27 April 2010

Pengerusi Dumyat Bertemu Amid Kuliah Bersama Pimpinan Wafidin Siang Tadi


Kisah pemindahan semua wafidin ke Kaherah semakin hangat. Baru sahaja disiarkan di dalam blog Rasmi PMRAM Cawangan Dumyat, tentang kalam rasmi daripada Pengerusi Dumyat sendiri. Link ada di sini

Assalamualaikum W.B.T

Segala puji bagi Allah S.W.T tuhan sekalian alam yang ditangan-Nyalah terletak segala kekuasaan. Salam dan selawat keatas pemimpin seluruh umat manusia, Nabi Muhammad SAW, beserta para sahabatnya, yang merupakan contoh tauladan terbaik sepanjang zaman.

Alhamdulillah pada hari ini 27/4/2010 satu pertemuan bersama Amid dan Mudir Am Kuliah Dirasat Islamiah Wal’Arabiah Dumyat telah berjaya diadakan, dan diantara yang turut hadir bersama saya di dalam perjumpaan tersebut ialah Ustaz Bashiruddin Rahmat (Ketua Forum Komunikasi dan Informasi Mahasiswa Indonesia Dumyat) dan Ustaz Ibrahim Ru’san Ghasi (Ketua Persatuan Pelajar Nusantara Dumyat).

Di dalam pertemuan tersebut Amid kuliah telah menyatakan dengan penuh yakin memang terdapat satu qarar yang menyatakan semua pelajar wafidin yang menuntut di Kuliah Dirasat Islamiah Wal’Arabiah Dumyat akan dipindahkan ke kaherah mulai tahun hadapan, mungkin ada berita yang kita terima dari muhafazah lain bahawasanya bila kita dipindahkan maka kita akan ditukarkan kepada Kuliah Ulum dan akan turun kepada tahun satu semula, tetapi berlainan di Dumyat ini dimana Amid Kuliah sendiri telah menyatakan hanya akan berlaku pertukaran tempat dan bukannya kuliah serta tahun, ini bermakna kita akan dapat menyempurnakan tahun pengajian dalam kuliah yang sama.

Di antara permintaan kami lagi di dalam pertemuan tersebut agar diadakan perjumpaan diantara Amid Kuliah dan Mudir Am bersama semua pelajar wafidin yang menuntut di sini, tetapi Amid kuliah telah berkata bahawasanya perjumpaan tidak perlu diadakan, apa yang dicadangkan ialah agar kita mengemukakan surat rayuan beserta hujah yang kuat untuk menghalang perpindahan ini terus kepada Pihak Al-Azhar pusat kerana beliau hanyalah orang yang menjalankan qarar tersebut dan tidak mampu untuk melakukan sebarang perubahan.

Kita dikejutkan dengan berita ini tatkala imtihan fasa dua hampir tiba, oleh itu saya mengharapkan kepada semua Mahasiswa Universiti Al-Azhar Dumyat untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada imtihan yang bakal menjelang.Mungkin juga Allah S.W.T hendak menguji kita semua adakah selama ini kita menuntut ilmu kerana Allah S.W.T atau kerana imtihan semata-mata, dan jika benarlah kita menuntut ilmu kerana Allah S.W.T kita akan tetap bersemangat untuk membaca kitab, mengulang kaji pelajaran dan membuat nota walaupun tiada imtihan.

Perpindahan ke Kaherah bukanlah alasan untuk kita lemah semangat dan tidak mahu lagi berusaha untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang di dalam Imtihan kali ini, andaikata inilah imtihan yang terakhir buat kita di Universiti Al-Azhar Dumyat ini maka buatlah yang terbaik wahai sahabatku sekalian.

Insyallah kami dari pihak AJKT PMRAM cawangan Dumyat akan berusaha dan bekerjasama dengan Persatuan Mahasiswa dari Indonesia dan Thailand bagi memastikan rancangan perpindahan ini tidak akan berjaya,apa yang kami harapkan agar kita sama-sama memohon doa dari Allah S.W.T dan melakukan solat hajat kerana Allah S.W.T sahajalah yang berkuasa untuk membuka hati-hati mereka yang bertanggungjawab seterusnya menggagalkan rancangan mereka ini,sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah S.W.T dan kita sebagai hambanya jangan pernah berputus asa.

“KEMANTAPAN FIKRAH,MEMBINA SYAKHSIAH”

Yang menjalankan amanah.

MOHD SHAIFUL KHAN BIN AHMAD
Pengerusi PMRAM Cawangan Dumyat 2009/2010)

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal