NASIHAT KEPADA YANG INGIN DATANG KE MESIR MELALUI AGEN
oleh : izzatkamal (link)
Assalamualaikum..
Alhamdulillah..
(artikel ini panjang, sila baca semua kerana dikhuatiri anda tersilap faham jika baca sesetengah. Dituju khas kepada sahabat-sahabat di Malaysia, dan ia tidak sesuai untuk pelajar-pelajar di Mesir memandangkan dijamah oleh suasana peperiksaan kerana dikhuatiri mengganggu emosi anda. Amaran keras: tidak sesuai untuk orang yang mempunyai emosi yang tinggi. Bacalah dengan tenang)
Setelah sekian lama memikirkan relevankah saya untuk menulis entry kali ini. Akhirnya saya gagahi jua keringat untuk menulis. Maafkan saya ayah li (Prof Razali Nawawi) selaku pengasas Akademik Quran, Ummi Medic mesir dan pihak-pihak agen yang lain. Berat untuk menulis, tetapi bila memikirkan kesannya yang lebih berat, saya memohon petunjuk dariNYA untuk menulis.
Tujuan entry ini bukannya hendak menjatuhkan sesiapa. Bukan juga untuk memecah-belahkan perpaduan. Bukan juga untuk mencari musuh. Tetapi ia atas kesedaran orang ramai termasuk saya berkenaan masalah ini.
Ramai ibu-bapa yang menghubungi saya untuk meminta pendapat berkenaan pembelajaran dalam bidang sains kesihatan di Mesir terutama di Mansurah. Saya kira entry kali ini memberi penjelasan pada semua terutama yang akan datang pada musim hadapan.
Nasihat pertama saya kepada yang ingin datang ke sini. Belajarlah betul-betul supaya kalian dapat keputusan yang cemerlang. Sekiranya berpeluang untuk mengambil bidang sains kesihatan di Malaysia, ambilah di sana. Saya kira ianya lebih baik. Sekiranya tidak berpeluang, cuba apply melalui JPA atau MARA untuk program ke timur tengah. Juga tidak berpeluang. Apply pula melalui Yayasan-yayasan negeri, kerana melalui yayasan-yayasan negeri peluang itu lebih mudah. Kepada anak-anak Kelantan mahupun mereka yang pernah bersekolah di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), peluang kalian amat terbuka luas, kerana kebiasaannya YIK mempunyai kouta yang banyak sedangkan yang datang tiap-tiap tahun tidak pernah memenuhi kouta itu.
Mungkin cara yang terakhir ialah apply melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Cara-caranya boleh dilihat di sini. Antara kelebihan sekiranya kalian apply melalui apa yang saya sebutkan di atas ialah, sekiranya kalian diterima oleh badan-badan tersebut, secara automatic kalian diterima oleh University-university di Mesir. Tapi mungkin juga sedikit masalah, nama kalian mungkin lambat sedikit naik di Universiti, tetapi jangan risau pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kalian. Yang kedua ialah kalian datang melalui jalan yang sah dan diiktiraf oleh kedua-dua KPT Malaysia dan Mesir, iaitu borang permohonan akan ditapis oleh KPT Malaysia kemudian akan dihantar melalui KPT Mesir, kemudian KPT Mesir lah berhak memutuskan kalian layak atau pun tidak untuk belajar di sini. Kemudian borang dan fail kalian akan diedarkan ke universiti-universiti di Mesir.
Kepada yang apply terus melalui KPT Malaysia, kemungkinan surat kelayakan kemasukan kalian ke Universiti lewat. Mungkin sangat-sangat lewat. Saya sendiri tidak tahu mengapa dan perkara ini telah saya adukan kepada Dato’ KSU KPT sendiri.
Sekiranya tidak berpeluang juga? Susah hendak dijawab. Hendak datang dengan AGEN? Juga susah hendak dijawab. Tapi secara jujurnya, jika adik saya yang sedang SPM tahun ini hendak datang dengan agen saya akan bantah.
Nasihat saya yang kedua, jika kalian tidak berpeluang ke Mesir melalui jalan yang sah, cuba fikirkan kembali, mungkin bukan takdir kalian untuk belajar di Mesir. Takut-takut kalian memaksa diri kalian, atau dipaksa oleh ibu bapa kalian, akhirnya kalian memang tidak dapat meneruskan pembelajaran di sini. Bidang sains kesihatan ini bukannya benda yang mudah. Ia memerlukan kemampuan dan minat yang mendalam. Mungkin kalian diperlukan untuk tenaga kerja yang lain.
Nasihat saya yang ketiga. Yang betul-betul hendak datang juga, walaupun dengan agen. Datanglah. insyaAllah kalian selamat dan dapat belajar di sini. Ini bumi Mesir. Bumi barokah. Tetapi pilihlah agen yang betul-betul kalian percayai kewibawaannya. Jangan mudah percaya janji-janji manis agen. Jangan mudah tertipu dengan iklan-iklan mereka, sebaliknya kalian tanyalah pendapat-pendapat mereka yang datang dengan agen kerana mereka itu lebih mengetahui baik dan buruknya satu-satu agen. Ini mengelakkan anda ditimpa masalah dikemudian hari. Jangan tanya saya, sebab saya takut saya condong kepada sesuatu pihak dan tidak pada pihak yang lain.
Nasihat saya yang keempat. Sekiranya kalian mempunyai masalah, sila lapor segera kepada agen yang membawa kalian ke sini. Dan pastikan agen tersebut memang betul-betul bertanggungjawab terhadap kalian. Jangan biarkan mereka lepas tangan begitu sahaja, yang mana akan membuatkan kalian merana kerana menanggung masalah sendirian dan lapor juga kepada persatuan ataupun pihak JPMK. Kalian ada hak untuk memaksa mereka kerana kalian adalah pelanggan mereka. Pastikan setiap sen yang kalian laburkan itu berbaloi. Ada satu kes junior saya, pergigian tahun 2 yang mana failnya tidak ada di Universiti, dia telah rujuk kepada agen yang dia sertai, tetapi tiada tindakan, akhirnya agen lain yang sanggup menolongnya.
Nasihat saya yang kelima, khususnya kepada agen-agen, mungkin saya sudah menyebutnya kepada beberapa pengurusan agen. Jangan terlalu pentingkan duit. Ia saya tahu, anda bawa pelajar ke sini merupakan satu perniagaan. Dan menjadi adat perniagaan jika mahu untung. Tapi perlu ditekankan tanggungjawab anda sebagai peniaga juga ada. Terimalah pelajar-pelajar yang memenuhi criteria yang telah ditetapkan. Jangan ambil pelajar secara semborono sahaja. Mungkin sahaja anda menafikan. Itu terpulanglah. Tapi selaku yang bertanggungjawab untuk bidang sains kesihatan di Malaysia kelak, anda juga pasti menerima kesannya. Dan jika anda berani, dedahkan sahaja siapa yang datang melalui anda dan kelayakan mereka!
Nasihat saya yang keenam. Juga kepada agen. Jagalah kesatuan antara pelajar anda dengan mereka yang datang bukan melalui anda, samada agen lain atau tajaan lain. Jangan diadakan jurang antara mereka. Hormatilah persatuan yang telah sedia ada. Anda masuk ke tempat orang lalu berlaku biadap? Saya rasa jika rumah anda dimasuki seseorang yang mungkin anda juga tidak mengenalinya, dan orang itu berlaku biadap dengan anda. Mungkin jua anda terus marah kepadanya. Isu kesatuan adalah isu yang amat penting. Sebab itu kepada pelajar-pelajar tidak kira datang dengan apa, tidak kira tajaan mana, tidak kira negeri mana, kita adalah satu. Satu Malaysia, satu University dan yang paling penting adalah satu aqidah. Jauhi perpecahan kerana ia tidak bermanafaat sedikit pun. Dan lakukan sebaliknya untuk kebaikan bersama. Jika kita berpecah musuh akan ketawakan kita. Maka saya menyeru untuk kita gunakan medium PERUBATAN yang telah sekian lama wujud untuk membina kesatuan kita.
Sebenarnya ada banyak lagi yang ingin saya tuliskan. Tetapi ini pun sudah mengambil masa yang lama. Masa yang terlalu mengekang. Tetapi terpaksa tulis untuk kepentingan saudara seagama dan sebangsa.
Mungkin sahaja ada pendapat yang menyokong kedatangan pelajar-pelajar sains kesihatan secara beramai-ramai bagi menyeimbangi peratusan melayu di dalam bidang ini di Malaysia. Mungkin mereka katakan bangsa cina di Taiwan dan bangsa india di India. Kalau macam itu saya sudah lama setuju, Cuma yang saya tidak setuju ialah penghantaran pelaja-pelajar ke mana-mana tempat, tidak kiralah di Mesir ke, Taiwan ke, India ke mestilah memenuhi prosedur yang telah ditetapkan. Melalui syarat yang telah KPT tetapkan. Ingat doctor ini fungsinya merawat penyakit. Jika tidak berkelayakan. Yang tidak sakit boleh jadi sakit, apatah lagi yang telah sakit. Mungkin nyawa anda juga terancam! Doktor ini buka perkara yang main-main atau yang suka-suka. Nyawa orang bukan seperti buah appel kata sahabat saya.
Akhirnya, saya memohon maaf terutama kepada adik-adik yang telah datang dengan agen. Jika anda menyesal datang dengan agen, tunjukilah kekesalan itu dengan belajar dengan bersungguh-sungguh. Dan ianya bukan salah kalian 100% jika datang dengan agen. Mungkin jua salah KPT dan PERUBATAN yang tidak memberikan maklumat yang terperinci untuk datang ke sini, mungkin jua salah agen yang terlalu menjanjikan janji-janji manis kepada kalian sehingga kalian tertipu dan mungkin jua salah ibu bapa kalian yang terlalu cita-citakan kalian menjadi doctor.
Saya juga memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terasa. Bukan niat hendak menjatuhkan anda, tapi selaku yang bertanggungjawab menjelaskan kepada mereka yang bercita-cita ke Mesir tetapi tidak mempunyai gambaran yang jelas tentangnya. Saya tidak mahu saudara seagama terus menjadi mangsa. Ia juga atas permintaan adik-adik yang datang melalui agen yang tidak berapa berani untuk meluahkan apa yang mereka rasai.
Buatlah sesuatu perkara yang mana dalam satu masa ia memberikan manafaat kepada anda dan orang lain. InsyaALLAH pahalanya besar. Sekiranya ada kenyataan saya di dalam entry kali ini menyalahi fakta, saya berlapang dada, dan sila betulkan. Ini adalah pendirian peribadi, dan tiada kena mengena dengan mana-mana pihak.
by,
izzatkamal
izzat_kamal@yahoo.com
+20112667273
wallahu'alam.
p/s : Sebarang penulisan "orang lain" yang disiarkan tidak menggambarkan pemilik blog ini. WaLlahua'lam
0 comments:
Post a Comment