30 November 2009

Hari Raya Korban Bersama Medic Mesir

Pada 25 November saya telah dijemput oleh Perubatan Cawangan Iskandariah (PCI) untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Falsafah Korban Manifestasi Kehambaan". Pada keesokan harinya, saya dijemput pula oleh Perubatan Pusat untuk menyampaikan ceramah yang hampir sama, iaitu "Korban Augmentasi Keimanan".

Sebelum itu, pada 24 November, saya telah dijemput untuk mendiskusikan Bahagian Kedua, Kitab Apakah Ertinya Saya Memeluk Islam, oleh Dewan Perwakilan Mahasiswa Syoubra. Alhamdulillah, ketiga-tiga jemputan ini agak memberansangkan.

APa yang saya yakin, keinginan penonton yang menghadiri ketiga-tiga majlis ini bukanlah disebabkan saya, tetapi, atas dasar keinginan mereka untuk menghayati erti korban, dan kesungguhan mereka mendalami ilmu agama.

Ingat, ilmu itu bukanlah apa yang "diberitahu", tetapi ia perlu dipelajari.. Marilah berkorban untuk Islam. Berkorban bukan untuk tunjuk siapakah lagi hebat korbannya, tetapi keikhlasan itulah yang terutama.

Cebisan dari kisah dua orang anak Nabi Adam AS, Qabil dan Habil, yang telah disuruh oleh Allah SWT untuk mempersembahkan korban mereka. Betul, Allah tidak menilai harga korban tersebut, tetapi nilaian di sisi Allah adalah keikhlasan dalam berkorban.

Akhirnya, Allah telah memperkenankan korban Habil, dan menolak korban Qabil yang jelas tidak ikhlas kerana Allah. Bahkan korbannya hanyalah kerana untuk mengahwini dengan adik perempuannya semata-mata.. Ambillah iktibar.
Baca seterusnya

28 November 2009

Allah Bertutur Dalam Bahasa Apa?


Masih lagi timbul persoalan tentang Allah SWT. Adakah Allah SWT bertutur dengan menggunakan huruf? Atau mempunyai susunan perkataan sehingga membentuk ayat? Sekiranya “ya”, bagaimanakah pula boleh terjadi sedemikian sedangkan huruf itu makhluk, sedangkan Allah itu adalah Tuhan (bukan makhluk).

Bagaimanakah Tuhan yang bersifat qadim, boleh bertutur dengan susunan huruf yang bersifat hadis (dicipta)? Bukankah kalam Allah (al Quran) itu qadim? Ada pula yang bertanya, adakah Allah bertutur dalam bahasa Arab?

Sekiranya jawapannya “tidak”, maka apakah pula yang tertulis di dalam mushaf? Bukankah kita jelas melihat bahawa ayat-ayat al Quran ditulis dengan menggunakan huruf?

Maka, penjelasannya begini.

Apa yang perlu kita ketahui ialah :

- Kalam Allah adalah qadim, tidak berhuruf, tidak berbahasa dan tidak terdapat yang dihadapan atau yang tersusun di belakang

- Mushaf ditulis dengan menggunakan huruf (bahasa Arab), dan mempunyai susunan depan dan belakang, sedangkan kalam Allah bukanlah demikian. Mushaf adalah makhluk dan kalam Allah bukan makhluk

Tanpa selesai menjawab, timbul pula persoalan, adakah apa yang tertulis di dalam mushaf itu bukan kalam Allah? Tidak, apa yang tertulis di dalam mushaf itu adalah kalam Allah. Maka, penjelasan tentang perkara ini akan diterangkan selepas ini.

Perkara yang perlu kita ketahui juga ialah :

- Wahyu daripada Allah SWT kepada Malaikat Jibril AS tidak berhuruf, tidak berbahasa dan tidak mempunyai susunan depan mahupun belakang.

- Apabila disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, Malaikat Jibril membacakannya dalam bentuk berhuruf, berbahasa Arab, dan mempunyai susunannya.

Persoalan timbul pula, bagaimanakah Malaikat Jibril boleh mengolah wahyu tersebut sehingga boleh tersusun dalam bentuk bahasa dan ayat? Bagaimanakah Malaikat Jibril boleh menerima wahyu tersebut sedangkan ia tidak tersusun dan tidak berhuruf?

Mari kita selesaikan satu persatu permasalahan yang timbul.

Pertama

Apa yang tertulis di dalam al Quran adalah petunjuk kepada kalam Allah SWT yang sebenar. Contohnya kita menulis perkataan ALLAH di papan putih. Adakah Allah berada di papan putih? Kemudian kita menulis ALLAH yang kedua di papan putih yang sama. Adakah Allah itu dua? Maka, kedua-dua jawapan ini adalah “tidak”.

Ini kerana apa yang tertulis di papan putih itu hanya petunjuk kepada Allah yang sebenar. Apa yang tertulis di dalam mushaf itu bukanlah al Quran yang sebenarnya, tetapi membawa maksud kepada al Quran yang sebenar.

Contoh yang lain, di lebuh raya terdapat papan tanda yang tertulis “Ipoh 5 KM”. Seseorang bertanya “Di manakah Ipoh?”. Maka sudah pasti kita menjawab, Ipoh itu 5 KM di hadapan. Sangat peliklah sekiranya seseorang itu mengatakan bahawa Ipoh itu terdapat di papan tanda dan kedudukan Ipoh tersebut di sebelah lebuhraya. Lawak bukan?

Maka “ipoh” yang tertulis di papan tanda tersebut, bukanlah Ipoh yang sebenar. Sebaliknya ia adalah petunjuk (membawa maksud) kepada Ipoh yang sebenar. Sama seperti yang tertulis di dalam mushaf. Ia bukanlah kalam Allah yang sebenar, sebaliknya ia adalah petunjuk (membawa maksud) kepada kalamNya yang sebenar, iaitu tidak berhuruf dan tidak berbahasa.

Kedua

Kalam Allah adalah tidak berhuruf, tidak berbahasa, dan tidak tersusun samada di depan atau dibelakang. Kita boleh melihat contohnya yang paling jelas. Iaitu bahasa cinta. Adakah cinta itu berhuruf? Bagaimanakah kita boleh menyatakan cinta kepada seseorang? Bagaimanakah hendak mengungkapkan perasaan sayang kepada seseorang? Atau mengungkapkan cinta kepada kekasih? Sudah pasti ia tidak berhuruf, tidak berbahasa dan tidak tersusun depan mahupun belakang.

Kadangkala seseorang mengatakan, “saya cintakan kamu...” tetapi entah-entah dia itu adalah buaya. Kita bukannya tahu hakikat sebenar cinta itu. Mungkin penipu, dan mungkin juga benar. Kalau sekadar terungkap dengan lidah, bukanlah dinamakan cinta. Inilah salah satu contoh kalam yang tidak berhuruf, tidak berbahasa dan tidak tersusun. Tidak pelik bukan?

Kesimpulan

Kesimpulannya ialah, kalam Allah SWT adalah qadim, tidak berhuruf, tidak berbahasa dan tidak tersusun depan atau belakangnya. Manakala yang tertulis di dalam mushaf itu adalah petunjuk kepada al Quran yang sebenar, yang bersifat qadim. Mushaf pula dicipta dan bukannya qadim.

Di dalam solat, kita membaca al Quran, dan bukannya membaca mushaf. Bacaan kita adalah makhluk, tetapi ia menunjukkan (membawa maksud) kepada Kalam Allah SWT yang sebenar, yang qadim. Sekiranya kita membaca perkataan “Ipoh”, adakah Ipoh terletak di dalam mulut kita? Sudah pasti tidak. Tetapi ia bermaksud Ipoh yang sebenar.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Akidah dan Faslafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

27 November 2009

Nabi-nabi Hanya Disuruh Menyampaikan, Bukan Merebut Kuasa? Kefahaman Yang Perlu Diperbetulkan

Terkilan apabila mendengar pandangan manusia-manusia yang jahil. Mereka berhujah dengan mengatakan bahawa Allah tidak pernah menyuruh kita merebut kuasa, sebaliknya mengislah atau memperbaiki kerosakan yang ada.

Si jahil ini menambah lagi, contohnya kita lihat Nabi Musa AS. Di dalam al Quran menceritakan bahawa Allah memerintahkan kepada supaya menyampaikan Islam kepada pemerintah. Bukannya memerintahkan supaya Nabi Musa menjatuhkan Firaun, atau berebut kuasa dengan Firaun. Bahkan nabi-nabi terdahulu juga diperintahkan supaya menyampaikan dakwah, bukannya merebut kuasa dengan pemerintah..

Selain itu, dia juga berhujah bahawa Nabi Muhammad SAW tidak menggilakan kuasa berebut dengan penduduk Mekah. Sebaliknya beliau sendiri yang diangkat menjadi pemimpin Madinah oleh masyarakat Madinah sendiri. Ini membuktikan bahawa merebut kuasa itu bukanlah perintah Allah, tetapi apa yang diperintahkan cumalah menyampaikan Islam.

Wahai si jahil, jangan terlalu awal berhujah dengan kefahaman yang dangkal, dan dalil yang seciput. Saya bukan nak tunjuk hebat. Tetapi anda terang-terangan memanggil saya untuk “membantu” anda memahami situasi ini.

Satu

Perkara pertama yang perlu kita ketahui dan yakini ialah “Islam itu tinggi mengatasi semua benda yang lain, dan tiada yang dapat mengatasi ketinggiannya” (Maksud Hadis)

Maka, dengan mudahnya apabila Islam itu tinggi, adakah kita hendak biarkan Firaun bermaharajalela dengan pengakuannya sebagai tuhan? Di manakah ketinggian Islam sekiranya kita hanya menyampaikan Islam, kemudian membiarkan dia membuat keputusan samada untuk menerima Islam atau tidak?

Adakah anda sanggup melihat Islam itu diperintah oleh manusia yang mengaku dirinya tuhan? Atau sanggup berada di bawah punggung pemerintahan bukan Islam? Dimanakah ketinggian Islam dengan hanya cara ini?

Kedua

Contoh Nabi Sulaiman AS. Beliau adalah seorang yang berkuasa di zamannya. Manakala Balqis pula seorang raja perempuan bagi masyarakat yang menyembah api. Adakah Nabi Sulaiman diperintahkan merampas kuasa Balqis? Atau menyampaikan Islam? Sudah pasti beliau diperintahkan menyampaikan Islam kerana kekuasaan tersebut sudah menjadi milik Nabi Sulaiman.

Dalam kisah Nabi Musa AS, beliau disuruh berhadapan dengan Firaun, untuk meninggikan Islam. Bukan hanya sekadar menyampaikan dakwah, kemudian membiarkannya samada hendak ikut perintah tersebut atau tidak. Nabi Musa AS disuruh berhadapan dengan Firaun sehingga tertegaknya Islam, dan terhapusnya taghut yang dibawa oleh Firaun.

Ketiga

Nabi Muhammad SAW, ketika Baginda SAW di Madinah, tidak diperintahkan untuk berperang.. sehinggalah turunnya ayat yang menyuruh berbuat demikian. Baginda SAW juga memang tidak diperintahkan menjatuhkan kerajaan Musyrikin Mekah kerana kekuatan belum memadai untuk melaksanakannya.

Tetapi, apabila sudah sampai pada masanya, Allah SWT memerintahkan Baginda SAW untuk menjatuhkan kerajaan Mekah dan merampas kekuasaannya. Perkara ini jelas disebutkan. Apa yang berlaku kepada nabi-nabi terdahulu, mereka ditentang. Apabila dakwah disampaikan, dakwah tersebut ditentang. Adakah kita merasai bahawa tugas tersebut sudah diselesaikan dengan sempurna?

Keempat

Nabi-nabi terdahulu diseksa. Adakah kita masih berdiam diri dengan mengatakan bahawa, tugas kita hanya menyampaikan.. Biarlah depa nak seksa kita. Dimanakah ketinggian Islam? Undang-undang Islam tak terlaksana bahkan dipermainkan.. Dimanakah yang dikatakan ketinggian itu?

Wahai manusia, cara menyampaikan dakwah berperingkat. Merebut kuasa daripada pemerintah yang taghut itu adalah salah satu peringkat dalam penyampaian dakwah itu. Itulah yang dinamakan sebagai “Islam itu tinggi mengatasi semua benda yang lain, dan tiada yang dapat mengatasi ketinggiannya” (Maksud Hadis)

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Akidah dan Faslafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

26 November 2009

Lagi Orang Bertanya, “Kenapa Allah Tidak Cipta Semua Orang Beriman?”


Perkara yang perlu difahami dalam persoalan ini ialah, Allah mampu untuk mencipta semua orang beriman, dan Allah juga mampu untuk menjadikan semua orang ini kafir. Contohnya malaikat, kesemuanya dicipta dalam keadaan sentiasa taat kepada Allah SWT.

Mari kita bezakan di antara perbuatan yang terpaksa, dan perbuatan yang dilakukan dengan kehendak sendiri. Manusia diberikan peluang oleh Allah SWT untuk melakukan perbuatan dengan kehendak sendiri, kecuali beberapa perkara. Contohnya degupan jantung yang bergerak secara automatik, pernafasan yang berterusan walaupun kita sedang tidur dan sebagainya.

Kembali kepada persoalan. Hakikatnya kita “tidak perlu” untuk bertanya soalan seperti ini. Ini kerana soalan ini adalah ditujukan kepada Allah SWT!! Bukan kepada manusia macam kita. Maka, apa yang dilakukan oleh Allah, tidak perlu dipersoalkan.

Maka, jangan tanya soalan ini kepada saya, kerana saya juga dicipta seperti awak!

Selain itu, persoalan yang kita boleh lontarkan kepada orang kafir ialah, “wahai orang kafir, kenapa kamu tidak beriman?”. Dipersilakan tanya soalan ini kepada semua orang kafir, dan anda akan menemui jawapan, “kenapakah Allah tidak cipta semua orang beriman”... Fikirkan..

Jangan salahkan Allah SWT yang menciptakan manusia, tetapi salahkan mereka yang tidak mahu beriman.. Manusia diberi akal untuk berfikir, dan diberi kemampuan untuk menilai di antara keimanan mahupun kekafiran.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Akidah dan Faslafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

25 November 2009

Penghuni Syurga Kekal Selamanya, Adakah Mereka “Baqa”?

Baqa adalah sifat bagi Allah SWT. Setiap yang qadim itu baqa. Baqa ialah tiada kesudahan bagi kewujudannya. Tiada makhluk yang baqa atau tiada kesudahan bagi kewujudannya. Persoalan timbul apabila ada seseorang bertanya (berdasarkan artikel yang lepas), penghuni syurga kekal di dalam syurga, adakah mereka dianggap baqa?

Jawapannya “tidak”. Ini kerana terdapat perbezaan di antara “kekal” dan “tiada kesudahan bagi kewujudan”. Orang bertanya lagi, mereka yang duduk dalam syurga sampai bila? Sampai selama-lamanya itu, sampai bila?

Maka, bagi merungkaikan kepeningan ini, mari kita kembali kepada persoalan tentang masa (yang telah dijelaskan di dalam artikel lalu). Syurga atau neraka adalah sesuatu yang azali, iaitu dicipta sebelum terciptanya masa. Dan masa itu ialah putaran atau pergerakan cakerawala. Maka, syurga itu masih ada walaupun cakerawala sudah musnah ketika Hari Kiamat.

Ketika di dalam syurga atau neraka, persoalan masa sudah tidak timbul. Ini disebabkan tiada masa di syurga. Kenapa pula tiada masa? Ini kerana masa sudah pun musnah beserta kemusnahan alam ketika Hari Kiamat. Maka, di dalam syurga tiada lagi istilah tua dan muda, sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW. Semuanya sama sahaja.

Bahkan umur kita hari ini adalah disebabkan ukuran kita sahaja. Dan umur ini sudah tidak dihitung lagi di syurga. Itulah sebabnya hidup di syurga tidak tua-tua. Dan tiada istilah tua atau muda di sana. Maka, tidak mungkin seseorang akan bertanya “sampai bila kita berada di Syurga?”. Ketika di dunia, kita akan bertanya soalan ini kerana kita masih terikat dengan umur yang semakin bertambah.

Atau dengan kata lain, persoalan “bila” sudah tidak terpakai lagi. Kerana ia adalah persoalan ketika wujudnya masa. Apabila sudah tiada masa, maka tiada lagi persoalan tentang “bila”.

Kembali kepada persoalan asal. Kita dapat menyimpulkan bahawa penghuni syurga atau syurga itu sendiri ada penghujungnya (bukan baqa). Ini kerana ia adalah makhluk. Sesuatu yang hadis (mempunyai permulaan bagi kewujudannya) tidak mungkin baqa’ (tiada kesudahannya). Sebaliknya syurga itu hanyalah sesuatu yang masih kekal walaupun masa sudah tamat perkiraannya, atau dengan kata lain, sudah tiada istilah masa ketika itu.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

24 November 2009

Jawapan Kepada Persoalan “Allah Menentukan Dosa Seseorang, Kemudian Mengazabnya?”

Perkara pertama yang perlu difahami berkenaan persoalan ini ialah, pahala diberikan oleh Allah SWT kerana ihsannya, bukan kerana terpaksa, mahupun kemestian bagiNya. Manakala dosa pula dibalas dengan hukuman yang setimpal kerana keadilanNya, bukan satu kemestian, ataupun keterpaksaan bagiNya.

Kesudahan setiap manusia samada baik dan buruk, sudah ditentukan oleh Allah SWT. Lalu ada yang bertanya, “Adakah Allah tidak adil? Dia yang menentukan kesudahan yang buruk, kemudian mengazab pula?”.

Kita perlu tahu, bahawa kesudahan seseorang samada baik dan buruk adalah sesuatu yang telah tertulis di Luh Mahfuz, dan ia tidak akan berubah. Maka, apa yang tertulis di Luh Mahfuz adalah hasil daripada ilmu Allah yang Maha Mengetahui.

Allah SWT mengetahui perkara yang sudah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Maka, Allah SWT sudah pun mengetahui bahawa si fulan ini akan melakukan kejahatan dengan “sengaja” ketika hidupnya nanti. Si fulan tersebut melakukan kejahatan tersebut dengan kejahatannya. Lalu, tertulislah di Luh Mahfuz bahawa si fulan itu akan melakukan kejahatan sekian-sekian, pada waktu sekian-sekian.

Siapa yang sengaja buat jahat? Adakah Allah yang menetapkannya sehingga dia menjadi seperti robot yang disetkan untuk membuat jahat? Tidak. Manusia diberi akal untuk berfikir, dan kemampuan untuk memilih samada perkara baik, atau buruk. Maka, kenapa pula kita hendak pertikai perkara ini di hadapan Allah? Bukankah Allah sudah tahu perangai jahat si fulan ini sebelum terciptanya alam lagi?

Apa yang dikatakan sebagai “ketetapan dari Allah” ialah sesuatu yang tertulis di Luh Mahfuz itu adalah satu ketetapan yang tidak boleh diubah. Ketetapan tersebut disebabkan kejahatan manusia yang dilakukan dengan sengaja dan dilakukannya pada masa akan datang, dan Allah SWT tahu mengenainya.

Apa yang dikatakan dengan Qadha dan Qadar pula ialah apa yang berkait dengan rezeki, ajal, perbuatan dan celaka atau bahagianya. Rezeki ditentukan oleh Allah walaupun kita berusaha sedaya upaya mungkin. Ajal juga demikian. Makanlah bergelen-gelen ubat sekalipun, tetap akan mati pada masa yang ditentukan. Perbuatan seseorang juga telah ditentukan oleh Allah SWT mengikut yang tertulis di Luh Mahfuz. Begitu juga nasibnya.

Semuanya sudah tertulis di Luh Mahfuz berdasarkan ilmu Allah SWT yang sudah tahu tentang satu perkara yang akan berlaku. Inilah yang dinamakan Qadha’. Qadar pula ialah saat ketika berlakunya sesuatu ketetapan tersebut.

Maka, tiada lagi yang dapat berhujah mengatakan Allah itu zalim kerana menetapkan nasib seseorang, kemudian mengazabnya. Ini kerana Allah SWT sudahpun mengetahui apa yang dilakukan oleh seseorang pada akan datang, dan Allah mengazab seseorang berdasarkan perbuatan seseorang yang dilakukannya dengan sengaja.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Akidah dan Faslafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

23 November 2009

23 November - Ulang "bulan" Perkahwinanku


23 Oktober lalu, saya telah berakad berkahwin dengan seorang hamba Allah yang bernama Syahidatul Akmal binti Mohd Dahalan. Alhamdulillah, hari ini sudah genap sebulan perkahwinan kami. Rupa-rupanya sudah sebulan diri ini bergelar suami.

Tetapi yang peliknya, masih lagi ada yang memanggil saya dengan istilah "pengantin baru".. Eh, tak peliklah.. Biasa la tu..

Selain itu, saya juga telah diberikan amanah memegang jawatan sebagai Pengerusi Unit Bait Muslim dan Hisbah, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir.

Kepada sesiapa yang masih membujang, saya menyarankan supaya hangpa semua pakat-pakat kahwin. Saya tidak ingin 5 - 7 pasang sahaja yang kahwin tahun ini, tetapi 100 pasang!!

Kenapa? Hari ini tohmahan kepada penuntut ilmu ialah "Pelik kalau kahwin time belajar". Sebab apa pelik? Sebabnya jarang sangat mereka yang berbuat demikian. Akhirnya disebabkan tohmahan inilah, kita sebagai penuntut ilmu, gagal mendapatkan kebenaran mak bapak untuk kahwin.

Mari kita tukar "kefahaman" yang silap ini, yang mengatakan bahawa "Orang belajar tak boleh kahwin..".
Baca seterusnya

22 November 2009

Rumusan Daripada Kitab Jauharah Tauhid


1. Iman ialah berikrar dengan lidah dan membenarkannya dengan hati. Iman yang sempurna ialah berikrar dengan lidah, membenarkan dengan hati dan melaksanakan tuntutannya dengan anggota tubuh.

2. Allah SWT adalah Tuhan yang wujud, dan mempunyai 99 nama.

3. Allah SWT mempunyai banyak sifat, dan kesemuanya boleh dirangkumkan di bawah empat perkataan, iaitu : Sifat Kebesaran (al Jalal), Sifat Kesempurnaan (al Kamal) dan Sifat Keindahan (al Kamal).

4. Sifat yang wajib diketahui bagi seorang yang beriman, baligh dan berakal ialah 20 sifat wajib bagi Allah SWT, 20 sifat mustahil dan satu sifat harus bagiNya, iaitu :

a. Wujud ertinya ada, Allah itu ada dan mustahil Allah SWT itu tiada
b. Qadim ertinya tiada permulaan, iaitu tiada permulaan bagi Allah SWT, dan mustahil ada permulaan bagiNya
c. Baqa ertinya tidak berkesudahan, iaitu tiada kesudahan bagi Allah SWT, dan mustahil ada kesudahan bagiNya
d. Mukhalafatuhu Lil Hawadith, ertinya berbeza dengan makhluk. Iaitu Allah SWT berbeza dengan makhluk, dan mustahil Allah SWT serupa dengan makhluk
e. Qiyamuhu Ninafsihi, ertinya tidak bergantung dengan sesiapa. Iaitu Allah SWT tiada penggantungan dengan sesiapa, dan mustahil bagiNya bergantung dengan sesiapa
f. Wahdaniyah ertinya esa. Iaitu Allah SWT itu Esa dan mustahil bagiNya berbilang-bilang
g. Qudrah ertinya berkuasa. Iaitu Allah SWT berkuasa, dan mustahil bagiNya tidak berkuasa
h. Iradah ertinya menentukan sesuatu dengan kehendakNya. Iaitu Allah SWT berkuasa menentukan sesuatu dengan kehendakNya dan mustahil bagiNya membuat sesuatu kerana terpaksa
i. Ilmu ertinya mengetahui. Iaitu Allah SWT mengetahui semua perkara, dan mustahil bagiNya tidak tahu
j. Hayat ertinya hidup. Iaitu Allah SWT hidup dan mustahil bagiNya mati
k. Sama’ ertinya mendengar. Iaitu Allah SWT mendengar dan mustahil bagiNya tuli
l. Bashar ertinya melihat. Iaitu Allah SWT melihat dan mustahil bagiNya buta ataupun kurang penglihatan
m. Kalam ertinya berkata-kata. Iaitu Allah SWT berkata-kata dan mustahil bagiNya bisu
n. Kaunuhu Qadiran ertinya Allah SWT sentiasa dalam keadaan berkuasa, mustahil bagiNya dalam keadaan tidak berkuasa
o. Kaunuhu Muridan ertinya Allah SWT sentiasa dalam keadaan berkehendak dengan kehendaknya, mustahil bagiNya berada dalam keadaan tidak berkehendak
p. Kaunuhu Aliman, ertinya Allah SWT sentiasa dalam keadaan mengetahui, dan mustahil bagiNya berada dalam keadaan tidak mengetahui
q. Kaunuhu Hayyan, ertinya Allah SWT sentiasa dalam keadaan hidup, dan mustahil bagiNya berada dalam keadaan mati atau tidur
r. Kaunuhu Sami’an ertinya Allah SWT sentiasa dalam keadaan mendengar, dan mustahil bagiNya dalam keadaan tidak mendengar
s. Kaunuhu Bashiran ertinya Allah SWT sentiasa dalam keadaan melihat, dan mustahil bagiNya dalam keadaan buta
t. Kaunuhu Mutakalliman ertinya Allah SWT sentiasa dalam keadaan berkata-kata, dan mustahil bagiNya dalam keadaan tidak berkata-kata

Inilah 20 sifat wajib bagi Allah SWT dan 20 sifat mustahil bagiNya. Tidak mungkin sifat mustahil itu ada pada Allah SWT, dan tidak mungkin sifat wajib itu tiada atau hilang dariNya.

5. Sifat yang harus bagi Allah SWT satu sahaja iaitu, Allah boleh membuat sesuatu atau boleh tidak membuatnya.

6. Wajib berpegang bahawa Malaikat itu ada dan berbilang-bilang. Tetapi yang wajib diketahui hanyalah 10 sahaja, iaitu :

a. Jibril : Menyampaikan wahyu
b. Mikail : Menurunkan rezeki
c. Israfil : Meniup sangkakala
d. Mungkar : Menyoal orang dalam kubur
e. Nakir : Menyoal orang dalam kubur
f. Izrail : Mencabut nyawa
g. Rakib : Mencatit amalan yang baik
h. Atid : Mencatit amalan yang buruk
i. Malik : Menjaga neraka
j. Ridhwan : Menjaga syurga

7. Wajib berpegang bahawa terdapat kitab-kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-rasulNya, untuk disampaikan kepada kaum-kaumnya. Kitab-kitab tersebut banyak, tetapi yang wajib diketahui hanyalah empat yang tersenarai , iaitu :

a. Kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS
b. Kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud AS
c. Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa AS
d. Kitab al Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW

8. Wajib berpegang dan mempercayai semua Nabi dan Rasul utusan Allah SWT. Nama mereka ada yang disebutkan di dalam al Quran, dan ada yang tidak disebutan. Cuma yang wajib diketahui hanyalah 25 orang Nabi dan Rasul sepertimana yang diketahui.

9. Kita juga wajib mengetahui bahawa Nabi ialah mereka yang menerima wahyu, tetapi tidak diwajibkan menyampaikannya kepada orang lain. Berbeza dengan Rasul, mereka menerima wahyu dan wajib untuk menyampaikannya. Oleh itu, setiap rasul adalah nabi, tetapi bukan semua nabi itu rasul.

10. Setiap orang Islam wajib berpegang dengan ketibaan Hari Kiamat. Permulaan kiamat ialah sesudah mati bagi setiap manusia. Peristiwa kiamat seperti berikut :

a. Setiap orang akan mati apabila umur yang diperuntukkan untuknya sudah habis
b. Setelah itu manusia akan melalui alam kubur, dan ketika itu ia akan ditanya siapakah Tuhan kamu? Siapakah Nabi kamu? Siapakah ikutan kamu dan sebagainya. Ia akan ditanya oleh Malaikat Mungkar dan Nakir
c. Orang yang jahat akan disiksa di dalam kubur
d. Kemudian, pada satu hari nanti, akan berlaku kiamat yang besar di mana dunia akan hancur lebur dan semua makhluk yang masih hidup akan menemui mati
e. Selepas itu akan ditiup sangkakala menyebabkan kesemua manusia yang mati tadi, dihidupkan semula, dan kesemuanya akan berkumpul di Mahsyar
f. Selepas itu, setiap orang akan dihitung dosa dan pahala mereka
g. Di sana juga terdapat syafaat (bantuan) daripada Nabi Muhammad SAW dengan izin Allah SWT
h. Terdapat juga timbangan untuk menimbang dosa dan pahala seseorang
i. Terdapat juga titian Shirot yang digantung melintasi neraka, dan ia akan dilalui oleh setiap manusia.
j. Terdapat juga Telaga Kauthat kepunyaan Nabi Muhammad SAW di dalam syurga. Orang-orang yang beriman akan dapat menikmati air telaga tersebut.
k. Mereka yang melepasi ujian, dapat melalui titian tersebut dengan selamat terus menuju ke Syurga. Manakala orang kafir, akan jatuh ke dalam neraka.
l. Orang yang baik, terus masuk ke dalam Syurga dan kekal di dalamnya. Manakala orang kafir masuk ke dalam neraka dan kekal selama-lamanya.
m. Orang beriman yang melakukan dosa dan belum bertaubat, akan dimasukkan ke dalam neraka buat sementara waktu, sehinggalah hukuman ke atas dosanya selesai. Kemudian akan dimasukkan pula ke Syurga dan kekal selama-lamanya.
n. Ahli Syruga akan mendapat nikmat di dalamnya dan nikmat yang terbesar ialah melihat Allah SWT.

Apa yang disebutkan ini, adalah secara ringkas tentang Hari Kiamat

11. Kita hendaklah berpegang dengan Qadha dan Qadar, iaitu takdir ketentuan Allah SWT. Penjelasannya seperti berikut :

a. Setiap kejadian yang berlaku di dunia ini sudah ditetapkan oleh Allah. Iaitu aturan Allah SWT sejak azali bahawa aturan tersebut akan terjadi
b. Semua perkara samada baik atau buruk, dijadikan oleh Allah SWT. Nasib baik atau buruk, kedua-duanya daripada Allah SWT
c. Manusia dituntut supaya berusaha dan berikhtiar, tidak kira apa jua nasibnya yang ditentukan oleh Allah
d. Manusia menerima pahala disebabkan kurniaNya dan manusia menerima hukuman kerana keadilanNya

12 perkara yang pertama ini, adalah 6 rukun Iman yang wajib dipegang, dipercayai dan diketahui. Selain itu, kita juga wajib berpegang, mempercayai dan mengetahui hasil susulan daripada 6 rukun Iman ini, iaitu sepertimana yang disebutkan di bawah ini.

12. Allah SWT, nama dan sifat-sifatNya adalah Qadim (tiada permulaan bagi kewujudanNya). Ini kerana nama dan sifat-sifatNya itu terdapat pada zatNya yang Qadim.

13. Al Quran adalah Kalam Allah yang Qadim, iaitu tiada permulaan bagi kewujudanNya. Apa yang tertulis di Mushaf, yang tertulis dengan huruf, adalah “gambaran” dari al Quran yang sebenar. Oleh itu, al Quran adalah Qadim, dan tulisan di dalam Mushaf adalah Hadis (terdapat permulaan bagi kewujudanNya.

14. Rezeki setiap manusia telah ditakdirkan sejak azali. Tidak akan bertambah, mahupun berkurang. Tetapi manusia disuruh untuk berusaha mendapatkan rezekinya, dan tidak boleh hanya menunggu semata-mata.

15. Ajal setiap manusia telah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali. Tidak dapat dipercepatkan mahupun diperlewatkan walaupun sedetik. Tetapi manusia disuruh menjaga kesihatan dan tidak boleh hanya menunggu ajal sahaja.

16. Anak-anak orang kafir yang mati ketika kecil, dimasukkan ke dalam Syruga.

17. Doa orang yang beriman akan memberi manfaat kepadanya dan memberi manfaat kepada orang yang didoakannya.

18. Pahala sedekah, pahala wakaf dan pahala bacaan (tahlil, al Quran, selawat dan sebagainya), boleh dihadiahkan kepada orang yang telah mati, dan pahala tersebut sampai kepada mereka, sekiranya kita memohon kepada Allah SWT supaya menyampaikannya.

19. Menziarahi kubur ibu bapa, para ulama, para wali Allah, orang mati syahid dan sebagainya adalah sunat dan diberi pahala kepada sesiapa yang melakukannya. Apatah lagi menziarahi Makam Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda SAW. Bahkan perjalanan ke kubur tersebut, juga dianggap sebagai ibadat.

20. Berdoa kepada Allah SWT secara langsung, atau melalui perantaraan (tawasul) hukumnya sunat, dan diberi pahala kepada sesiapa yang melakukannya.

21. Seluruh masjid di dunia sama sahaja darjatnya melainkan 3 buah masjid yang lebih tinggi darjatnya. Iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al Aqsa. Perjalanan ke ketiga-tiga buah masjid tersebut dikira sebagai ibadat dan diberi pahala kepada sesiapa yang melakukannya.

22. Semua manusia di dunia ini adalah berketurunan Nabi Adam AS, dan Nabi Adam AS dicipta dari tanah. Manakala iblis dan jin pula diciptakan oleh Allah SWT daripada api, dan para malaikat dicipta daripada cahaya.

23. Bumi dan langit itu wujud. Sesiapa yang mengingkari kewujudan kedua-dua ini dianggap bukan dari kalangan Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

24. Nama Allah SWT tidak boleh direka-reka oleh sesiapa pun, melainkan apa yang sudah disebutkan di dalam al Quran dan Hadis-hadis Shahih. Mereka yang menghafal dan berpegang dengannya akan dimasukkan ke dalam Syurga. Kita hendaklah berdoa dengan menyeru salah satu daripada nama-nama Allah ini.

25. Ayat-ayat al Quran yang seolah-olah menyatakan bahawa Allah SWT itu seperti manusia, perlu dita’wilkan secara majazi. Iaitu mentafsirkannya dengan bukan dari erti asal perkataan tersebut. Penjelasannya seperti berikut :

a. Ayat yang menyebut bahawa Allah itu mempunyai wajah, maka ia bermaksud wajah Allah itu tidak sama dengan makhluk
b. Ayat yang menyebut bahawa Allah itu mempunyai tangan, maka ia bermaksud kekuasaan Allah SWT
c. Ayat yang menyebut bahawa Allah itu sedang duduk di atas arasy, maka ia bermaksud Allah SWT menguasai arasy
d. Dan sebagainya

26. Di dalam menta’wilkan ayat-ayat ini, hendaklah dengan ta’wilan yang sebenar berdasarkan ketetapan para ulama, bukan dengan sebarang ta’wilan.

27. Kita perlu menolak sebarang unsur menyerupakan Allah dengan makhluk, samada mengatakan Allah itu berjisim, berada di mana-mana tempat dan sebagainya.

28. Kebangkitan sesudah mati hanya berlaku sekali sahaja. Manusia bermula dari tiada, kemudian diciptakan oleh Allah SWT. Setelah itu, manusia menemui ajal dan kemudiannya dihidupkan kembali, seterusnya berkumpul di Padang Mahsyar.

29. Manusia tidak akan dibangkitkan semula dengan menyerupai makhluk lain setelah kematiannya. Kebangkitan setelah mati itu berlaku setelah tiupan sangkakala.

30. Pahala bukanlah satu paksaan atau satu kemestian bagi Allah SWT untuk memberikannya kepada manusia. Bukan juga satu paksaan atau satu kemestian bagi Allah untuk menghukum seseorang itu. Allah memberikan pahala mengikut kurniaNya, dan menghukum berdasarkan keadilanNya.

31. Manusia tidak dapat melihat Allah SWT ketika di dunia, kecuali Nabi Muhammad SAW ketika Mikraj Baginda SAW.

32. Perutusan Rasul-rasulNya adalah kurnia dariNya. Bukanlah satu paksaan atau satu kemestian bagiNya untuk mengutuskan mereka.

33. Wajib mengetahui dan berpegang bahawa Nabi Muhammad SAW :

a. Dilahirkan di Mekah
b. Diangkat menjadi Rasul pada usia 40 tahun
c. Menerima wahyu daripada Allah selama 23 tahun berturut-turut
d. Berpindah ke Madinah setelah 13 tahun di Mekah
e. Wafat pada usia 63 tahun di Madinah
f. Dikembumikan di lingkungan Masjid Nabi dan umat Islam dibenarkan menziarahinya
g. Bukan malaikat atau makhluk lain. Baginda SAW makan, minum dan berkahwin seperti manusia biasa
h. Seperti manusia biasa, tetapi rohani dan jasmaninya adalah luar biasa. Oleh itu, wahyu tersebut diturunkan kepadanya. Sekiranya wahyu diturunkan kepada bukit, sudah pasti ia akan lebur
i. Adalah makhluk Allah SWT yang paling mulia

34. Keturunan Nabi Muhammad SAW di sebelah ayah seperti berikut :

a. Muhammad bin Abdullah
b. Abdullah bin Abdul Muthalib
c. Abdul Muthalib bin Hasyim
d. Hasyim bin Abdul Manaf
e. Abdul Manaf bin Qushai
f. Qushai bin Kilab
g. Kilab bin Marrah
h. Marrah bin Ka’ab
i. Ka’ab bin Lu’ai
j. Lu’ai bin Galib
k. Galib bih Fihir
l. Fihir bin Malik
m. Malik bin Nadhar
n. Nadhar bin Kinanah
o. Kinanah bin Khuzaimah
p. Khuzaimah bin Mudrikah
q. Mudrikah bin Ilyas
r. Ilyas bin Mudhar
s. Mudhar bin Ma’ad
t. Ma’ad bin Adnan

35. Keturunan Baginda SAW di sebelah ibu pula seperti berikut :

a. Muhammad bin Aminah
b. Aminah binti Wahab
c. Wahab bin Abdul Manaf
d. Abdul Manaf bin Zahrah
e. Zahrah bin Kilab (bersambung dengan keturunan ayah Baginda SAW)

36. Isteri baginda SAW ketika hidupnya ialah :

a. Khadijah binti Khuwailid
b. Aisyah binti Abu Bakar
c. Hafsah binti Umar
d. Ummu Salamah binti Abi Umayyah
e. Ummu Habibah binti Abi Sufian
f. Saudah binti Zam’ah
g. Zainab binti Jahsy
h. Zainab binti Khuzaimah
i. Maimunah binti Harits
j. Juwairiah binti Harits
k. Safiyyah binti Hayy

37. Anak-anak Baginda SAW seperti berikut :

a. Zainab
b. Ruqayyah
c. Ummu Kalsum
d. Siti Fatimah
e. Qasim
f. Abdullah
g. Ibrahim

38. Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk semua makhluk, tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama.

39. Nabi Muhammad SAW naik ke langit ketika peristiwa mikraj, melalui Baitul Muqaddis pada 27 Rejab dan kembali ke dunia pada malam yang sama dengan membawa perintah untuk mendirikan solat fardhu 5 waktu. Baginda SAW mikraj dengan tubuh dan rohnya.

40. Nabi Muhammad SAW adalah nabi yang pertama diangkat menjadi nabi, ketika itu jasad Nabi Adam AS masih terbaring di dalam syurga masih belum dimasukkan nyawa. Oleh sebab itulah Baginda SAW adalah Nabi yang mula-mula diangkat menjadi Nabi dan paling terakhir sekali lahir ke dunia.

41. Nabi Muhammad SAW mampu memberi syafaat kepada seluruh manusia dengan izin Allah SWT. Antaranya mempermudahkan perhitungan di Padang Mahsyar.

42. Setelah kewafatan Baginda SAW, digantikan oleh Saidina Abu Bakar RA, kemudian Saidina Umar al Khattab, Saidina Uthman al Affan dan yang keempat ialah Saidina Ali KAW. Keempat-empat khalifah ini digelar Khulafa’ ar Rasyidin.

43. Wajib meyakini dan berpegang bahawa makhluk yang termulia mengikut tertib berikut :

a. Nabi Muhammad SAW
b. Rasul Ulul Azmi
c. Rasul-rasul lain
d. Ketua Para Malaikat
e. Malaikat-malaikat lain
f. Dan berikutnya

44. Wajib meyakini dan berpegang, bahawa sahabat Baginda SAW yang paling mulia mengikut tertib berikut :

a. Khulafa’ ar Rasyidin mengikut tertib
b. 6 orang yang dijanjikan syurga (selain Khulafa’ ar Rasyidin), iaitu
i. Talhah bin Ubaidillah
ii. Zubair al Awwam
iii. Abdur Rahman bin Auf
iv. Sa’ad bin Abi Waqqas
v. Sa’id bin Zaid
vi. Abu Ubaidah al Jarrah
c. Sahabat Baginda SAW yang menyertai Perang Badar
d. Sahabat Baginda SAW yang menyertai Perang Uhud
e. Sahabat Baginda SAW yang menyertai Perjanjian ar Ridhwan
f. Sahabat-sahabat Baginda SAW yang lain

45. Pertelingkahan dan pertikaian di antara sesama sahabat dilihat mengikut pandangan yang positif dan tidak perlu dipanjanglebarkan. Masing-masing berijtihad dengan pandangan masing-masing, dan masing-masing mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

46. Ahli Keluarga Baginda SAW bersih dari sebarang fitnah dan tuduhan yang dilemparkan. Itu semua adalah fitnah yang direka-reka. Khususnya Saidatina Aisyah yang difitnah ketika peristiwa Hadis Ifki.

47. Kenabian atau kerasulan adalah kurnia daripada Allah kepada sesiapa yang dikehendakinya. Ia tidak boleh diusahakan untuk mendapatkannya, walaupun dengan melakukan pelbagai amalan.

48. Nabi dan Rasul dikurniakan mukjizat, iaitu perbuatan yang bercanggah dengan hukum adat yang tidak mampu dilakukan oleh manusia. Contohnya :

a. Nabi Ibrahim AS tidak terbakar oleh api
b. Nabi Isa AS dapat menghidupkan orang yang telah mati
c. Nabi Muhammad SAW dikurniakan al Quran yang tidak mampu ditandingi atau direka-reka

49. Berpegang dan yakin bahawa terdapatnya keramat, yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada wali-wali dan ulama-ulamaNya. Contohnya :
a. Makanan datang dengan sendiri kepada Maryam
b. Ashabul Kahfi tertidur selama 309 tahun tanpa sebarang kerosakan pada badan mereka

50. Nabi Muhammad SAW adalah nabi dan rasul yang terakhir. Tiada nabi atau rasul selepasnya. Sesiapa yang mengaku dirinya diangkat menjadi nabi selepas Nabi Muhammad SAW, walaupun dia melaksanakan syariat Baginda SAW sekalipun, maka dia itu pembohong dan wajib diperangi.

51. Wajib berpegang dengan kewujudan “arasy”, iaitu makhluk Allah yang dijadikan daripada cahaya, terletak di tempat yang tinggi dan mulia, dan tidak diketahui hakikat dan kebesarannya, melainkan Allah SWT yang Maha Mengetahui.

52. Wajib berpegang dengan kewujudan “kursi”, iaitu makhluk Allah yang berhampiran dan bersambung dengan arasy. Hakikat tentangnya hanya Allah sahaja yang mengetahui. Kita hanya wajib berpegang dengan kewujudannya sahaja.

53. Wajib berpegang dengan kewujudan “qalam”, iaitu makhluk Allah yang dicipta untuk menulis di Luh Mahfuz tentang sesuatu yang bakal terjadi. Setiap peristiwa yang terjadi di dunia telahpun ditulis di Luh Mahfuz.

54. Penghuni Syurga dan Neraka akan kekal selama-lamanya di situ, melainkan mereka yang beriman tetapi belum bertaubat. Mereka akan berada sementara waktu di neraka, kemudian berpindah ke syurga.

55. Dosa terbahagi kepada dua, iaitu dosa besar, dan dosa kecil. Dosa besar ialah :

a. Syirik
b. Membunuh manusia tanpa hak
c. Makan hasil riba
d. Lari dari peperangan
e. Tukang sihir
f. Menderhakai ibu bapa
g. Berzina
h. Liwat
i. Mendustakan Nabi Muhammad SAW
j. Dan lain-lain

56. Dosa kecil akan diampunkan oleh Allah SWT sekiranya bertaubat, selagi mana orang tersebut tidak melakukan dosa besar.

57. Orang yang beriman boleh menjadi “kafir” atau lebih dikenali sebagai “murtad” disebabkan beberapa faktor. Iaitu :

Dari Sudut Pegangan (i’tikad)

Iaitu sesiapa yang berpegang (dengan hatinya dan meyakini) salah satu daripada perkara-perkara yang disebutkan di bawah ini atau meragui perkara-perkara yang wajib diyakini, maka dia sudah jatuh imannya, na’uzubiLlah.

a. Meragui kewujudan atau keTuhanan Allah SWT
b. Meragui keRasulan Nabi Muhammad SAW
c. Meragui bahawa al Quran itu adalah wahyu dari Allah
d. Meragui kedatangan Hari Kiamat, syurga, neraka dan lain-lain
e. Meragui kebenaran peristiwa Isra dan Mikraj Nabi Muhammad SAW
f. Berpegang bahawa Allah SWT tidak mempunyai sifat-sifatNya yang sedia maklum (sifat 20)
g. Berpegang bahawa Allah SWT berjisim, memerlukan tempat dan sebagainya
h. Menghalalkan perbuatan yang telah disepakati oleh ulama tentang pengharamannya seperti menghalalkan zina, arak dan sebagainya
i. Mengharamkan perbuatan yang telah disepakati oleh ulama tentang penghalalannya seperti mengharamkan jual beli yang halal, perkahwinan dan sebagainya
j. Menafikan kewajipan amalan yang telah disepakati oleh ulama tentang kewajipan amalan tersebut seperti menafikan kewajipan membayar zakat dan sebagainya
k. Menolak hubungan persahabatan antara Nabi SAW dan Para Sahabat RA yang utama, seperti menafikan Saidina Abu Bakar adalah sahabat Baginda SAW
l. Mengingkari sepotong atau keseluruhan ayat al Quran, atau menambah sepotong atau keseluruhan ayat al Quran bertujuan menjadikannya sebagai al Quran (yang baru)
m. Menafikan kerasulan salah seorang daripada 25 orang Nabi dan Rasul yang wajib dipercayai
n. Menolak ajaran utusan-utusan Allah
o. Berpegang bahawa terdapat nabi selepas Nabi Muhammad SAW
p. Mendakwa diri sendiri sebagai nabi atau rasul selepas Nabi Muhammad SAW

Dari Sudut Perbuatan (Amalan)

a. Sujud kepada patung berhala, matahari, pokok dan sebagainyad
b. Sujud kepada manusia dengan sukarela
c. Menghina Nabi atau Rasul samada dengan perbuatan atau kata-kata
d. Menghina kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT dengan pebuatan atau kata-kata
e. Mempersenda Islam atau Allah SWT dengan perbuatan atau kata-kata
f. dan sebagainya

Dari Sudut Pertuturan

a. Menggelar seorang yang beriman sebagai “kafir”
b. Mempersenda atau menghina Allah SWT
c. Mempersenda kedatangan Hari Kiamat
d. Mempersenda syariat Allah SWT, seperti solat, zakat, hudud dan sebagainya
e. Mempersenda malaikat
f. Mempersenda Para Nabi dan Rasul
g. Mempersenda keluarga Nabi Muhammad SAW
h. Mempersenda Nabi Muhammad SAW
i. dan sebagainya

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

21 November 2009

Islam Itu Hanya 5 Perkara Ini Sahaja? Kefahaman Yang Perlu Diperbetulkan

Di dalam hadis yang kedua daripada Hadis 40 Imam Nawawi dan Hadis no 8 dalam Kitab al Iman, menyatakan bahawa :

Islam itu ialah kamu menyaksikan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, kamu dirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di Bulan Ramadhan dan mengerjakan haji

Selain itu, di dalam hadis yang ketiga daripada Hadis 40 Imam Nawawi, dan juga Hadis Hadis no 16 dalam Kitab al Iman juga..

Islam dibina di atas lima perkara, penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji di Baitullah dan berpuasa di Bulan Ramadhan

Persoalan yang dikelirukan di sini ialah, “adakah Islam itu hanya 5 perkara ini sahaja?”, maka, apakah hudud itu bukan Islam? Adakah menutup aurat itu bukan ciri pemakaian Islam?.. Adakah Islam hanya sekecil ini? Mari kita fikirkan sejenak.

Perkara pertama yang perlu difahami ialah, jangan kita mengambil seketul dua hadis sahaja, kemudian menjadikannya hujah, dalam keadaan kita mengenepikan hadis-hadis shahih yang lain.

Perkara kedua yang perlu difahami ialah, perkara yang tidak disebut, bukan bermakna tidak ada...

Hakikatnya 5 perkara ini adalah hasil “rangkuman” kesemua perkara yang dikatakan sebagai Islam. Contohnya apabila kita bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan melainkan Allah, maka, sudah pasti undang-undang pun kita berpegang dengan undang-undang Allah. Sistem kehidupan juga kita bersumberkan kepada cara hidup Baginda SAW melalui pengakuan bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Maka, apa yang disuruh oleh Nabi Muhammad SAW bukannya satu dua sahaja. Jangan lupa, menegakkan negara Islam juga adalah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang disuruh kepada kita untuk menegakkannya. Ia juga termasuk dalam Islam.

Maka, tidak perlu kita memanjangkan lebar perbahasan ini kerana ia sudah pun dijelaskan dengan mudah. Kelima-lima rukun Islam ini adalah hasil rangkuman daripada kesemua perkara yang dikatakan sebagai Islam.

Hakikatnya Islam itu ialah

Islam adalah menyeluruh, mencakup semua bidang hidup; Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah.

Atau

Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan tanahair ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.

Selain itu, terdapat juga cara-cara yang lebih mudah untuk menjawab persoalan seperti ini. Mari kita lihat, beberapa persoalan di bawah..

- Kenapa kita basuh berak sedangkan ia tidak disebut sebagai rukun Islam?

Soalan ini agak kasar, namun, inilah cara mudah untuk memahaminya. Setiap manusia yang membuang air besar, secara automatiknya, mereka akan membasuh kawasan tersebut. Adakah terdapat mana-mana peruntukan dalam undang-undang yang menyebut tentang kemestiannya? Sudah pasti tidak disebut. Ini kerana perkara tersebut sudah diketahui dan tidak perlu disebutkan lagi.

Contohnya apabila seseorang diminta menceritakan jadual hariannya, dia menceritakan sekali bahawa dia akan memberus gigi pada jam sekian, dengan kekuatan gosokan sekian, ubat gigi sekian, sambil mengadap cermin, kemudian membasuhnya dengan menggunakan air bersih daripada paip yang disalurkan dan bla-bla... perlukah semua ini diceritakan atau cukup sekadar “faham sendiri?”

- Kenapa kamu tidak menyenaraikan bilangan mancis yang kamu perlukan untuk memasak kenduri kawin?

Soalan ini juga lebih kurang sama. Seseorang tukang masak, meminta pekerjanya membeli peralatan memasak yang biasa digunakan untuk memasak kenduri perkahwinan. Lalu setelah disenaraikan (termasuk mancis di dalam senarai tersebut), pekerja itu membeli sebatang mancis sahaja. Apabila ditanya, kenapa kamu beli sebatang sahaja, lalu dia menjawab, kerana yang disebutkan di sini hanyalah “mancis” sahaja, tidak sebut bilangannya. Atau dia akan bertanya soalan yang sama yang saya utarakan sebelum ini.

Ataupun apabila seorang pekerja ingin belajar membuat teh tarik. Lalu dia meminta supaya kita menyediakan senarai bahan untuk membuat teh tarik. Tetapi setelah disemak, dia bertanya kepada kita, kenapa di dalam senarai bahan ini tidak tertulis air, teko, letrik untuk menyalakan lampu (untuk menerangi proses penyediaan), pakaian baginya, selipar yang perlu dipakai dan sebagainya?

Kesimpulan

Mungkin agak lucu sikit. Tetapi hakikatnya, kita perlu memahami. Kita dikurniakan akal adalah untuk berfikir. Apabila kita membaca 2 hadis Nabi SAW yang ditulis sebelum ini, jangan terus menghujum Islam. Jangan pandai-pandai berhujah bahawa Islam tidak pun menyuruh kita menegakkan Negara Islam dan sebagainya. Hakikatnya orang seperti ini hanya membaca hadis dengan membuta tuli.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Akidah dan Faslafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

20 November 2009

Berdebat Seperti Orang Bodoh

Setelah membaca semak samun kat dalam shoutbox saya, dengan mudahnya saya menjawab “Hujah Orang Bodoh Jangan Dilayan...” Siapa rasa dirinya sedemikian? Fikirlah sendiri.. Buang masa, buang karan, dan buang angin (sebab geram..)

Saya menyesal kerana mengambil masa yang lama untuk membaca kesemua ayat-ayat dalam shoutbox tu. Kita bukan kenal siapa yang berkata.. Pengajiannya setara mana? Saya kenal shah.. Kawan saya. Terima kasih kerana bagi sedikit hint kepada anak didik Asri. Tapi yang enta duk layan dia tu buat apa? Buang masa enta.. Orang-orang macam ni jangan dok layan.. Sampai kiamat tak habis.

Kalau nak berdebat, berdebat secara ilmiah. Kita boleh bincang secara professional. Rasa malas je nak ulas satu-satu point yang diperdebatkan. Lebih banyak menunjukkan kehebatan sendiri yang tak hebat mana pun. Nanti, kalau rajin, insya Allah ana ulas satu-satu..


Wahai saudaraku,

Hari ini perkara utama yang perlu dibahaskan lebih banyak. Jangan disebabkan istilah bid’ah, kita berdebat dan berhujah sehinggakan meracuni masalah khilafiah yang sudah dijernihkan oleh ulama-ulama kita dahulu.

Arak yang diharamkan oleh Allah secara jelas, hari ini menjadi minuman biasa di kedai-kedai. Iklan di akhbar dan di papan iklan di tepi lebuh raya, tanpa segan silu mengempen “arak” ini. Kenapa kita tidak berusaha menghapuskan peminuman ini dengan ilmu-ilmu dan kemahiran yang ada?

Judi juga antara perkara yang jelas diharamkan oleh Allah. Hari ini orang membunuh diri, membunuh isteri, merompak, mencuri dan sebagainya disebabkan judi. Disebabkan perbuatan yang haram ini dilakukan, lihatlah berapa banyak kesannya? Masih lagi nak membuang masa dengan masalah picisan?

Umat Islam dibunuh setiap hari. Darah mereka menjadi kegemaran si Yahudi. Kita pula asyik duk bahas bid’ah tak habis-habis. Kenapa suara anda yang lantang menegakkan benang yang basah itu, tidak digunakan untuk mengecam Yahudi? Masih sibuk dengan membid’ahkan orang?

Zina yang hari ini semakin dijadikan perkara biasa. Di manakah suara-suara yang membid’ahkan orang ini dalam berjuang menuntut pengharaman zina? Orang berzina di dalam Masjid (kes yang berlaku di Johor), tak dengar pula suara mereka. Sebaliknya orang yang berzikir selepas solat itulah yang menjadi mangsa.

Gerakan murtad beramai-ramai yang terjadi di kalangan remaja kita. Di manakah suara mereka? Mereka mengotakan pegangan mereka bahawa mereka itu adalah freethinker.. dengan mengencing di atas al Quran, sambil memijak-mijak al Quran. Selepas itu mereka berzina pula di atasnya.. Di manakah suara mereka yang mengatakan bahawa mereka berpegang dengan al Quran?

Hudud yang sampai hari ini tak terlaksana, sedangkan itulah perlembagaan daripada al Quran dan Sunnah. Di manakah suara-suara yang mengatakan mereka itu berlandaskan al Quran dan Sunnah? Hanya berdiam diri? Bahkan hari ini orang menghina hudud. Di manakah suara-suara yang mengatakan bahawa mereka itu “hanya ingin mendapat keredhaan Allah dengan mengharamkan bid’ah?

Sedih apabila melihat pertelingkahan yang membuang masa dari kalangan kita. Kita duduk di dalam situasi hari ini. Bukannya zaman dulu. Lihatlah kejahatan yang berlaku hari ini. Masih pejamkan mata? Orang yang membid’ahkan orang lain ini, menambahkan beban dan kepayahan kepada kita yang ingin menghapuskan kejahatan.

Kita berusaha memerangi maksiat.. tiba-tiba datang orang yang membid’ah ini, mengganggu usaha kita untuk menegakkan Agama Allah. Dengan mendatangkan istilah bid’ah, habis semua ulama terpaksa mengambil masa dan keringat untuk menyelesaikan perkara ini, dan memberi kefahaman kepada semua. Terpaksa mengalih pandangan kepada penjelasan tentang perkara-perkara furu.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Usuluddin Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

19 November 2009

Santai Seketika Rehatkan Minda Dengan Sesuatu Yang Lucu

Kadangkala, bila tension, sekali-sekala nak juga rehatkan minda. Di sini ada beberapa artikel yang terlintas di otak saya, untuk disampaikan di sini.

1. Eksiden Boleh Pulihkan Rabun?

Seorang hamba Allah, mengalami penyakit rabun sejak berumur 11 tahun. Lalu beliau terpaksa memakai cermin mata sehingga umurnya mencecah 21 tahun. Ketika umur 21 tahun, beliau mengalami kemalangan jalanraya yang menyebabkan telinga sebelah kanannya terputus. Semenjak hari itu, beliau tidak lagi memakai cermin mata.

Seorang kawannya berkata kepadanya “nampaknya kemalangan telah memulihkan penyakit rabun kamu”.. Dengan selambanya, hamba Allah itu menjawab “Aku masih rabun, tapi tak dapat pakai cermin mata kerana telinga sudah takda...”

2. Meneka Teka Teki

Sebuah teka-teki yang sehingga hari ini tidak dapat dijawab... walaupun ia ditanya kepada 100 orang pemikir yang pakar sekalipun.. teka teki tersebut berbunyi ...

“Cuba teka, teka-teki apakah yang ingin saya berikan kepada kamu...”

Siapa boleh jawab?

3. Teka Soalan Teka Teki

Selain teka-teki tadi, masih ada lagi teka-teki yang mengarut, dan payah untuk dijawab.. Teka-teki tersebut berbunyi...

“Jawapannya ialah payung.. cuba teka, apakah teka-teki bagi jawapan ini?”

Kalau kita jawab, bagaimana nak disamakan dengan soalan asal teka teki tersebut yang ingin ditanya?

4. Asal Usul Kuih Baulu

Kisah mengarut ini, dipetik dari sebuah majalah humor (dirahsiakan namanya).. Kuih Baulu dinamakan baulu kerana kisah ini katanya..

Satu ketika dahulu terdapat seorang pembuat kuih yang pakar. Tiap-tiap hari buat kuih sampai tak sempat mandi. Satu ketika datang seseorang ingin merasa kuih baru ciptaannya. Apabila dia menghidu keenakan kuih tersebut, beliau terhidu satu bau yang kurang senang. Lalu dia pun berkata, “kuih ini bau lu punya ketiak..”

Akhirnya kuih tersebut dinamakan kuih baulu kerana “bau lu punya ketiak”...

Habis

Eh, tak boleh banyak-banyak.. ingat, hidup ini bukan untuk melawak, atau buat lawak. Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang diperuntukkan untuk kita. Dok rilek apa lagi? Manusia perlukan anda untuk membawa mereka ke arah kebenaran! Bukan ke arah lucu yang memanjang
Baca seterusnya

18 November 2009

Kitab Turath Bukannya Ilmu, Tetapi Ia Adalah “Hasil Daripada Ilmu” – Dr Amru al Wirdani


15 November, setelah selesai berlansungnya Dialong Antarabangsa, PPMI (Indonesia) telah menjemput Dr Amru al Wirdani, Pensyarah Darul Ifta untuk menyampaikan ceramah beliau yang bertajuk “Ke Arah Pembentukan Intelektual Muslim”..

Antara petikan kalam beliau

“Kitab Turath bukannya ilmu, tetapi ia adalah hasil daripada ilmu yang ada pada penulis. Lalu penulis kitab tersebut menulis berdasarkan ilmu yang ada padanya. Kita mengaji kitab turath adalah untuk memahami akal (pemikiran) penulis kitab tersebut.. kerana itulah ilmu”

Mungkin sesetengah beranggapan agak sukar difahami, tetapi hakikatnya ia adalah benar. Selama ini kita mengaji kitab, hanya untuk mengambil “fakta” yang ada pada kitab tersebut. Hakikatnya kita tersilap. Sepatutnya kita mengaji kitab tersebut untuk kita memahami akal penulis tersebut, atau soalan yang boleh dilontarkan di sini ialah “kenapakah penulis kitab ini berpandangan sedemikian...?” atau “bagaimanakah penulis kitab boleh berpandangan sedemikian..” atau dan atau...

Saya masih teringat ketika bersama Syeikh Sayyid Syaltut di dalam pengajian Matan Abi Syuja’ yang cukup ringkas dan mudah.. Syeikh mengajar sebijik-sebijik, dan mendetailkan satu persatu perkataan dan memanjangkan perbahasan sehingga membawa kepada persoalan-persoalan yang tidak termasuk dalam bab yang dipelajari.

Lalu ada seseorang yang bertanya.. “syeikh, kalau kita mengaji macam ni, sampai bila nak habis kitab?” Dengan canggihnya, beliau menjawab “kita belajar kitab ni, bukannya matlamatnya nak habis, tetapi untuk memahami pemikiran penulis ini...” Beliau menyambung lagi menceritakan tentang pengalaman beliau menuntut ilmu daripada Syeikh Ali Jum’ah.. Syeikh Ali Jum’ah apabila mengajar sesuatu kitab tersebut, walaupun sudah habis, masih lagi diulang-ulang.. sehinggakan sebuah kitab itu sudah diulang sebanyak 4, 7, 8 dan 10 kali!

Matlamatnya bukannya untuk habis, tetapi untuk memahami pemikiran penulis kitab tersebut, dan kita mampu berfikir sepertimana penulis tersebut. Inilah yang dinamakan ilmu!! Sehingga ke hari ini, saya belum tahu berapa kalikah kitab Matan Waraqat itu diajar oleh Syeikh Sayyid Syaltut.. Apabila sudah khatam, diulang semula.. sebelum ini.

Dr Amru al Wirdani juga menyebut..

Seorang ulama’ pernah mengajar tafsir di sebuah tempat. Syeikh tersebut menafsirkan ayat “fazkuruni azkurkum.”. (dalam tulisan rumi). Beliau mengajar perkataan “fazkuruni” sahaja, selama 4 tahun!! Mengaji satu perkataan selama 4 tahun. Setelah genap 4 tahun, beliau berkata, aku tidak mampu untuk mentafsirkan perkataan “azkurkum”.. ayat tersebut bermaksud “Maka ingatlah Aku (Allah), nescaya aku mengingati kamu”. Beliau tidak mampu untuk menafsirkan “azkurkum” kerana maknanya pada Allah sendiri.. aku tidak tahu..

Demikianlah kisah yang diceritakan. Kita mengaji dan bertafaqquh bukanlah semata-mata untuk mencedok fakta yang bulat-bulat sahaja. Ini kerana, kita sendiri mampu untuk membaca sendiri fakta-fakta tersebut walaupun tanpa diajar. Tetapi, jangan lupa, dengan cara itu kita belum dikatakan berilmu. Itulah sebabnya, kita perlu berguru dan bersama-sama para ulama. Ini kerana mereka itu tahu pemikiran penulis kitab tersebut.. Kita nak tahu cemana kalau dok baca kitab sendiri..

Walaubagaimanapun, janganlah kita tidak membuka langsung kitab yang tidak diajar.. Kitab-kitab tersebut boleh dijadikan rujukan, sumber dan sebagainya. Di Mesir, dan al Azhar sendiri, mana mungkin kita dapat bertalaqqi dengan Syeikh yang mengajar kitab Fathul Bari yang berbelas-belas jilid. Atau kitab Tafsir Thabari dan sebagainya.

Di sini, suka untuk saya mengajak pembaca budiman untuk mengetahui realiti perkara ini. Contoh yang saya berikan ialah ayat berikut :

“Ahmad pergi ke pasar membeli Ikan Talapia yang mahal”

Di sini terdapat pelbagai penafsiran yang boleh dibuat. Iaitu :

- Ahmad seorang yang kaya
- Ahmad seorang yang boros
- Ahmad seorang yang menggemari Ikan Talapia
- Ahmad mencintai seorang perempuan yang menggemari Ikan Talapia, lalu ingin menghadiahkan kepadanya
- Ahmad kena tipu dengan penjual Ikan Talapia. Sebenarnya harganya murah..
- Ahmad tak pernah merasa Ikan Talapia, lalu ingin mencubanya
- Ahmad tiada pilihan lain kerana pasar itu hanya menjual Ikan Talapia sahaja, mahal pulak tu
- Ahmad seorang yang miskin, lalu harga Ikan Talapia itu mahal baginya
- Penulis ayat ini ingin memberitahu kepada pembaca bahawa Ikan Talapia mahal
- dan macam-macam lagi..

Oleh itu, bagaimanakah kita ingin mengetahui maksud sebenar ayat ini? Bagaimanakah kita ingin mengetahui maksud tersirat daripada ayat ini? Mana satu yang betul? Itulah yang dinamakan sebagai kandungan tersirat daripada penulisan kitab. Atau dengan kata lain, kita mengaji kitab untuk membaca apa yang terkandung di sebalik tulisan tersebut.. Kenalah mengaji!

Oleh itu, kita memerlukan kedua-duanya sekali. Kita juga perlu melazimi dan berdamping dengan ulama untuk kita mendapatkan ilmu mereka dan jangan lupa untuk membuka kitab untuk mendapatkan maklumat, Inilah pesanan Dr Amru al Wirdani di akhir syarahan beliau..
Baca seterusnya

17 November 2009

Mewakili PMRAM Ke Dialog Antarabangsa Yang Menggabungkan 16 Buah Negara

15 November saya telah diminta untuk mewakili PMRAM menjadi pembahas di dalam Dialog Antarabangsa yang menggabungkan 16 Buah Negara di seluruh dunia. Program yang diadakan di Solah Kamil itu bermula pada jam 10.30 pagi. Saya bersama isteri tersayang sampai ke dewan tersebut, bersama dengan wakil Badan Pengurus PMRAM, Us Azlan, dan pemerhati, Us Muhammad Zulfadli bin Zainal.

Slot dimulakan dengan pembentangan 4 wakil setiap benua, dan diteruskan dengan sesi pembahasan. Bagi pembentangan, benua asia tenggara diwakili oleh Indonesia (PPMI), dan saya mewakili PMRAM bagi sesi pembahasan bersama dengan Singapura, Brunei dan sebagainya. Tajuk yang dibahaskan ialah “Ke Arah Pembentukan Intelektual Muslim”

Berita seterusnya, sila lihat di dalam web PMRAM... Beberapa keping gambar sempat ditangkap.. semoga bermanfaat.














Baca seterusnya

16 November 2009

Memahami Konsep Syahadah Dan Tuntutannya - Pembentangan Saya Di Mansurah











14 November lalu, saya telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja yang bertajuk Konsep Syahadah dan Tuntutannya, di Dewan Perwakilan Mahasiswa Mansurah. Program Kolokium Ilmuan ini telah diketuai oleh Dr Izzat sebagai pengarah program, dan adhoc-adhoc yang kebanyakannya terdiri dari kalangan “orang kahwin”.. Tahniah saya ucapkan.

Justeru, di dalam artikel kali ini, saya akan menyiarkan ringkasan yang berguna, yang telah dipersembahkan ketika pembentangan di Mansurah tersebut. Ia adalah ringkasan daripada kertas kerja tersebut.. semoga bermanfaat.

Kandungan Kertas Kerja

- Pendahuluan
- Pengertian Kalimah Syahadah
- Erti Ilah
- Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah
- Tugasan Para Rasul
- 8 Tuntutan Syahadah

1. Pendahuluan

- Syahadah bermakna ilmu makrifat dan keterangan

Iaitu mengetahui tentang perkara-pekara yang wajib diketahui, contohnya seperti mengetahui keTuhanan Allah SWT, dan keRasulan Nabi Muhammad SAW. Tetapi, masih tidak cukup sekiranya kita hanya mengetahui sahaja tanpa mengikuti atau berpegang dengan kepercayaan ini semata-mata. Oleh itu kita perlu berikrar dan berpegang dengannya.

- Ia juga mengandungi makna ikrar kepatuhan dan pegangan

Sepertimana yang disebutkan syadahah juga bermaksud ikrar kepatuhan dan pegangan terhadap perkara-perkara yang disebutkan sebelum ini. Orang yang tidak mengetahui siapakah tuhannya, atau tidak tahu siapakah utusan tuhannya, maka ia tidak dianggap beriman. Manakala mereka yang sudah mengetahui tentang kedua-dua perkara tersebut, tetapi masih tidak mahu berpegang dengan keTuhanan Allah dan keRasulan Nabi Muhammad SAW, maka ia juga tidak dikira beriman.

2. Pengertian Kalimah Syahadah

- Bahagian Pertama : Mengiktiraf bahawa segala bentuk perhambaan tidak layak melainkan untuk Allah sahaja


Hari ini, bentuk kekafiran yang “tidak disengajakan” atau disengajakan berlaku disebabkan manusia bertuhankan duit, pangkat, perempuan dan sebagainya. Bagi fahaman Atheis, mereka bertuhankan kepada deria semata-mata. Sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera, dianggap tidak wujud. Oleh itu mereka menolak kewujudan Allah SWT. Mereka ini digelar sebagai “kafir mulhid”.

“Kafir musyrik” pula ialah mereka yang mengetahui kewujudan Allah sebagai Pencipta, Tuhan, Pentadbir dan sebagainya. Tetapi mereka menyembah bukan hanya pada Allah sahaja, bahkan mereka menyembah patung-patung, menyembah laut, pokok, matahari dan sebagainya. Ini kerana mereka mendakwa laut itulah yang memberi rezeki, matahari itulah yang memberi kehidupan dan sebagainya.

Kafir musyrik di zaman ini ialah mereka yang menjadi hamba bagi wang, sedangkan mereka tahu bahawa Allah itu sahajalah yang layak disembah. Disebabkan wang, tergadai ibadah kepada Allah. Sanggup menerima sogokan wang untuk “menolak” kebenaran Islam. Bahkan, mereka juga berpegang bahawa wang itu adalah segala-galanya. Takda wang, tak boleh hidup.. kata mereka.

- Bahagian Kedua : Pengabdian itu mestilah dilakukan berlandaskan ajaran Rasulullah SAW

Bahagian kedua yang perlu dipegang oleh kita melalui ikrar kita dalam syahadah ialah pengabdian kepada Allah itu hendaklah berlandaskan ajaran Rasulullah SAW. Memuja kubur dengan tujuan mendapatkan rezeki adalah haram dan boleh jatuh akidah. Satu ketika dahulu pernah sekumpulan ajaran sesat yang mendirikan solat (seperti biasa) dengan membelakangi kiblat.

Walaupun solat itu cukup sempurna seperti ajaran Nabi SAW, tetapi membelakangi kiblat dalam solat, bukanlah ajaran Baginda SAW. Sekiranya diniatkan menghina Islam, maka boleh jatuh kafir. Kahar Ahmad (mengaku sebagai rasul melayu), mengajar pengikut-pengikutnya mendirikan solat hanya 2 waktu sahaja sepertimana ajaran Nabi Ibrahim AS. Ini juga bentuk kesesatan yang jelas.

Hari ini, politik tidak lagi mengikut ajaran Rasulullah SAW. Pengabdian kepada Allah SWT dalam segenap sudut, termasuk cara berpolitik. Islam juga mengajar tentang politik. Tetapi apabila ia dilakukan tidak berlandaskan ajaran Rasulullah SAW, maka ia jelas tertolak. Rasuah adalah haram, sekiranya kita berpegang bahawa ia adalah halal, boleh menyebabkan jatuh kafir, nauzubiLlah.

Mereka yang mengucap syahadah, tetapi melanggar etika berpolitik dalam Islam, maka syahadahnya hanya pada lidah. Sedangkan syahadah itu menuntut kita berpegang dengan hati, dan melaksanakannya dengan anggota. Mereka yang melanggar etika berpolitik dalam Islam, dikira berdosa (belum dikatakan kafir) selagi mana tidak “berpegang” bahawa politik Islam adalah salah, dan cara Baginda SAW berpolitik tersilap.

3. Erti Ilah

- Bermaksud “yang disembah”
- Tidak kira yang disembah itu benar atau tidak


Penggunaan perkataan “Ilah” di dalam al Quran membawa banyak maksud. Hasil daripadanya, ia bermaksud “yang disembah, samada yang disembah itu adalah benar, atau sesat”. Di dalam Surah al Jathiyah ayat 23, terdapat sesetengah manusia yang menjadikan hawa nafsu mereka sebagai tuhan atau ilah. Iaitu mereka berpegang dengan nafsunya sehingga menolak Allah SWT.

Oleh itu, di sana terdapat banyak golongan-golongan yang sesat, yang mencipta tuhan-tuhan mereka. Mereka juga turut menggelarnya sebagai “ilah”. Kesimpulannya, golongan-golongan sesat ini menganggap “ilah” tersebut mengikut klasifikasi di bawah..

- Ilah
: Sebagai matlamat pengabdian
: Sebagai tempat perlindungan
: Sebagai tempat kecintaan
: Sebagai tempat rezeki
: Sebagai tempat perundangan


4. Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah

- Tauhid Rububiyyah ialah Iqrar (pengakuan) bahawa Allah SWT Dialah yang melakukan segala sesuatu secara mutlak, mencipta makhluk, mentadbir dan mengubahsuai sesuatu, mempermudah, menambah, mengurang, menghidupkan, mematikan dan perbuatan-perbuatan lain. Tiada sesuatu yang bersekutu denganNya dalam perbuatanNya

- Tauhid Uluhiyyah ialah Iktiqad yang mantap bahawa Allah SWT, Dialah Tuhan yang sebenarnya (Hak) tiada Tuhan yang selain daripada-Nya dan mengesakan-Nya dalam beribadat kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya


Di sana terdapat segolongan manusia (bukan Islam) yang mengimani hanya salah satu keimanan ini sahaja. Mereka mempercayai bahawa Allah itulah yang mentadbir alam ini, tetapi mereka tidak menyembahnya, atau mereka menyembah patung-patung sebagai tuhan mereka. Mereka berpegang dengan “rububiyyah”, tetapi mereka menolak “uluhiyyah” Allah SWT.

5. Tugasan Para Rasul

- Menanamkan pegangan Islam dalam hidup semua manusia
- Mengajak mereka yang sudah menerima Islam, supaya membentuk hidup mereka mengikut corak Islam
- Menubuhkan Daulah Islamiah


Para Rasul diutuskan untuk menanamkan pegangan Islam di dalam semua manusia, dan mengajak mereka supaya mencorakkan kehidupan mereka dengan cara Islam. Para Rasul bukan hanya mendidik semata-mata, kemudian membiarkan umat Islam dengan pembawaan masing-masing.

Beberapa kesilapan kita hari ini, kita melaksanakan yang pertama, tetapi mengabaikan yang kedua. Segelintir di kalangan kita berkata “saya ni, luar je nampak macam ni, tapi belajar agama ..” atau “saya ni, nampak je merokok, tengok cerita bukan-bukan, tapi saya tak masyi (lancar) satu quran..”. Ini hanya sekadar contoh sahaja. Orang makan cili terasa pedasnya. Buat malu je..

Adakah kita hanya berpegang dengan Islam hanya pada hati semata-mata? Ada juga yang mengatakan bahawa “saya ni tanak pakai kopiah, saja tak nak tunjuk alim..” Fikir-fikirlah sendiri. Di manakah corak Islam yang ingin dipamerkan supaya Islam itu terserlah. Ingat, Islam bukan hanya pada hati semata-mata.. “Saya ni, nampak je tudung tak pakai, tapi hati saya baik.. Allah tak tengok luaran, tapi tengok hati..” ini adalah ayat seorang perempuan yang tidak memahami Islam, bahkan berbaur penghinaan terhadap Islam.

Antara tugasan Para Rasul yang dilaksanakan ialah menegakkan Negara Islam (Daulah Islamiah). Inilah peranan yang sering diabaikan oleh mereka yang mengaku sebagai pewaris bagi Nabi dan Rasul. Sebelum ini, saya pernah menerima kritikan. Orang yang mengkritik tersebut, menghujum PAS di Malaysia, dengan mengemukakan dalil yang silap, dan salah.

Dia mengatakan bahawa kenapa PAS beriya-iya merebut kuasa, sedangkan Para Nabi dan Rasul tidak pernah mengajar sedemikian... Juga persoalan yang sama, yang ditimbulkan ketika pembentangan di Kolokium Ilmuan ini... Iaitu penjelasan tentang maksud “merebut kuasa” di dalam Kertas Kerja Konsep Syahadah dan Tuntutannya, dalam mukasurah 14. Jawapannya? Insya Allah, artikel yang menjelaskan tentang ini akan disiarkan dalam blog ini, insya Allah.

6. 8 Tuntutan Syahadah

Setelah kita mengucap syahadah, maka kita dituntut untuk melaksanakan 8 perkara ini..

- Menjadikan Allah SWT sebagai Tuhan dengan mengesakanNya
- Menjadikan Allah SWT sebagai matlamat pengabdian
- Menjadikan Allah SWT sebagai tempat perlindungan
- Menjadikan Allah sebagai tumpuan kecintaan
- Menjadikan Allah sebagai punca penggantungan hidup dan rezeki
- Menjadikan Allah sebagai sumber perundangan yang mutlak
- Menjadikan Rasulullah SAW sebagai pimpinan contoh
- Menuntut supaya kita menjadikan hidup sebagai perjuangan dan jihad


Jangan sekali-kali “membanyakkan” tuhan, dengan beriman dengan kekuasaan duit, pangkat dan sebagainya. Untuk apakah kita beribadah? Untuk apakah kita melaksanakan dan menegakkan Islam.. ? Kesemuanya kerana Allah kerana Ia adalah matlamat pengabdian kita. Kepada siapakah perlu kita minta pertolongan dan pengharapan? Kepada Allah, kerana Ia adalah tempat perlindungan.

Kita dituntut supaya meletakkan cinta kepada Allah dan Rasul melebihi yang lain. Adakah kita ingin mengikut telunjuk taukey yang menyuruh kita meninggalkan solat kerana mengganggu waktu kerja? Tidak sekali-kali. Kepada siapakah perlu kita minta rezeki? Laut? Pokok? Matahari? Atau bos kita? Tidak. Kita minta kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang memberikan rezeki.

Undang-undang siapa kita nak ikut? Undang-undang Allah.. kalau nak pertikai, ingatlah.. Dari dulu lagi manusia mempertikaikan al Quran. Di zaman Nabi SAW, manusia mempertikaikan ayat-ayat Allah, akhirnya mereka sendiri tidak mampu menandinginya. Hari ini, manusia comfirm tidak mampu untuk menandingi undang-undang Allah.

Siapakah yang perlu kita contohi? Rasulullah SAW. Bukanlah artis-artis yang berstyle tak tentu pasal. Manusia lebih suka mencontohi artis, pelakon, model dan sebagainya. Apa yang bagusnya mereka itu? Khatan pun tidak! Untuk apa kita hidup? Kita hidup untuk memperjuangkan Islam. Kalau hidup hanya untuk tidur, lebih baik mati sahaja. Tapi, HARAM bunuh diri... Janganlah “membunuh diri” anda dengan tidur yang menyebabkan diri anda ada macam takda.. WaLlahua’lam.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Usuluddin Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya
 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal