20 November 2012

Wahai Penganut Budha Di Myanmar dan Syiah Di Syria

Maha Suci Allah SWT, Tuhan yang menciptakan seluruh alam dan semua manusia.

Saya salah seorang daripada jutaan orang Islam yang hidup di dunia ini. Saya berpegang dengan Islam kerana ia adalah agama fitrah, yang telah diwahyukan oleh Allah SWT bagi memandu hidup manusia.

Islam adalah agama yang menyuruh kepada keamanan, mengajak kepada kebaikan, menolak kezaliman dan mencegah kemungkaran. Saya yakin, semua agama diasaskan oleh pengasas masing-masing mempunyai tujuan yang murni. Cuma, mereka mengasaskan agama masing-masing dengan cara masing-masing, bukan dari petunjuk Allah SWT, Tuhan sekalian alam.

Apabila saya melihat kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam di serata dunia, saya tertanya-tanya, kenapakah mereka melakukan sedemikian terhadap umat ini?

Apabila melihat umat Islam di Myanmar dibunuh dan diseksa, saya tertanya-tanya.. bukankah Agama Budha adalah agama yang mengajak kepada pembentukan peribadi dan syakhsiah yang baik dan berakhlak? Adakah Budha mengajar kalian membunuh orang yang beragama lain?

Apabila melihat umat Islam di Syria dibunuh dan diseksa, saya tertanya-tanya.. bukankah Syi'ah juga menganggap diri mereka sebagai seorang muslim? Pernahkah Saidina Ali KAW mengajar untuk kamu membunuh muslim yang lain?

Lalu, ada yang menunding kepada Islam.. dan berkata : Islam juga menyuruh supaya membunuh penganut agama lain.. Saya katakan : Tidak.. Itu tanggapan dan kefahaman yang silap terhadap agama kami oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Islam memerintahkan supaya membunuh mereka yang murtad, iaitu keluar daripada Islam kerana murtad adalah satu bentuk penghinaan terhadap Islam.

Apabila ada yang bertanya : Ini bermakna Islam tidak memberi kebebasan beragama.. Saya menjawab : Islam membenarkan sesiapa sahaja untuk berpegang dengan agama mereka, tetapi Islam melarang daripada seorang muslim untuk keluar daripada Islam.

Islam tidak memaksa sesiapapun untuk non muslim berpegang dengan Islam. Sebaliknya, kami mengalu-alukan kehadiran kalian untuk memahami tentang agama ini. Lihatlah kebebasan non-muslim yang dapat hidup di negara Islam dengan aman dan damai. Tetapi kenapakah apabila umat Islam berada di negara bukan Islam, kami dibunuh dan diseksa?

Ada yang menunding jari, sambil berkata : Islam suka berperang.. membunuh manusia..

Lalu saya berkata : Islam memerangi mereka yang melakukan kezaliman. Islam memerangi mereka yang melakukan penindasan.. Tetapi kenapakah Islam pula dilabelkan sebagai penindas sedangkan kami memerangi penindasan?

Apabila kalian membaca sejarah, siapakah yang mencetuskan Perang Dunia Pertama? Adakah Islam? Tetapi Islam dilabelkan sebagai pengganas.

Siapakah yang mencetuskan Perang Dunia Kedua? Adakah Islam? Tetapi Islam dilabelkan sebagai pengganas.

Siapakah yang merampas bumi Palestin daripada rakyatnya? Siapakah yang menceroboh bumi Palestin? Adakah Islam? Tetapi Islam dilabelkan sebagai pengganas.

Siapakah yang mengebom Bandar Hiroshima sehingga bumi Jepun bertukar menjadi padang yang kontang? Adakah Islam? Tetapi Islam dilabelkan sebagai pengganas.

Siapakah yang melanggar WTC sehingga runtuh di tengah-tengah Bandar? Tiada bukti yang mengatakan ia adalah perbuatan yang dilakukan oleh seorang muslim.. tetapi media mengatakan Islam adalah puncanya sehinggakan dunia melabelkan Islam sebagai pengganas.

Tunjukkan, di manakah bukti kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh Islam? Kalian melihat umat Islam ditindas di seluruh dunia, kemudian kalian menganggap Islam itu pengganas?

Wahai penganut Agama Budha, khususnya yang berada di Myanmar. Sepanjang saya mengkaji tentang agama anda, saya mendapati bahawa Budha mengajak kepada kebaikan, menghormati orang lain dan berakhlak mulia.

Tetapi saya terkilan melihat kanak-kanak Islam, orang-orang tua yang beragama Islam, dan wanita muslimah, mereka dibunuh dan diseksa oleh kalian. Kenapa? Apakah dosa kami sehinggakan kami diperlakukan sedemikian?

Wahai penganut Syi'ah.. kenapakah kecintaan kamu kepada ahli keluarga Baginda SAW menyebabkan kalian membunuh umat Islam yang lain di Syria? Apakah dosa kami yang mendorong kalian melakukan sedemikian?

Wahai seluruh manusia, kembalilah kepada fitrah kamu. Iaitu fitrah yang hanya beriman dengan Tuhan yang Esa. Iaitu fitrah yang tidak sukakan kekejaman dan kezaliman. Iaitu fitrah yang sukakan keamanan dan ketenangan. Iaitu fitrah yang mempunyai nilai-nilai perikemanusiaan.

Yakinlah, Islam itu adalah agama yang fitrah.. Fahamilah tentang agama ini.. Kalian akan mendapat ketenangan padanya.

Muhammad Mujahid Ibnu Ir Fadzil, 
BA, Hons, Usuluddin, Akidah dan Falsafah, 
Universiti al Azhar.



Pada Ramadhan lalu diberi peluang untuk berterawih dengan imam dari Myanmar. Beliau sudah pun menamatkan pengajian di Universiti di Bangladesh, dan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sebuah maahad. Hadis sunan sittah telah beliau pelajari termasuk beberapa kitab lain dalam bidang hadis. 

Bermazhab Syafie dalam Fiqh. Keluarganya di Myanmar ditekan dan berada dalam keadaan tidak stabil di sana. Di dalam gambar, berada di tengah dan berserban hijau.

1 comments:

Hazmi Al-Wafi on November 20, 2012 at 6:34 AM said...

Terima kasih untuk perkongsiannya ustaz.

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal