15 June 2010

Tindakan Meluluskan Lesen Judi Adalah Bodoh Dan Dangkal


KUALA LUMPUR, 15 Jun : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Umno berhubung pemberian lesen pertaruhan bola sepak sebagai bodoh dan dangkal.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, ini berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang meminta mereka yang membuat pelbagai dakwaan berhubung perkara itu agar tampil menyumbang idea untuk mencegah isu perjudian haram.

Hishammuddin memberikan kenyataan itu ketika ditanya oleh wartawan selepas menerima kunjungan delegasi Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Tahanan Arbitrari di Parlimen tempoh hari.

Beliau juga menyeru kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) agar memberikan cadangan supaya kerajaan boleh buat keputusan dalam membanteras ekonomi hitam daripada membuat bising.

Terbaru, kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Rally 1Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil petang kelmarin.

Bagi Nasrudin, Khairy terus menunjukkan kebodohannya dengan mencabar negeri Pakatan Rakyat (PR) agar menutup premis judi yang sedia ada sambil mengatakan bahawa perhimpunan yang akan diadakan oleh PR sebagai tidak lebih daripada ‘mempolitikkan keadaan’.

“Ucapan-ucapan ini jelas menunjukkan sikap ‘hipokrit’ pemimpin Umno selain jelas menunjukkan sikap mereka yang sememangnya tidak cerdik dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, undang-undang jelas menyatakan yang semua lesen perjudian dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan sedangkan kerajaan negeri hanya bertanggungjawab terhadap premis judi sahaja di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1961.

Katanya lagi, premis judi yang ada sekarang ini di bawah negeri PR adalah warisan Umno kerana diluluskan oleh mereka sebelum PR mengambil alih pemerintahan negeri.

“Kemudiannya berkaitan kenyataan yang dibuat oleh Hishammuddin Hussein seolah-olah sebelum ini belum ada pihak yang memberikan cadangan berkaitan judi sedangkan PR umumnya dan PAS khasnya dalam ceramah-ceramah umum serta di dalam Parlimen sentiasa memberikan cadangan agar judi ini dimansuhkan secara total dan diterapkan nilai-nilai agama di dalam masyarakat serta memberikan pendidikan secara mendalam tentang bahaya judi kepada intitusi kekeluargaan dan masyarakat,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan mengambil jalan dengan memekakkan telinga malah membakulsampahkan setiap pandangan yang diberikan kerana sudah memang dasar Umno yang ‘bertuhankan’ keduniaan semata-mata, tetap ‘menghalalkan’ judi kerana pulangan yang lumayan.

Dalam masa yang sama, tambahnya rakyat dibiarkan dalam keadaan yang lalai dan leka dengan sibuk akan hal berjudi tanpa memikirkan apa yang berlaku di sekitar walaupun ianya melibatkan kedaulatan negara dan keruntuhan sosial.

“DPPP mencabar pihak yang mengeluarkan kenyataan ini agar membuat satu usul ke Parlimen supaya sebarang lesen judi yang telah dikeluarkan ditarik balik memandangkan mereka juga ahli Parlimen demi untuk memastikan rakyat Malaysia terpelihara daripada melakukan dosa,” tegasnya.

DPPP juga, tegasnya lagi mencabar Pemuda Umno agar bersama-sama menyertai Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) seperti mana yang ditunjukkan oleh Pemuda Gerakan serta turut sama berdemo pada 3 Julai nanti untuk menghantar memorandum kepada Yang di- Pertuan Agong di Istana Negara.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal