Sumber : PMRAM.org
KAHERAH 27 Oktober - Majlis Pembacaan KUtub Sittah Siri II bermula pada hari ini dengan kehadiran daripada para peserta hampir mencecah 1100 orang.
Majlis yang dianjurkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir itu merupakan kesinambungan daripada majlis yang diadakan pada tahun lepas dengan jumlah peserta hampir 700 orang sahaja.
Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime dalam satu kenyataannya berharap agar program yang dijalankan ini akan mencapai matlamat dan hadaf yang disasarkan.
Menurutnya, PMRAM begitu serius dalam memastikan pembentukan minda mahasiswa kelas pertama.
Justeru kata beliau, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam untuk menyeimbangkan antara 2 ilmu dan thaqafah iaitu ilmu yang berbentuk fundamental (turathi) dan ilmu yang berbentuk kotemporari (muasarah).
Katanya lagi, memahami konsep yang diajarkan oleh Islam ini PMRAM sekali lagi menganjurkan Majlis Pembacaan Kutub Sittah pada tahun ini.
Ini katanya, demi melahirkan mahasiswa-mahasiswi yang mempunyai jati diri serta berintegriti daripada sudut ilmu dan thaqafah.
"PMRAM tidak mahu mahasiswa-mahasiswi Islam hanya mengambil keberkatan hadis Nabi SAW melalui sanad yang disampikan oleh masyaikh. Padahal maqasid (tujuan) daripada pengajian adalah untuk mengamalkannya. Lalu keberkatan akan muncul hasil keikhlasan amalan kita tadi". Ujar beliau ketika berucap dalam majlis perasmian program tersebut.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa keberkatan hadis Nabi SAW sama seperti keberkatan kitab Allah SWT sekiranya kita beramal dengannya. Amalan yang dilakukan tersebut demi mendapat keredhoan dan rahmat Allah SWT.
Majlis perasmian yang bermula pada jam 8.30 pagi tersebut dirasmikan oleh Sheikh Ustaz Doktor Muhammad Mahmud Abu Hasyim, Dekan Kuliyah Usuluddin, Kampus Zagazig sebagai pengganti kepada Al-Imam Al-Akbar Sheikhul Azhar Ustaz Doktor Ahmad Muhammad Toyyib.
0 comments:
Post a Comment