Bersambung lagi.. Ringkasan Kitab Falsafah Islamiah, Tahun 3 Usuluddin.. Di atas ini adalah gambar Ibnu Sina, sebagai aspirasi..
Bab Kedua
Falsafah Di Antara Ketulenan Dan Taqlid
Di dalam bab ini, mengkaji tentang Falsafah Islam dari aspek ketulenannya, mahupun peniruannya terhadap falsafah atau pemikiran-pemikiran luar semata-mata. Maka, di dalam memahami tentang perkara ini, kita perlu mengetahui terlebih dahulu asal usul falsafah.
Asal Usul Falsafah
Di sana terdapat dua pandangan dalam meletakkan asal usul falsafah. Ia berkaitan dengan tajuk ini, bagi memahami samada Falsafah Islam itu hanyalah taqlid dengan Yunan, atau ia mempunyai keasliannya tersendiri.
a) Pandangan pertama
Pandangan pertama mengatakan bahawa Falsafah secara umumnya bermula dari Yunan. Golongan ini boleh dikatakan “taksub”, samada taksub agama ataupun taksub jenis.
i) Taksub Agama
Tinman (ahli falsafah Jerman hidup pada kurun ke 19) berkata bahawa Falsafah Islam yang dipegang oleh Masyarakat Arab banyak terpengaruh dengan Agama Nabi Muhammad SAW, yang menggabungkan di antara nafsu dan akal.
Tinman telah mendakwa empat perkara terhadap Islam :
• Kitab suci mereka (al Quran) menyekat pemikiran secara bebas
• Ahlus Sunnah adalah golongan yang hanya berpegang dengan nas-nas
• Mereka (Islam) banyak mencedok pemikiran Aristotle, sedangkan mereka tidak memahami alirannya (Aristotle) yang sebenar
• Tabiat mereka yang bersifat nasionalisme dan lebih cenderung kepada keraguan
Keempat-empat keraguan ini akan dijawab di dalam tajuk “Falsafah Di Dalam al Quran dan Menjawab Dakwaan Tinman” selepas ini.
Kesimpulannya, Tinman mendakwa bahawa Falsafah Islam tercemar keasliannya, dan banyak bertaqlid dengan Aristotle
ii) Taksub Jenis
Arenst Renan cuba menimbulkan spekulasi yang berkisar terhadap dua golongan, iaitu :
• Aria : satu kabilah yang hidup di Afghanistan sekitar 2000 SM, kemudian bermigrasi ke India. Beliau menisbahkan bahawa Eropah ini berasal daripada Kabilah Aria ini.
• Sami : satu kabilah yang di nisbahkan kepada Sam bin Nuh AS, yang menetap di Mesir, Syam dan Timur Tengah.
Beliau menyifatkan bahawa Kabilah Sami tidak berhak untuk mencanangkan pemikiran disebabkan mereka ketinggalan berbanding kabilah Aria. Bahkan Sami ini dikatakan tidak mempunyai kecerdikan dan tidak berkemampuan untuk memajukan manusia.
Beliau menisbah Kabilah Sami ini sebagai Arab, manakala Aria dinisbahkan sebagai Eropah. Maka, beliau boleh dikatakan sebagai “taksub jenis”.
Kesimpulannya, pandangan pertama ini menafikan keaslian Falsafah Islam, dan rendahnya nilai pemikiran masyarakat Arab, yang dinisbahkan kepada Islam.
b) Pandangan Kedua
Pandangan kedua mengatakan bahawa Falsafah mula muncul di Timur, lebih awal daripada Yunan. Perkara ini telah disebutkan oleh sejarawan yang bernama Deogen La Ares yang hidup pada kurun ke 3 SM. Selain itu, ia juga diakui oleh Faiber daripada Jerman.
Ia berdasarkan bukti bahawa Tales Multi (ahli Falsafah Pertama Yunan), Phitaghoras dan Plato pernah datang berkunjung ke Timur Kuno, untuk mencedok falsafah di timur.
Contohnya Tales mengatakan bahawa alam ini tercipta daripada air, dan pemikiran ini jugalah yang dipegang oleh golongan Kaldani yang lebih dahulu berpegang dengannya.
Kesimpulannya, falsafah sudah muncul di Timur terlebih dahulu. Manakala Falsafah Yunan adalah falsafah yang mula-mula tersusun dengan manhaj dan pemikiran. Ini kerana falsafah yang muncul di Timur, tidak tersusun, dan tidak bermanhaj dengan manhaj yang khusus.
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
0 comments:
Post a Comment