18 April 2010

Tukang Kutip Kotak Mati Dalam Kotak


Mayat Shwe Sava yang disumbat ke dalam kotak televisyen dijumpai di kawasan perindustrian di Jalan Telok Batu 36/1, Seksyen 36, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Sejak berada di negara ini lima tahun lalu, seorang pelarian Myanmar berusaha keras mencari rezeki dengan membeli kotak-kotak terpakai dan besi buruk di daerah ini bagi menyara kehidupannya empat beranak.

Namun semalam adalah nasib malang bagi lelaki itu apabila dia ditemui mati dalam sebuah kotak televisyen 21 inci yang dipercayai baru dibelinya.

Lebih menyedihkan apabila kotak televisyen yang berisi mayat itu diletakkan pula di atas besi letak barang motosikal jenis Suzuki 110 miliknya di sebuah kawasan perindustrian di Jalan Telok Batu 36/1, Seksyen 36 di sini.

Semasa mayat mangsa ditemui pada pukul 8.25 pagi itu, mangsa Myint Shwe Sava, 40, yang memegang dokumen pelarian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) mempunyai kesan kecederaan parah di kiri kepala.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, sebelum dibunuh, mangsa disyaki telah dirompak berdasarkan kehilangan beg duit, wang tunai dan telefon bimbit miliknya.

Menurut beliau, siasatan awal percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam kotak televisyen dan diletakkan di atas motosikal mangsa di lokasi kejadian kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Kampung Jawa di Klang.

"Mangsa mungkin telah dipukul bertubi-tubi dengan objek tumpul di bahagian kiri kepalanya menyebabkan dia mengalami pendarahan yang teruk sehingga menyebabkan kematian.

"Berdasarkan topi keledar mangsa yang dipenuhi air hujan, polis juga percaya mangsa dibunuh lebih enam jam sebelum mayatnya ditemui orang awam yang melalui kawasan kejadian," kata beliau di sini semalam.

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal