24 May 2010

Ugutan Tarik Zakat Dan ISA, Jangan Cabuli Perlembagaan


Oleh : Halis Fansuri (link)

Sejak kebelakangan ini, macam-macam kes yang berlaku, terutamanya yang berkaitan dengan Mahasiswa, penulisan saya kali ini berkaitan dengan mahasiswa dan undang-undang. Bagaimana anda hendak menjawab jika anda di dilafazkan dengan perkataan yang mengerikan, potong zakat? Sumbat ISA ? dsb..

ISU PERTAMA

BAGAIMANA JIKA ANDA DIUGUT UNTUK DITARIK ZAKAT, DERMASISWA ATAU YANG BERKAITAN DENGANNYA?

Usah gentar, kerana anda dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Jika anda diugut dengan penarikan bantuan pelajaran, ketahuilah sebenarnya mereka telah mencabuli hak asasi sebagai rakyat Malaysia. Dan hak anda dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan di bahagian 2 fasal 12 Hak-hak berkenaan dengan pelajaran (1)(a)(b) iaitu :

BAHAGIAN 2 PERLEMBAGAAN

KEBEBASAN ASASI

Perkara 12. Hak-hak berkenaan dengan pelajaran

(1) Dengan tidak menyentuh keluasan makna Perkara 8*, tidaklah boleh ada pembezaan terhadap mana-mana jua warganegara semata-mata oleh sebab ugama, kaum, keturunan atau tempat lahir-

(a) Dalam pentadbiran mana-mana yayasan pelajaran yang disenggara oleh sesuatu pihakberkuasa awam, dan, khususnya, tentang kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau tentang bayaran atau

(b) Tentang memperuntukkan bantuan kewangan dari wang sesuatu pihakberkuasa awam untuk menanggung murid-murid atau untuk pelajaran murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana yayasan pelajaran(sama ada disenggara atau tidak disenggara oleh sesuatu pihak berkuasa awam dan sama ada dalam atau luar Persekutuan)

*Apa yang disebut sebagi Perkara 8 di atas adalah fasal Sama Rata.

Sedikit saya akan menyebut mengenai Fasal ini.

Perkara 8. Sama Rata.

(1) Semua orang sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Maka jelaslah kepada kalian bahawa tiada sesiapa pun berhak untuk mencabuli hak asasi kalian sebagai warganegara Malaysia. Jika masih lagi ada yang menggertak kalian dengan penarikan bantuan pelajaran, maka baca Perlembagaan Persekutuan di hadanpannya, atau suruh sahaja dia balik menyemak semula Perlembagaan.

Jika anda membawa keperingkat yang lebih tinggi, anda ada harapan untuk mempertahankan hak kalian di muka pengadilan dengan memperuntukkan Fasal ini. Di Negara kita adanya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), jika ada diantara kalian yang melaporkan kepada mereka, pada bacaan saya, peguam bela kalian akan berhujah dengan Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan.

Minta kepada mereka, apakah faktor dan hujah mereka untuk menafikan peruntukkan

Perkara 12 ini diterima pakai, jika ada, sila minta untuk disebutkan supaya mereka boleh menarik bantuan pelajaran kalian.

Oleh itu, janganlah takut, anda punyai hak selaku warganegara.

ISU KEDUA


BAGAIMANA PULA JIKA SAYA DIUGUT UNTUK DISUMBATKAN DI DALAM ISA, ATAU PENJARA?

Usah gentar, kerana anda dilindungi oleh Akta.

Sejak dahulu lagi, ada dikalangan mahasiswa terutamanya dikalangan pimpinan PMRAM yang diugut untuk disumbatkan ke dalam ISA atau penjara dan sebagainya,

Saya akan menyentuh berkenaan Akta Keselamatan Dalm Negeri 1960, akta ini menghuraikan tentang hal-hal yang berkait berkenaan salah laku jenayah yang, kuasa penahanan, kuasa rampasan, perintah menteri dan sebagainya. Saya tidak menyentuh semua melainkan suku kesimpulan akta. Persoalan. Adakah perbuatan-perbuatan pimpinan PMRAM atau sesiapa sahaja yang diugut untuk ditahan ISA atau penjara selari dengan akta ini?

Berikut adalah tafsiran akta bagi kefahaman kepada pembaca mengenai akta ini,

AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI,

1960

(AKTA 82)

Suatu Akta bagi mengadakan peruntukan mengenai keselamatan dalam negeri Malaysia, tahanan pencegahan, pencegahan perbuatan subversif*, penghapusan keganasan berancang terhadap orang dan harta dalam kawasan-kawasan tertentu Malaysia, dan mengenai perkara-perkara yang bersampingan dengannya.

[Malaysia Barat-1hb Ogos, 1960;

Malaysia Timur-16hb September, 1963.]

BAHAWASANYA tindakan telah diambil dan tindakan selanjutnya adalah diancam oleh sekumpulan orang yang substansial* dari dalam dan luar Malaysia-

(1) Untuk menyebabkan keganasan berancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; dan

(2) Untuk mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah. Kerajaan Malaysia yang sah yang ditubuhkan menurut undang –undang;

DAN BAHAWASANYA tindakan yang diambil dan ancaman yang dibuat itu adalah mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia;

DAN BAHAWASANYA Parlimen berpendapat adalah perlu dihentikan atau dicegah tindakan itu;

Pembaca yang budiman, kini fahamilah kalian secara ringkas mengenai akta tersebut, oleh itu akta ini akan bertindak jika ada sebarang perbuatan subversif yang memudaratkan Negara,

Subversif mengikut tafsiran Syeksyen 3 Akta 82 (a)(b)(c) ialah perbuatan yang membangkitkan keganasan berancang terhadap orang atau harta di Malaysia, lagi ialah perbuatan bagi menyokong, mengembang atau menganjurkan apa-apa tindakan yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia.

Maka, perbuatan subversif manakah yang telah, sedang dilakukan oleh pimpinan PMRAM atau sesiapa sahaja yang telah diugut dengan ISA?

Jika ada sebarang ugutan mengenai ISA, maka suruh si ‘penggertak’ datangkan perbuatan subversif manakah yang berkaitan dengan gertakan tersebut, beserta bahan bukti, yang melogikkan. Kes ugutan ISA ini amat berat kerana berkait dengan kanun jenayah,

Seksyen 72(1) akta 82; menyebut bahawa kesalahan terhadap akta ini adalah kesalahan boleh ditangkap bagi maksud-maksud Kanun Prosedur Jenayah.

Apakah jenayah pimpinan PMRAM yang berstatus pelajar dan mahasiswa di sesebuah Universiti yang diiktiraf Negara?

Jika ada penggertak tersebut, maka sah bahawa mereka telah mempermain-mainkan akta ini untuk arahan bagi kalian agar menunduk kepada mereka. Bukankah mempersenda-sendakan undang-undang Negara adalah perkara yang kurang siuman dan berkemungkinan boleh dianggap mengingkari undang-undang persekutuan.

Adakah dengan kerana seseorang itu lantang bersuara, menulis menyebabkan mereka diugut untuk dihumban ke dalam ISA?

Perkara 10 Perlembagaan (a) hal yang berkaitan dengan KEBEBASAN BERCAKAP yang berbunyi;

Tiat-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran;

Lebih-lebih pula sebagai seorang mahasiswa, selayaknya dan lebih patut untuk bersuara dan mempertahankan dengan perkara yang dianggap hak dan betul. Mempertahan maruah itu suatu tuntutan Maqasid Syari’ah.

Penutup,

Adakah akta dan undang-undang di atas relevan di Mesir.?

JIKA BERLAKU PERLAKUAN YANG BERTENTANGAN DENGAN AKTA ATAU UNDANG-UNDANG DI ATAS, MAKA SESIAPA PUN TIDAK TERKECUALI UNTUK DIBAWA KEMUKA PENGADILAN.

Kerana undang-undang Malaysia berguna walaupun warganegara tersebut berada di luar Negara.

Hal ini selari dengan AKTA KESALAHAN-KESALAHAN DI LUAR NEGERI,1976.

Seksyen 2 (1)(a)(b)(iii)

Akta yang berbunyi,

AKTA KESALAHAN-KESALAHAN DI LUAR NEGERI,

1976 (Akta 163)

Seksyen 2. Kesan di luar negeri akan kesalahan yang dilakukan di luar Malaysia.

(1) (a) apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang yang bertulis yang dinyatakan dalam jadual, iaitu peruntukan-peruntukan yang berhubung dengan mewujudkan, dan mengadakan hukuman-hukuman bagi, kesalahan-kesalahan; atau

(2) Apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, yang perlakunya adalah diperakui oleh Peguam Negara sebagai menyentuh keselamatan Persekutuan,

Boleh, jika perbuatan atau kesalahan itu, mengikut mana yang berkenaan, dilakukan-

(iii) oleh seseorang warganegara atau seseorang permastautin tetap di mana-mana di luar kawasan Malaysia.

Dengan memperuntukkan akta ini, sesiapa pun yang berwarganegara Malaysia, tidak terkecuali untuk merima hukuman atau prosiding mahkamah jika telah melanggari atau bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan atau Undang-undang bertulis yang telah digesetkan oleh Badan Perundangan Persekutuan (parlimen).

Semoga penulisa ini serba sedikit dapat memberikan penerangan yang jelas sedikit mengenai undang-undang am Malaysia yang berkait dengan isu mahasiswa di Mesir. Semoga manfaat.

Pejuang keadilan undang-undang

Halis fansuri
Fakulti Syariah Dan Undang-Undang
University Al-Azhar As-Syarief

Glosari

*SUBSTANTIAL=teguh buatannya, kukuh
* SUBVERSIF= perbuatan menggulingkan kerajaan, ancaman Negara
*RUJUKAN;

#Perlembagaan Persekutuan [Hingga Jun 2009]
#Kamus Undang-Undang [ILBS]
#Undang-Undang Am Malaysia Jilid i,ii,iii,iv

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal