26 February 2011

Kebangkitan Pemuda Mesir Dan Kejatuhan Mubarak Yang Tua


Setelah hampir sebulan berlalu kemelut di bumi Mesir, saya terpanggil untuk mengulas beberapa aspek yang perlu diberi perhatian oleh warga Malaysia, terutamanya kerajaan Malaysia sendiri.

Sudah ramai blogger yang mengulas tentang isu Mesir ini, tetapi saya belum menemui (waLlahua’lam) cara Baginda SAW yang boleh saya katakan, hampir sama dengan apa yang terjadi.

TARBIAH JIWA PEMUDA DI ZAMAN NABI

Kebangkitan di Mesir terjadi setelah Tunisia, dan diikuti dengan beberapa buah negara lagi seperti Yaman dan Libya. Ketika zaman Baginda SAW, Nabi pernah melakukan “pertembungan damai” (muwajahah silmiyah) terhadap pemerintah.

Sebelum itu, saya tertarik untuk mengaitkannya dengan Sirah Nabi Musa AS yang berlaku di Mesir, dan berhadapan dengan pemerintah Mesir ketika itu. Nabi Musa AS juga melalui pengalaman yang sama apabila beliau diperintahkan untuk menyatakan kebenaran di hadapan Firaun yang mengaku dirinya Tuhan.

Dalam masa yang sama, Nabi Musa AS telah dilatih oleh Allah SWT dengan daya tahan lasak, rohani dan beberapa strategi untuk berhadapan dengan Firaun. Bukan bertindak melulu tanpa sebarang persiapan.

Antaranya, Nabi Musa AS diajar dengan mengembala kambing, hidup di perkampungan dengan kehidupan yang susah. Sama seperti pentarbiahan yang diterapkan di dalam jiwa Nabi Muhammad SAW. Nabi Musa AS mengembala kambing di perkampungan Nabi Syuib, iaitu di Madyan.

Setelah lama berada di sana, Nabi Musa AS berasa rindu untuk kembali ke tanahairnya, itu Mesir. Bersama dengan keluarganya, Nabi Musa AS menuju ke Mesir dan melalui Wadi Muqaddas ketika itu musim sejuk dan gelap. Sukar mendapatkan cahaya. Di situlah Nabi Musa menerima wahyu daripada Allah, memerintahkannya ke Mesir, untuk menyatakan kebenaran kepada Firaun.

Allah SWT menyuruh Nabi Musa AS untuk bertemu dengan saudaranya, Nabi Harun, kerana kepetahannya dalam berkata-kata. Ini juga satu strategi yang telah Allah ajarkan kepada Nabi Musa AS, untuk berdebat secara ilmiah.

FATHUL MAKKAH DAN KEBANGKITAN RAKYAT MESIR

Begitu juga Nabi Muhammad SAW, yang telah dilatih dan ditarbiah oleh Allah SWT sejak di Mekah. Sejak kecil, beliau dijaga daripada terjerumus ke lembah maksiat dan kelalaian, sedangkan remaja-remaja seusia dengan Baginda SAW sedang berseronok dengan kehidupan masing-masing.

Sedikit demi sedikit keberanian itu dipupuk sehinggalah beliau diperintahkan untuk menyebarkan dakwah secara terang-terangan. Setelah berhijrah ke Madinah, dan membina sebuah pemerintahan Islam di sana, Baginda SAW kembali ke Mekah untuk melakukan pembebasan Kota Mekah (Fathul Makkah) dengan cara yang paling berhikmah dan berstrategi.

Pertama

Apabila kita membuka lembaran Sirah, kita akan mendapati bahawa pembukaan Kota Mekah tercetus setelah pelanggaran perjanjian Hudaibiah oleh pihak Quraisy. Pengkhianatan ini hampir sama dengan apa yang terjadi di Mesir, setelah pihak kerajaan mengkhianati rakyat dalam pilihanraya sebelum itu.

Antara isi kandungan Perjanjian Hudaybiah ialah :

1. Rasulullah harus pulang sahaja di tahun ini, tanpa memasuki Makkah, di tahun hadapan mereka memasuki Makkah dan boleh tinggal hanya tiga hari sahaja, membawa senjata sebagai penunggang itu pun pedang harus disarungkan dan Quraisy tidak akan membuat sebarang halangan.

2. Dihentikan peperangan di antara dua pihak untuk selama sepuluh (10) tahun hingga orang awam menikmati keamanan dan kedua belah pihak berhenti mengganggu lawannya.

3. Sesiapa yang ingin berikat janji dengan Muhammad dia berhak berbuat demikian dan sesiapa yang ingin berikat janji dengan Quraisy dia berhak berbuat demikian, dengan anggapan qabilah yang menyertai salah satu kern ini sebagai sebahagian dari kem berkenaan, pelanggaran oleh mana-mana qabilah ini dianggap sebagai pelanggaran ke atas kem induk.

4. Sesiapa sahaja yang lari dari Quraisy lantas menyertai Muhammad tanpa izin dari orang yang dipertanggungjawabkan, hendaklah dihantar balik. Dan sesiapa yang lari dari Muhammad lantas menyertai Quraisy tidak ditolak.

Pelanggaran perjanjian tersebut telah terjadi berdasarkan apa yang telah telah diceritakan oleh Safiurrahman al Mubarakfuri di dalam kitab ar Raheq al Makhtum :

Dengan kedatangan Islam dan termeterainya perjanjian keamanan al-Hudaibiah maka tertebarlah benih keamanan di antara semua pihak, namun Banu Bakar masih tetap hendak membalas dendam kesumat lamanya, di mana Naufal bin Muawiyah al-Daily bersama jemaahnya banu Bakar telah keluar di Bulan Syaaban tahun kelapan (8) Hijrah, lantas menyerang Khuza'ah di malam hari, sedang di masa itu mereka sedang berada di kawasan berair yang dikenali sebagai "al-Watir" dalam kejadian berkenaan Banu Bakar telah berjaya membunuh orang-orang Khuza'ah dan sebagai lanjutan terjadilah pertarungan dan peperangan di antara keduanya dan seterusnya Quraisy menghulur bantuan senjata kepada sekutunya banu Bakar, malah beberapa tokoh Quraisy telah turut serta di dalam peperangan berkenaan berselindung di sebalik kegelapan malam, hingga mereka dapat membawa Khuza'ah ke dalam kawasan al-Haram Makkah. Oleh yang demikian maka berkatalah Banu Bakar:

"Wahai Naufal! sekarang kita telah memasuki kawasan al-Haram ingatlah, Tuhan kau, Tuhan kau, lantas al-Khuza'ah menjawab: Wahai Bakar tiada Tuhan di hari ini, kamu sudah pun membalas dendam kesumat kamu itu, ku bersumpah, sebenarnya kamu telah melakukan pencabulan di kawasan al-Haram ini, tidakkah di sini sudah terbayar dendam kamu itu?

Setelah Khuzaah melangkah masuk ke kawasan Makkah mereka terus mendapat perlindungan di rumah Budail bin Warqa' al-Khuza'i dan rumah kawan setia mereka yang dikenali sebagai Rafie'. Amru bin Salim al-Khuza'i terus meluru ke Madinah menemui Rasulullah. Sesampainya beliau di sana, beliau pun mempersembahkan kepada Rasul hasratnya melalui madahnya, sedang pada masa itu Rasulullah sedang duduk berbual di dalam masjid bersama-sama kaum muslimin.

Pengkhianatan perjanjian ini hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Mesir, yang telah mengkhianati pilihanraya. Pilihanraya diadakan secara tipu, calon-calon ada yang “dilesapkan”, rasuah dan banyak lagi.

Kedua

Selain itu, kebangkitan umat Islam ketika Fathul Makkah juga berdasarkan strategi yang cukup hebat. Iaitu kerahsiaan. Gerakan untuk membebaskan Kota Mekah telah dipastikan kerahsiaannya. Rahsia untuk membuka Kota Mekah hampir-hampir terbocor. Perkara ini telah diceritakan oleh Safiurrahman al Mubarakfuri di dalam kitab ar Raheq al Makhtum

Di dalam suasana yang kritikal itu, seorang sahabat bernama Hatib bin Abi Baltaah telah mengutus risalah ke Makkah buat menceritakan pergerakan Rasulullah ke sana, beliau mengupah seorang perempuan untuk membawa risalah berkenaan. Beliau bertindak menyorok risalah berkenaan di dalam sanggulnya. Di masa itu Allah memberi tahu RasulullahNya tentang tindakan Hatib itu lantas Rasulullah mengutus Ali dan Miqdad dengan sabdanya: Ayuh kamu berdua ke sana hingga ke tempat bernama "Raudhah Khakh" kerana di sana ada seorang perempuan ya.ng membawa risalah untuk Qm-aisy. Mereka berdua terus bergerak ke sana, hingga sampai ke tempat seperti yang disebut oleh Rasulullah, setelah berhadapan dengan perempuan yang disebutkan itu, mereka meminta perempuan berkenaan turun dari kenderaannya dengan berkata: "Kamu membawa risalah?" Jawab perempuan itu: "Aku tidak ada sebarang .risalah pun". Ali dan Miqdad pun memeriksa kenderaannya dan tidak didapati sebarang apa pun; kemudian kata Ali: "Aku bersumpah dengan nama Allah, masakan Rasulullah berdusta dan membohongi kita, demi Allah kau mesti serahkan surat itu atau kalau tidak kami telanjangkan kau".

Setelah beliau melihat kesungguhan Ali maka katanya: "Ayuh berpaling dari sini", setelah beliau berpaling, perempuan itu pun merungkai sanggulnya dan dikeluarkan risalah berkenaan, serta diserahkan kepada Ali, dengan itu mereka berdua kembali membawanya kepada Rasulullah. Baginda mendapati surat berkenaan, bunyinya: (Dari Hatib bin Abi Baltaah ke hadapan Quraisy) memaklumkan mereka mengenai pergerakan Rasulullah, maka Rasulullah pun menjemput Hatib dengan bertanya: "Apakah motifnya yang membawa kamu menulis risalah kepada Quraisy?" Jawab Hatib: "Wahai Rasulullah janganlah segera menghukum ke atasku. Demi Allah daku ini tetap beiiman dengan Allah dan RasulNya, tidak sekali pun aku murtad atau menukar agama, tetapi daku ini seorang lelaki yang terikat dengan Quraisy namun bukanlah sebahagian dari mereka, cuma anak dan keluargaku sahaja berada di sana, malahan daku tidak ada sebarang ikatan kekeluargaan di sana yang boleh menjaga keselamatan di antara satu sama lain, maka di sini ku sukalah sebagai mengganti kekurangan ku tadi dengan menjadikan mereka sebagai pihak yang boleh menjaga keselamatan anak-anakku di sana.

Kata Umar: "Wahai Rasulullah serahkan sahaja si munafiq ini untuk ku penggal lehernya, orang ini sudahpun mengkhianati Allah dan RasulNya. Dia sudah menjadi munafiq." Jawab Rasulullah: "Beliau ini adalah peserta peperangan Badar, mana tahu, boleh jadi Allah telah membuka sesuatu kepada tentera Badar. Kemudian Rasulullah bersabda: Lakukanlah apa yang hendak kamu lakukan, sebenarnya aku mengampuni kamu. Di masa itu air mata beliau mengalir dipipinya dan berkata: Sesungguhnya Allah lebih mengetahui.

Demikian kehendak Allah untuk menjaga supaya tidak ada sebarang berita mengenai persiapan dan pergerakan kaum muslimin yang sampai ke pengetahuan Quraisy.

Selain itu, teknik kerahsiaan Baginda SAW juga telah disebut oleh Safiurrahman al Mubarakfuri di dalam al Raheq al Makhtum :

Sebagai usaha menutup dan mengaburkan tindakan Baginda, Rasulullah mengutus satu unit sariyah yang terdiri lapan orang di bawah pimpinan Abu Qutadah bin Rabie' ke daerah kediaman Adham yang terletak di antara Zi al-Khasyab dan Zi al-Maruah, kira-kira sejauh tiga "Barad" dari al-Madinah. Kira-kira di awal bulan Ramadhan tahun kelapan (8) Hijrah, supaya disangka orang bahawa Rasulullah akan menuju ke sana, dan sebagai cara buat merahsiakan pergerakan yang sebenar, sariyah ini terus berjalan hinggalah sampai berita kemaraan Rasulullah ke Makkah, maka sariyah ini mengalih arahannya hingga bertemu dengan Rasulullah.

Sama seperti apa yang terjadi di Mesir. Tanpa diketahui, secara tiba-tiba seramai 15 000 orang berdemo pada hari pertama di Dataran Tahrir pada tarikh 26 Januari. Bagaimanakah kekuatan ini dikumpulkan? Sudah pastinya perancangan telah dilakukan, dan kekuatan dikumpulkan sehingga ke saat yang dinantikan.

Ketiga

Antara teknik yang hebat, yang dapat kita lihat melalui Fathul Mekah ini ialah menggunakan arahan pimpinan besar Quraisy sendiri untuk memastikan keselamatan penduduk. Apabila melihat kebangkitan pemuda yang dilakukan di Mesir, mereka melakukannya secara aman. Tiada sebarang kekasaran, sehinggalah kumpulan mafia menyusup masuk di dalam demostrasi tersebut dan melakukan keganasan.

Keselamatan penduduk setempat adalah elemen penting yang dilakukan oleh Baginda SAW ketika Fathul Makkah. Safiurrahman al Mubarakfuri menceritakan di dalam ar Raheq al Makthum :

Sewaktu Rasulullah melalui di hadapan Abu Sufian, al-Abbas berkata kepadanya; "Ayuh selamatkan kaum kau". Abu Sufian pun bergegas pulang ke Makkah, sesampainya beliau ke Makkah, terus beliau melaung sehabis suaranya:

"Wahai kalian Quraisy, itu dia Muhammad telah datang dengan tenteranya yang belum pernah ku saksi sebelum ini, maka sesiapa yang berlindung di rumah Abu Sufian beliau adalah selamat", lalu isterinya Hindun binti Utbah menuju ke arahnya lantas menarik misainya dan berkata: "Bunuh si gemuk gedempul yang tak berguna ini, hodoh sungguh pengawal peninjau ini".

Kata Abu Sufian pula: "Binasalah kamu, di hari ini jangan kamu bersombong diri, kerana hari ini Baginda telah datang dengan bala tentera yang belum pernah dilihat seramai ini, Ayuh cepat, siapa yang berlindung di rumah Abu Sufian beliau adalah selamat". Jawab orang-orang Quraisy: "Celaka engkau, apa yang boleh menyelamatkan kami sekiranya kami berada di dalam rumah mu ini?". Sambung Abu Sufian: "Siapa yang masuk ke dalam rumahnya dan mengunci dari dalam, beliau juga terselamat dan sesiapa memasuki al-Masjid beliau juga selamat". Dengan itu, orang ramai pun segera berpecah dan memasuki rumahnya dan al-Masjid, di samping mengumpulkan askar-askar biasa mereka dengan berkata: "Kita kedepankan mereka ini, tapi sekiranya berlaku sesuatu ke atas Quraisy maka kita akan bersama dengan mereka ini, sekiranya mereka terbunuh maka kita bayar sahaja apa yang mereka pinta dari kita". Di suatu tempat segolongan Quraisy yang singkat pemikiran berkumpul dengan Ikrimah bin Abi Jahal, Sufwan bin Umaiyah dan Suhail bin Amru. Tempat itu dikenali sebagai al-Khandamah bertujuan memerangi kaum muslimin. Di antara mereka ada seorang dari qabilah Banu Bakar bernama Hamas bin Qais, beliau sebelum ini bertugas mengumpul senjata, di suatu hari pernah ditanya oleh isterinya: "Kenapa kamu menyediakan apa yang ku lihat ini?". Jawab beliau: "Kesemua ini untuk Muhammad dan sahabat-sahabatnya". Jawab isterinya: "Tak ada suatu pun yang boleh menghalang Muhammad dan sahabat-sahabatnya".

Pertembungan secara aman ini telah dipraktikkan oleh Baginda SAW dengan jayanya. Hampir sama dengan apa yang terjadi di Mesir, rakyat Mesir yang berdemo tidak dibenarkan membawa senjata atau bahan api. Cuma, Demostrasi aman tersebut telah dikotorkan oleh tangan-tangan mafia yang menyusup masuk di dalam demostrasi tersebut.

KEKAYAAN MUBARAK MEMAKAN DIRI

Setelah saya menjelaskan tentang kebangkitan pemuda Mesir yang hampir sama dengan Fathul Makkah, suka untuk saya senaraikan beberapa jenayah yang dilakukan oleh pimpinan Mubarak, yang menyebabkan beliau dijatuhkan.

Sebelum itu, suka untuk saya kaitkan dengan apa yang terjadi di Zaman Nabi Musa AS, di mana Firaun yang menganggap dirinya sebagai tuhan, telah menjadikan rakyat jelatanya sebagai hamba. Dirinya disembah oleh rakyatnya, walhal rakyatnya dikerah dan dipaksa untuk bekerja dengannya.

Firaun yang juga pemerintah Mesir satu ketika dulu menganggap segala kekayaan yang diperolehi oleh negara tersebut adalah hasil air tangannya. Bahkan Firaun mengatakan bahawa Sungai Nil yang mengalir di Mesir itu, adalah di bawah tapak kakinya. Segala kekayaan hasil bumi Mesir dikaut oleh Firaun, dan para rakyatnya dipaksa untuk bekerja dengannya.

Apabila datangnya Nabi Musa AS, beliau telah dimaklumkan bahawa Nabi Musa AS bakal menjadi pencabar terhebatnya. Lalu, Firaun telah mengerahkan tentera-tenteranya untuk membunuh semua bayi lelaki Bani Israel, bimbangkan kemunculan bayi yang bakal menggoncang takhtanya satu hari nanti.

Teringat pula pada krisis yang terjadi di Mesir, beberapa tokoh yang kelihatan mencabar Mubarak pastinya akan diancam pelbagai ancaman. Antara mereka ada yang dilesapkan, dipenjara, digantung, dituduh dengan kes bermacam-macam dan sebagainya. Cukup takut takhtanya dirampas orang lain.

Akhirnya setelah 3 dekad memerintah, takhta beliau dilepaskan. Itupun setelah berjaya mengaut USD 72 billion di sepanjang karier pemerintahannya. Apa yang terjadi di zaman Nabi Musa AS, cukup memberi pengajaran apabila Baginda AS telah mengajar Bani Israel tentang Islam.

Firaun terkejut dan rasa tercabar apabila Islam yang dibawa oleh Nabi Musa AS telah menafikan ketuhanan firaun. Bahkan para ahli sihir firaun juga telah melihat kebesaran mukjizat Nabi Musa AS. Tetapi disebabkan sombong, Firaun tetap enggan beriman dengan Tuhan Yang Maha Esa.

Akhirnya Bani Israel telah keluar dari bumi Mesir dalam keadaan dikejar, cuba dibunuh juga oleh tentera Firaun. Akhirnya Allah tenggelamkan kekuatan firaun yang tidak seberapa itu di dalam laut, yang masih lagi wujud di bumi Mesir ketika ini.

Di dalam topik ini, cuba untuk saya ketengahkan beberapa kekayaan Mubarak, hasil daripada pemerintahan beliau di bumi Mesir.

1. Harta beliau yang telah diumumkan sebanyak USD 72 billion itu telah “memotong” orang paling kaya di dunia iaitu Slim Helu dari Mexico (USD 54 billion) dan Bill Gates (USD 53 billion). Hartanya itu telah disimpan di dalam bank di Britain dan Swirtzerland. Akhbar al khabar menyatakan bahawa kekayaan beliau juga ada disimpan di Manhattan, New York dan Beverly Hills di California.

2. Terdapat juga beberapa syarikat yang bekerjasama dengan Mubarak telah menguntungkan beliau sebanyak USD 15 juta setahun.

3. Beliau memiliki beberapa aset mewah, antaranya sebuah rumah mewah 6 tingkat yang terletak di London, bernilai USD 13.6 juta, sedangkan rakyat Mesir masih ramai yang tidak memiliki tempat kediaman. Bahkan hanya tinggal di lorong-lorong sampah.

4. Anaknya, Gamal Mubarak mempunyai 2 kapal persiaran mewah yang bernilai USD 81 Juta. Gamal dan adiknya, Ala masing-masing dikatakan mempunyai kekayaan USD 25 juta.

Selebihnya anda boleh dapatkan di dalam internet dan laman-laman web yang berkaitan. Apabila menceritakan keadaan ini, teringat saya kepada Qarun. Qarun adalah seorang yang berbangsa Bani Israel, yang tinggal di Mesir. Pada mulanya beliau adalah seorang yang miskin, dan sentiasa bersama dengan Nabi Musa AS.

Satu hari, beliau memohon kepada Nabi Musa supaya meminta kepada Allah, untuk melimpahkan kekayaan kepadanya. Setelah rezekinya dimurahkan oleh Allah, beliau lupa daratang. Beliau membiarkan Bani Israel hidup papa kedana, dan hidup seperti golongan hamba.

Akhirnya, beliau telah ditenggelamnkan oleh Allah dengan segala kekayaan yang dimilikinya. Ini kerana beliau sombong dengan kekayaan tersebut dan enggan membantu Bani Israel yang kesusahan. Dengan kata lain, harta tersebut dibolot seorang. Sehingga sekarang, sifir ekonomi menimbulkan persoalan, bagaimanakah Mubarak boleh bergelar orang paling kaya di dunia setelah bergelar Presiden Mesir?

Maka, jawapan kepada sifir ini ialah “pastinya ada sesuatu yang tak kena pada sumber kewangannya”.

Ambillah iktibar wahai yang berakal

Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

24 February 2011

Berita Gembira Bertarikh 24 Februari

Hari ini 24 Februari.. hampir sebulan bercuti daripada berstatus blogger. 26 Januari adalah hari terakhir bekalan internet dapat saya terima. Hari-hari selepas itu, terputus disebabkan beberapa perkara, antaranya habis tempoh broadband, perpindahan ke sana ke mari.. dan lain-lain lagi.

Setelah membelek helaian-helaian kalendar, baru saya sedar, baby kembar saya sudah pun berumur 53 hari. Berat semakin bertambah, saiz semakin besar dan tangisan semakin kuat.

Cuma, di kesempatan ini, suka untuk saya berkongsi berita gembira bersama sahabat-sahabat.. Antaranya

- 2 pasang BP PMRAM baru sahaja mendirikan rumahtangga, iaitu Us Hidayat dan Us Zuhaili.

- 3 pasang ahli KPIPM bakal mendirikan rumahtangga dalam tempoh 2 bulan ini.

- Ustaz Khalil Yahaya dan Ustazah Masyitah baru sahaja dikurniakan cahayamata yang bernama Nur Syifa' binti Khalil semalam, 23 Februari.

- Saya menerima jemputan untuk berforum di UiTM Merbok, Kedah. Iaitu pada malam 25 Februari, dan malam 26 Februari.

Tajuk Forum

25 Februari : Malaysia VS Mesir (berganding bersama Ustazah Ibtisam HEWI PMRAM)

26 Februari : Aku Dibius Cinta

- Buku "Cebisan Hati Manusia" cetakan Mawleed Publishing sudah menampakkan hasil positif. Doakan semoga usaha ini berkembang lagi dengan buku-buku saya yang bakal menyusul selepas itu.

- Semalam, 23 Februari, saya baru mula menulis karya saya yang ke 8 (di Malaysia), yang masih dirahsiakan tajuknya.

Sekadar ini sahaja perkongsian buat setakat ini. Semoga perkongsian ini mendorong anda untuk sama-sama bermotivasi.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya
 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal