19 November 2010

Khutbah Raya : Pengorbanan Mengajar Erti Taat Setia Dan Akidah Yang Mantap


PMRAM.org

KAHERAH, 19 Nov - Khutbah raya yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Zuhaili Saiman pada 16 November yang lalu menekankan beberapa aspek penting dan intipati dalam pengorbanan yang telah ditonjolkan oleh Nabi Ibrahim AS. Beliau menegaskan dalam khutbahnya bahawa intipati yang utama dalam pengorbanan adalah nilai taat setia yang tidak berbelah bahagi lagi.

Hal ini dapat dilihat terhadap Nabi Ibrahim AS sebaik sahaja menerima perintah daripada Allah SWT. Nabi Ibrahim AS tidak pernah merungut atau meminta agar suruhan tersebut diberikan pilihan yang lain walaupun perintah yang diberikan adalah sangat berat jika dinilai. Bahkan perintah yang diberikan bukan hanya sekali sewaktu bermimpi menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS, namun sejak Nabi Ismail AS masih kecil, Allah SWT telah pun memerintahkan Nabi Ibrahim AS agar meletakkan Nabi Ismail AS beserta isteri baginda, Siti Hajar ke Mekkah, yang mana pada waktu itu tidak ada seorang manusia pun yang hidup di sana, hanya tanah yang kering kontang sahaja.

Namun atas taat setia kepada perintah Allah, semua perintah yang diturunkan dijalankan dengan sebaiknya. Ini adalah contoh yang terbaik menjadi panduan kepada umat Islam pada hari ini. Nilai taat setia adalah eleman utama dalam menjalankan sesebuah perintah walaupun ia sangat berat.

"Nilai taat setia inilah yang menjadi pemangkin keberjayaan bagi satu-satunya perintah yang dikeluarkan. Tanpa nilai taat dan setia mana mungkin perintah itu mampu dilaksanakan dengan baik bagi menghasilkan sesebuah pengorbanan," tegas Saudara Zuhaili Saiman di dalam khutbahnya.

Selain itu, di dalam khutbah yang kedua, beliau lebih menekankan aspek tauhid yang mantap ekoran pengajaran yang terdapat di dalam sirah Nabi Muhammad SAW berkenaan Haji Akbar yang dilaksanakan oleh baginda SAW pada tahun 9 Hijrah. Aspek akidah adalah asas bagi seseorang menlaksanakan sesebuah pengorbanan yang suci tanpa disebabkan unsur-unsur luar yang lain.

Sehubungan itu beliau merakamkan kembali apa yang telah disebut oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi mengenai dengan asas akidah bagi umat Islam. Dr Yusuf Al-Qardhawi menegaskan bahawa punca utama kemurtadan dan masalah umat Islam adalah akidah yang rapuh dan goyang.

"Ramai umat Islam yang solat, zakat dan haji, namun dalam masa yang sama mereka mencuri, melakukan maksiat dan memakan harta secara batil. Hal ini demikian mereka hanya menyembah Allah, akan tetapi mereka tidak nampak bahawa Allah merupakan pemutus hukuman dan sistem kehiudpan. Disebabkan itu, mereka berani melakukan maksiat kerana tidak takut akan hukuman daripada Allah," jelas Saudara Zuhaili Saiman dengan tegas.

"Mengapa mereka yang diugut zakat, dihalau daripada tempat kediaman takut untuk memperjuangkan perkara yang hak?Adakah mereka tidak menganggap Allah sebagai tempat berlindung?Adakah mereka meminta rezeki kepada manusia?," tambah beliau yang mempersoalkan integriti mahasiswa Islam sekarang.

Dan di akhir khutbah beliau menyeru dan mengajak semua muslimin dan muslimat agar memutik kembali nilai taat setia dalam melaksanakan sebuah perintah bagi mmperkasakan gerak kerja untuk Islam. Beliau juga mengingatkan kepada semua agar mempertahankan integriti sebagai mahasiswa Islam, jangan mudah dicabuli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal