah hari, program diteruskan lagi dengan pengisian yang bertajuk Pengurusan Stress yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil, mantan YDP Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir.
Perjalanan program diteruskan lagi dengan tayangan multimedia kemudian disambung dengan GKB yang seterusnya. Kali ini, para peserta dilatih oleh fasilitator cara untuk mengendalikan sesuatu majlis. Selesai GKB, majlis diteruskan dengan solat Asar secara berjemaah dan minum petang. Program ditangguhkan sekitar jam 4.45 petang.
HARI KEDUA (16 JUN 2010)
Sebagai santapan awal, peserta disajikan dengan pengisian bertajuk Fiqh Dakwah oleh Ustaz Hairul Nizam bin Mat Hussain, mantan presiden PMRAM 2005/2006. Selesai pengisian mengenai Fiqh Dakwah, para peserta didedahkan dengan Pengurusan & Pengendalian Mesyuarat serta Minit Mesyuarat yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Yazid bin Hanzir, Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir.
Program bersambung dengan pengisian Etika dan Protokol Majlis yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zahid bin Abu Bakar, Timbalan Setiausaha Agung PMRAM 2010. Selesai menjamu selera dengan hidangan sarapan pagi, para peserta dilatih untuk mengendali mesyuarat melalui GKB. Peserta kemudian menikmati jamuan tengah hari serta solat zohor.
Sekitar 2.30 petang, program diteruskan dengan talkshow “Warna-warni Dunia Kepimpinan” yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Azlan bin Haji Alias, Naib Presiden II PMRAM 2010 dan Ustazah Siti Anisah binti Ahmad, mantan ketua HEWI PMRAM 2009. Selesai talkshow, peserta didedahkan secara praktikal mengenai pembentangan kertas kerja melalui GKB. Program diteruskan dengan solat Asar berjemaah dan seterusnya para peserta menikmati hidangan minum petang.
Sekitar jam 5.00 petang, majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Ustaz Muhamad Zuhaili bin Saiman, Timbalan Presiden PMRAM 2010 merangkap Ketua Lajnah Perancang dan Panitia. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada perasmi sebagai tanda penghargaan di atas kesudian beliau untuk menjayakan program.
Program Akademi Du`at 2010 berakhir sekitar jam 5.45 petang dan disusuli dengan sesi fotografi bersama Timbalan Presiden PMRAM.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak PMRAM Pusat, PMRAM cawangan Shoubra, PMRAM cawangan Wilayah Persekutuan, PMRAM cawangan Pulau Pinang, serta kepada AJK Pelaksana & para peserta serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Akademi Du`at 2010. Semoga segala usaha yang dilakukan dinilai oleh Allah SWT.
0 comments:
Post a Comment