22 August 2010

Lagi Kes Pecah Rumah Hari Jumaat

KAHERAH, 20 Ogos - Satu lagi kejadian kes pecah rumah sewa pelajar Malaysia yang melibatkan warga tempatan berlaku ketika orang ramai menunaikan solat Jumaat di masjid.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari di bangunan 23 Jalan Yusof Musa itu menyebabkan kehilangan sebuah komputer riba milik salah seorang pelajar di situ.

Kata beliau yang tidak mahu dikenali namanya "Sudah banyak kali rumah kami ni kena pecah masuk oleh orang arab. Kejadian terakhir yang berlaku sebelum ni kira-kira 2 bulan yang lepas. Yang pastinya semua kecurian tu berlaku ketika kami semua solat Jumaat di masjid".

Katanya lagi, kejadian yang sama berlaku sebelum ini langsung tidak dilaporkan kepada pihak keselamatan Mesir ekoran tidak tahu mengadu pada siapa. Mungkin disebabkan perkara tersebut menyebabkan pencuri yang sama tidak serik untuk memecah masuk buat kali yang seterusnya.

Selepas dilaporkan kepada PMRAM, beberapa orang Badan Pengurus diketuai oleh Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime terus ke tempat kejadian untuk melihat keadaan serta mengambil maklumat.

Seorang wakil pelajar rumah sewa tersebut bersama Presiden PMRAM membuat laporan kejadian di balai polis Qisim Awwal Madinah Nasr.

Ujar Presiden PMRAM ketika ditemui di tempat kejadian "Hari Jumaat adalah peluang bagi pencuri untuk memecah masuk rumah mahasiswa kita terutamanya ketika solat Jumaat. Oleh itu saya memesan kepada semua mahasiswa untuk lebih berhati-hati apabila meninggalkan rumah".

"Bukan itu saja, sekarang ni ramai mahasiswa kita yang memiliki motor. Pastikan motor berkunci serta dirantai pada waktu malam. Tidak memadai dengan hanya mengunci tayar sahaja kerana sudah ramai mahasiswa kita kehilangan motor akibat tidak dirantai".

Mangsa mengucapkan jutaan terima kasih kepada PMRAM kerana banyak membantu mahasiswa Malaysia di sini.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal