28 October 2009

Mimpi Indah Sebuah Kisah Cinta


Artikel ini ditulis mungkin agak gempak tajuknya, tetapi apabila saya mendengar ceritanya, agak sebak untuk diungkap dengan lidah. Isteriku yang baru sahaja saya kahwini, pernah berkata kepada saya..

“Dulu, Akmal pernah bermimpi duduk di tengah-tengah masjid mendengar sebuah forum. Seminggu selepas itu, Akmal berkahwin dengan ahli panel yang duduk di sebelah kiri sekali...”

Bila saya mendengar ungkapannya itu, agak terkejut... Sebak pun ada. Ya, ketika berforum di Masjid Lenggong seminggu sebelum perkahwinan, sememangnya saya adalah panel yang duduk di sebelah kiri sekali. Kebetulan pula isteri saya (ketika belum berkahwin), ketika itu duduk di bahagian tengah jemaah perempuan.

Saya bertanya lagi.. “Betulkah?” .... “Emm.. betul..” Isteriku menjawab...

Dia berkata lagi..

“Ketika mendengar abang berforum ketika itu, memang Akmal baru tersedar.. seolah-olah mimpi satu ketika dahulu menjadi kenyataan.. Seolah-olah kisah mimpi tersebut sedang berputar di hadapan mata...”

“Masya Allah...”

Saya bertanya lagi .. “Dalam mimpi tu, betulkah abang menjadi panel yang duduk di sebelah kiri sekali?...”

Isteriku menjawab.. “Akmal tak nampak muka panel tersebut ketika dalam mimpi.. namanya pun tak tahu..”

Berforum di Masjid Lenggong tersebut, sememangnya sudah dirancang untuk meletakkan wakil mahasiswa Perak Mesir sebagai salah seorang panel. Pada mulanya, saya diletakkan sebagai panel pertama.. dan Us Munawer sebagai panel kedua. Tetapi apabila berbincang, akhirnya Us Munawer diletakkan sebagai panel pertama.

Sudah pasti panel pertama perlu duduk di sebelah kanan, dan panel kedua di sebelah kiri pentas.. Apabila difikirkan, memang hebat susunan aturan Allah SWT. Ketika isteriku bermimpi, dia belum pun lagi mengenali saya...

Tetapi, ia tidak pula boleh dijadikan pegangan. Setiap mimpi yang dialami, bukanlah semuanya benar-benar belaka.. Lagi-lagi kalau tidur tidak berwudhu’..

Sepertimana yang telah disebutkan di dalam Muqaddimah Kitab Tafsir al Ahlam, mimpi terbahagi kepada tiga jenis.

Pertama ialah mimpi daripada Allah
Kedua ialah mimpi daripada mainan syaitan
Ketiga ialah mimpi disebabkan psikologi

Kita kenal dulu mimpi jenis yang kedua.. Tanda-tanda mimpi daripada mainan syaitan ialah “keterlaluan”. Contohnya mimpi terlalu sedih dan menyayat hati, mimpi yang menakutkan, mimpi yang terlalu menggembirakan dan sebagainya. Mimpi sehingga “basah” pun adalah mainan syaitan..

Ketiga pula ialah mimpi disebabkan psikologi. Contohnya seseorang yang sangat menginginkan sebuah kereta.. akhirnya dia berjaya memiliki kereta tersebut di dalam mimpi. Contoh yang lain, apabila kita terlalu merindui seseorang, akhirnya dia akan muncul di dalam mimpi kita..

Mimpi daripada Allah pula ialah mimpi yang bukan mainan syaitan, dan bukan disebabkan psikologi... Penjelasan ini adalah secara asasnya.

Pernah seseorang bertanya.. “Ustaz, kalau mimpi jumpa Rasulullah?”

Apabila soalan ini ditanyakan, teringat saya seorang hamba Allah (pelajar al Azhar).. pernah bertanya soalan yang sama.. Sebuah lagi kisah yang menyebabkan hati ini sebak.

Satu hari, di sebuah muhafazah... setelah selesai mengajar kelas tutorial, saya pun balik berehat. Tiba-tiba handphone saya berdering.. Setelah memperkenalkan diri sebagai anak murid yang mengikuti kelas tadi, dia bertanya.. “Ustaz, mimpi berjumpa Rasulullah ni,.. betul ke..?”

Saya pun menceritakan bahawa mimpi tersebut memang benar.. Allah yang bagi mimpi itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya...

Selang beberapa hari selepas itu, dia menelefon semula.. dan menceritakan perkara sebenar.. “Ustaz, sebenarnya saya bermimpi berjumpa Rasulullah...” Sebak saya mendengarnya.. Masya Allah.. Saya yang selama ini belum lagi mendapat mimpi seindah itu.

Dia bercerita lagi.. pada mulanya dia bermimpi datang belajar hadis bersama seorang yang tidak dikenali.. dan tidak ingat apa yang dipelajari.

Mimpi kedua menyusul selang beberapa hari selepas itu, ketika terlelap setelah selesai Solat Subuh, di atas sejadah.. dia bermimpi datang belajar sebuah hadis bersama seorang syeikh.. Hadis tersebut bermaksud :

“Taqwa itu di sini.. sambil Nabi Muhammad SAW mengetuk dadanya.. Nabi mengulanginya tiga kali..”

Selang beberapa hari selepas itu, dia bermimpi lagi.. kali ini dia bermimpi sedang bersolat berjemaah, dan Nabi Muhammad SAW mengimami jemaah tersebut.. Setelah selesai solat, Nabi SAW naik ke mimbar dan berkhutbah..

Dia bercerita lagi.. “Orang-orang yang sembahyang bersama semuanya tinggi-tinggi.. saya ni paras pinggang mereka sahaja.. "

Dia berkata kepada saya.. “Sebab itulah saya tanya ustaz.. tentang soalan ini..”

Memang saya kenal dengan dia.. kenal gitu-gitu je.. Dia memang seorang yang berakhlak. Namun, ingin dijelaskan di sini beberapa perkara :

- Syaitan tidak dapat menyerupai Nabi Muhammad SAW, walaupun ketika dalam mimpi. Maka, mimpi berjumpa Rasulullah bukanlah mainan..

- Mimpi tidak boleh dijadikan syariat.. Contohnya seseorang bermimpi menerima sebuah hadis yang menggubal Hukum Hudud.. Maka hadis yang diterima di dalam mimpi tersebut tidak boleh dijadikan syariat, bahkan tertolak kerana bertentang dengan syara’.

- Mimpi yang bertentangan dengan syara’ confirm tertolak.. Terdapat sebuah cerita berkenaannya.. Insya Allah akan diceritakan selepas ini.

- Mimpi boleh ditafsir, tetapi tidak boleh dijadikan pegangan (i’tikad) ..

Seorang hamba Allah yang telah murtad.. pernah bermimpi.. dan dia murtad disebabkan mimpinya. Dia berkata bahawa dia pernah dikurung di dalam penjara. Ketika itu, dia bermimpi nabi isa datang kepadanya, dan memegang tangannya. Lalu makhluk yang dikatakan nabi isa itu, mengajaknya untuk menganut agama kristian... Akhirnya dia disesatkan oleh syaitan disebabkan mimpinya itu..

Satu ketika dahulu, seorang hamba Allah (pelajar al Azhar), pernah bercerita kepada saya... Dia berkata bahawa dia pernah bermimpi belajar dengan Imam Ahmad bin Hanbal.. Apabila terjaga daripada tidur, dia menangis.. kerana rindukan ulama.. sebak dengan mimpi tersebut.. Inilah beberapa kisah yang pernah diceritakan kepada saya oleh tuan punya mimpi..

Akhir sekali, saya berkata kepada isteri saya.. “Jodoh itu di tangan Allah.. Dia yang tentukan.. Walaupun kita cuba mengahwini sejuta orang pun, dan berkawan dengan dua juta orang pun.. akhirnya kita tetap akan berkahwin dengan jodoh kita yang telah ditentukan itu.....”

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
dan Syahidatul Akmal binti Mohd Dahalan

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal