10 June 2010

Kursus Di Darul Ifta Disiarkan Di Web JAKIM


Laporan dari Peserta Darul Ifta' Mesir : Kursus Berlangsung dengan Jayanya

Kursus Pengurusan Dakwah dan Pengendalian Fatwa secara rasminya telah bermula pada 3 Mei 2010 di Darul Ifta’ Mesir dan akan berakhir pada 19 Julai 2010. Kursus ini disertai oleh 17 orang pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Mufti Negeri dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sepanjang tempoh 4 minggu Kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai subjek dan pengajian yang berkaitan dengan pengurusan dakwah dan kemahiran kefatwaan contohnya subjek Usul Fiqh, Fiqh Perbandingan, Ekonomi Islam, Aqidah dan Akhlak, Aplikasi Fiqh Semasa, Adab-adab komukasi dakwah dan sebagainya.

Antara tokoh ilmuan yang telah memberikan mutiara ilmu sepanjang Kursus ini ialah Sheikh Prof. Dr. Muhd. Wasil (Timbalan Sheikhul Azhar), Sheikh Prof. Dr. Abdul Fatah Sheikh (mantan Rektor Universiti Al- Azhar), Sheikh Prof. Dr. Hamid Muhammad Abu Talib (Dekan, Kuliyyah Syariah Universiti Al- Azhar), Sheikh Prof. Dr. Abdul Halim Omar (Profesor Ekonomi Universiti al- Azhar dan anggota Akademi Fiqh Islam Antarabangsa) dan lain- lain.

Dalam kepadatan jadual pengajian harian, para peserta Kursus juga telah membuat beberapa lawatan rasmi kepada institusi dan tokoh seperti berikut;

i) Kedutaan ke Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir pada 10Mei 2010

ii) Lawatan rasmi kepada Sheikh Sayyid Ali Abdul Majid Abd al-Sami’, Hakim Majlis Tilawah Al- Quran Peringkat Antarabangsa anjuran Jakim pada 14 Mei 2010

iii) Perpustakaan Universiti al- Azhar pada 19 Mei 2010

iv) Pejabat rasmi Sheikh Ali Jumaah, Mufti Negara Mesir di Darul Ifta’ Mesir pada 25 Mei 2010

Sempena lawatan kunjung hormat kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah Mesir, Y.Bhg. Tuan Shaiful Anuar Mohamad, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia, Kaherah, Mesir, dalam ucapan belau telah mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada seluruh peserta Kursus kerana telah terpilih mewakili Jabatan masing-masing untuk mengikuti Kursus ini. Beliau juga telah berpesan kepada para peserta untuk menggali sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman sepanjang Kursus berlangsung untuk dipraktik dan diaplikasikan mengikut acuan Malaysia untuk manfaat negara.

Di Perpustakaan Universiti Al-Azhar pula, para peserta telah didedahkan dengan khazanah-khazanah ilmiah, koleksi kitab, manuskrip klasik serta bahan kajian berusia ribuan tahun yang masih disimpan di perpustakaan tersebut. Para peserta juga telah dipersembahkan dengan kerja-kerja penyelenggaran khazanah klasik oleh pegawai perpustakaan.

Sementara itu, semasa sesi lawatan rasmi ke pejabat rasmi Mufti Negara Mesir di Darul Ifta’ Mesir, Sheikh Ali Jumaah telah menyampaikan amanat kepada seluruh peserta kursus untuk menguasai ilmu turath dan ilmu- ilmu berkaitan kefatwaan sebaik mungkin untuk diaplikasikan dalam konteks semasa pada hari ini.



Sheikh Prof. Dr. Muhammad Abdul Aziz Wasil, Timbalan Sheikhul Azhar sedang menyampaikan syarahan.




Tuan Haji Abdul Karim bin Zakaria, Ketua Peserta Kursus menyampaikan cenderamata kepada Tuan Shaiful Anuar bin Mohamad, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Mesir




Tuan Shaiful Anuar Mohamad sedang menyampaikan amanat.

Tarikh : 08 Jun 2010
Sumber : Unit Perhubungan Awam JAKIM
Editor : PRO JAKIM

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal