21 June 2010

Anda Tidak Akan Mampu Hentikan Putaran Bumi


Bumi sentiasa berputar, dan anda masih lagi di takuk hari-hari semalam. Hari ini anda belum boleh mengubah diri anda walaupun masa itu sentiasa berubah dari saat ke saat. Semalam anda membuang masa, hari ini anda mengulangi perkara yang sama. Masa berubah, dan anda masih lagi belum berubah.

Bumi sentiasa berputar, dan anda masih lena tidur. Bumi bergerak, dan ada masih lagi tidur. Masa tidak menunggu anda, tetapi anda menganggap masa itu terlalu lapang sehingga anda membuangnya. Anda menunggu hari esok sedangkan hari ini belum lagi habis tempohnya. Anda ingin mempercepatkan putaran bumi, sedangkan anda akan menyesali hari yang telah lepas.

Bumi sentiasa berputar, dan anda masih lagi malas. Bumi tidak pernah berehat, dan anda sentiasa mengatakan “tidak cukup rehat”. Ia bergerak, dan anda malas untuk mengejar hari-hari yang berlalu. Anda masih ingin cuba menghentikan putaran bumi, sedangkan anda tidak pernah terfikir untuk mengejarnya.

Bumi sentiasa berputar, dan anda masih lagi tidak bertindak. Anda menyesal dengan hari semalam, tetapi tiada tindakan untuk “sekarang” dan esok. Anda mempertikaikan itu dan ini, sedangkan bumi akan terus berputar tanpa mempedulikan penyesalan dan pertikaian anda. Anda mengatakan “kalau begini.. kan bagus”, tetapi bumi tetap tidak menghentikan putarannya dengan keluhan anda.

Bumi sentiasa berputar, tetapi anda tidak berpijak pada realiti. Anda suka mencari fantasi sedangkan bumi tidak menghentikan putarannya untuk memberi laluan kepada anda untuk berfantasi. Setelah selesai berfantasi, anda akan menyesali kerana masa itu berlalu. Tetapi anda masih lagi mengulangi fantasi tersebut di esok hari.

Wahai manusia yang kerdil, anda tak mampu hentikan putaran bumi.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal