25 April 2010

Tiba-tiba Kena Tengking Dengan Pegawai JPMK, Apa Cerita?


Sebuah catatan duka yang dihadapi oleh seorang mahasiswa kita dari Tanta. Beliau meluahkannya di dalam Faridrashidi.com miliknya. Tindakan dan kata-kata busuk Pegawai JPMK memang jelas terserlah. Seolah-olah macam tak reti berperanan sebagai pegawai. Memang tahap hampeh. Di bawah ini catatan beliau yang tak pasal-pasal jadi mangsa.

Pejabat kedutaan Malaysia ketika itu penuh dihari pengunjung. Ada pelajar perubatan dan ada juga pelajar al-Azhar. Mereka juga ke sana atas urusan penting masing-masing. Tujuan saya tidak lain tidak bukan hanyalah atas dasar mahu menterjemahkan tasdiq kuliah serta mendapat cop pengesahan daripada pegawai JPMK.

Setiap urusan untuk mendapatkan zakat negeri, para pelajar wajib sertakan terjemahan pengesahan kuliah sebagai bukti. Urusan ini biasanya dibuat hanya setahun sekali bagi negeri Kedah. Tambahan pula untuk mendapatkan tasdiq kuliah adalah sukar. Jika bukan kerana alasan memperbaharui visa, maka bayaran pula dikenakan. Itu belum campur derita menunggu lambatnya masa pengurusan mereka. Jika tidak bernasib baik, pasti wajah kami merah padam dan telinga kepanasan menahan sabar.

Hanya kerana kalimat, “Bukraahh!!! Itla’ barraahh!!” (Esok dan sila keluar)

Urusan tasdiq berjaya diselesaikan. Saya terus ke pejabat sebelah untuk menemui Pegawai Atase Pendidikan. Saya mengetuk pintu dan meminta izin untuk masuk. Kelihatan seorang pegawai lelaki sedang berdiri di sebelah meja sambil mencekak pinggang.

“Kamu tahu tak ni pejabat apa?” Secara tiba-tiba soalan itu terpacul dibibirnya dengan nada sedikit meninggi. Berulang kali. Saya kehairanan.

“Ni pejabat kedutaan.” Jawab saya. Otak dan tubuh masih diulit letih bermuamalah dengan arab.

Saya menghulurkan fail untuk minta cop pengesahan. Dia menyuruh saya tandatangan dan catitkan butir peribadi. Saya menuruti sambil menelinga. Pegawai itu kembali bersuara.

“Awak tahu tak JPMK milik siapa? Arma?”

“Milik kedutaan..”

“Awak tahu siapa nama TYT?” Bertubi-tubi dia menanyakan soalan. Soalan-soalan yang ditanya langsung tidak berkaitan dengan urusan saya untuk mendapatkan cop pengesahan.

“Kalau macam nilah cara awak jawab, memang susah nak lulus interview.” Berdesing telinga saya mendengar kata-kata pedas itu.

“Sebenarnya apa masalah saya ni? Kalau saya salah cuba beritahu.” Saya kepanasan. Jawapan saya terembes nada kecewa. Kecewa dengan sikap tidak professional yang ditunjukkan.

Sudahlah jauh perjalanan dari Tanta menuju ke Mohandessen memakan masa 3 jam lebih. Itu belum campur masalah dan halangan yang dihadapi sepanjang perjalanan. Beberapa perkara terpaksa kami korbankan semata-mata mahu mendapatkan cop pengesahan. Dia terdiam sejenak dan terus mengecop salinan fotokopi yang saya kepilkan.

Saya keluar daripada pejabat iu dengan wajah hiba dan terkilan. Rasa hormat saya hilang terbang dituip ribut taufan entah kemana. Langkahan kaki menjadi longlai tak bermaya. Saya terus mendapatkan Ibrahim di luar. Segalanya saya cerita dan luahkan kepadanya. Kami meninggalkan pejabat itu bersama cerita-cerita yang pelbagai.

Kata Ibrahim, ramai mahasiswa dan mahasiswi pernah menerima nasib seperti saya. Tak tahu di mana silapnya. Adakah kerana PMRAM? Tetapi apa relevannya kami pula menjadi mangsa?

Marah saya kembali beransur hilang dicelahan keributan kota. Kami terus bercerita sambil menunggu bas.

Bayangkan, betapa sukarnya saya sebagai salah seorang pelajar miskin mahu mendapatkan secebis harta negeri. Zakat itu bukannya diberi setiap bulan, hanya diperolehi setahun sekali bergantung rezeki masing-masing. Mahu mendapatkannya pelbagai mehnah dan protokol tidak rasmi ditempuhi. Mahu berurusan dengan warga Mesir bukan seindah yang digambarkan. Ditengking, dimarahi dan segalanya dihadami lumat!

Hanya Allah SWT Maha Tahu perasaan kami yang berjauhan di batas perantauan ini. Pada hemat saya, sekurang-kurangnya dapatlah saya dan teman-teman merasai layanan mesra dan perkhidmatan memuaskan dari manusia sebangsa dan senegara. Rupa-rupanya indah rupa dari khabar. Saya kecewa bukan kerana saya diuji. Tetapi kecewa dengan layanan ‘mesra’ yang diberi kepada kami warga mahasiswa dan mahasiswi al-Azhar.

Peristiwa itu sebenarnya sudah berlalu beberapa tahun yang lalu dan watak mereka yang terlibat juga sudah berubah. Namun begitu, kisah itu masih segar diingatan saya, sukar untuk diluputkan. Mungkin diabadikan selama-lamanya – memori buat sang pengembara di kota penuh pancaroba menghadapi watak-watak dunia. Bukan membenci, tetapi biarlah ianya menjadi muhasabah berpanjangan.

Cukuplah, cukuplah dengan karenah birokrasi yang dipamerkan. Jadilah pegawai professional jika TIDAK MAHU KAMI MENJAUHI DARI KALIAN!

Demikianlah catatan beliau. Hakikatnya memang benar, ini bukan kali pertama. Memang sengaja mereka berbuat demikian. Nak tunjuk hebat dengan "kuasa hampeh" yang mereka ada? Konon. Hentikan semua ini. Jangan malukan diri sendiri di mata mahasiswa. Anda tu pegawai. Buat cara sebagai pegawai. Siapa atase pendidikan tu (tahun lepas)? Semua orang kenal.

Walaupun kisah ini terjadi pada tahun lepas, tetapi hakikatnya ia masih lagi diamalkan oleh Pegawai yang ada pada hari ini. Ya, amalan ini diwarisi turun temurun, sehinggalah ke hari ini. Seolah-olah mereka ini dilatih untuk berbuat demikian. Pelik.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal