27 June 2010

Fiqh Tawaqqu' : Perancangan Strategi Menjaga Maqasid Syariah


Oleh : Abezuh (link)

Kesinambungan daripada fiqhul khamsah diteruskan lagi dengan beberapa ilmu senjata semasa, di antara yang terawal untuk difahami ialah fiqh tawaqqu'. Mungkin ramai yang masih tidak mengenali fiqh tawaqqu' bahkan tidak pernah tahu akan kewujudan fiqh tawaqqu' ini.

Walaubagaimana pun fiqh tawaqqu' ini merupakan istilah moden yang diberikan oleh para ulama dan pemikir namun intipati ilmu dan kefahaman di dalamnya sudah diterokai dan dicerna sejak sekian lama.

Fiqh tawaqqu' merupakan suatu ilmu di dalam merancang suatu jangkaan bagi masa depan, di dalam meraikan penjagaan maqasid syariah atas tunjang utama iaitu dharuriyat khamsah iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Iaitu fiqh tawaqqu' merupakan suatu ilmu khusus merancang bagi para alim dan pemikir dengan beberapa kaedah tertentu.

Dr Wahbah Az-Zuhaily menyatakan bahawa fiqh tawaqqu' merupakan penelitian di dalam mengeluarkan hukum daripada usul syariat bagi menjaga maslahat, menolak mudharat, dan menetapkan kaedah yang yang tepat yang dipraktikkan bagi kaedah sad zarai' . Dan keistimewaan di dalam fiqh tawaqqu' merangkumi ilmu fiqh iftiradi .

* Fiqh iftiradi ialah meletakkan suatu hukum bagi perancangan masa hadapan dengan jangkaan semata-mata tanpa ada panduan ke atas hukum yang sama yang berlaku semasa. Imam Abu Hanifah menyifatkan bahawa fiqh iftiradi sebagai persediaan awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak dijangka.

Dr Muhamad Kamal Imam, pengajar di Universiti Al-Azhar, Iskandariah menyifatkan fiqh tawaqqu' merupakan ilmu perancangan di dalam menggambarkan sesuatu situasi yang bakal berlaku di masa hadapan, dan menggunakan kaedah feqah bersesuaian usul dan maqasid syariah sebagai suatu persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Contoh situasi yang dinyatakan di dalam Al-Quran berdasarkan fiqh tawaqqu' ialah larangan mencela sembahan kaum musyrik kerana melihat kepada maslahat yang lebih utama dijaga kelak, iaitu mencegah celaan kepada Allah disebabkan celaan kepada sembahan mereka.

Begitu juga dengan larangan menjual senjata kepada mereka yang memusuhi Islam kerana bagi menjaga keselamatan dan keamanan orang Islam daripada serangan musuh tersebut apabila memiliki senjata.

Selain itu, seperti bank susu yang dibahaskan oleh para ulama semasa , yang mengharamkan bagi menjaga beberapa maslahat yang besar di antaranya percampuran nasab yang tidak terkawal.

Kesemua hukum tersebut adalah bagi sekiranya ia berlaku, iaitu di masa hadapan kerana menjaga maslahat berdasarkan hukum semasa atau jangkaan semata-mata berdasarkan kaedah yang sesuai dan tepat.

Maka inilah ilmu perancangan dan penyusunan strategi yang diajarkan oleh Islam bagi mejaga maslahat dan menolak dharurat berdasarkan maqasid syariah yang dituntut.

Justeru, Islam bukan sekadar terhenti atau kuno dengan zaman atau situasi yang terdahulu tanpa memikirkan suatu jangkaan di masa hadapan dan juga Islam tidak sewenang-wenangnya memberikan ruang merancang tanpa etika di dalam merujuk penjagaan maqasid syariah.

Ilmu-ilmu ini tidak mungkin dimiliki oleh mereka yang semata-mata menadah telinga dan hafal ilmu tanpa mencernakan ilmu dan apa jua yang dipelajari dalam bentuk memikir dan praktikal.

Jelas kita lihat hari ini, berapa banyak hukum kontemporari yang terhasil hasil jangkaan ulama di masa silam seperti bayi tabung uji, percampuran nasab melalui susuan, zakat ke atas matawang zaman ini dan sebagainya.

Maka, fiqh tawaqqu' merupakan ilmu yang penting dan penguasaan ilmu ini ialah : -

- fiqhul khamsah

- maqasid syariah

- pemahaman konsep sad zarai'

- fiqh maalat : penelitian ke atas kesan dan hasil daripada hukum bagi sesuatu cabang hukum syariat

P/S : setelah diteliti dan perbincangan bersama-sama sahabat-sahabat BP yang lain, baru sedar bahawa terlalu banyak permata atau ilmu senjata semasa yang sudah ditinggalkan oleh mahasiswa Islam zaman sekarang.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal