Erti Ujian Yang Sebenar
Apabila kita bertanya tentang ujian, maka setiap orang yang beriman pasti tidak akan lari daripadanya. Di sana terdapat beberapa jenis rintangan yang disebutkan di dalam al Quran, antaranya ialah ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, kematian sanak saudara dan sebagainya.
Perkara ini telah disebukan oleh Allah SWT di dalam al Quran Surah al Baqarah, ayat 155
Maksudnya : Dan Kami pasti akan menguji kamu seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, dan sampaikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu, mereka yang apabila ditimpa ujian, mereka mengucap “sesungguhnya kami kepunyaan Allah, dan kepadaNya kami kembali
Dr Wahbah az Zuhaili menyebut di dalam Tafsir Munir (1/402) bahawa :
a. Apa yang dimaksudkan dengan ketakutan itu ialah, sedikit ketakutan yang diuji oleh Allah SWT kepada orang yang beriman, ketika berhadapan dengan musuh.
b. Kelaparan juga diuji disebabkan tanah yang tidak subur, atau dengan kata lain, disebabkan kekurangan makanan dan keperluan harian.
c. Kekurangan harta disebabkan ia hilang. Ya, seorang yang beriman akan diuji dengan kehilangan harta benda, dipotong gaji, sekatan sumber pendapatan dan sebagainya.
d. Kematian sanak saudara atau pun orang yang disayangi disebabkan berjuang di jalannya.
Inilah sedikit ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang beriman. Ujian ini bertujuan meningkatkan keimanan hambaNya terhadap Allah SWT. Maka, beruntunglah mereka yang diuji.
Adakah Kekayaan Itu Juga Satu Ujian?
Allah SWT berfirman di dalam Surah al Anbiya’, ayat 35
Dan kami akan menguji kamu dengan keburukan, dan kebaikan
Iaitu ujian yang Allah SWT berikan kepada orang yang beriman dalam dua bentuk, samada ujian yang kita sukai ataupun kita benci. Contohnya diuji dengan sihat dan sakit, kaya dan miskin, senang dan susah, halal dan haram, ketaatan dan kemaksiatan, dan sebagainya. (ibid 9/59)
Maka, kita perlu sedar bahawa setiap detik seorang yang beriman pastinya akan diuji. Sekiranya kita merasa senang dengan hidup, berhati-hati kerana ia adalah ujian. Dan kerap kali kita akan kalah dengan ujian yang berbentuk kebaikan ini. Ujian ini akan melatih seseorang itu supaya tidak leka dengan kesenangan sementara yang diberikan.
Allah SWT berfirman di dalam Surah al Anfal, ayat 17
Dan Tuhan hendak menguji orang yang beriman dengan ujian yang baik
Wahai orang yang beriman, bersabarlah dengan ujian itu. Kadangkala kita diuji dengan sogokan duit sehingga kita leka dengan kemewahan tersebut. Kadangkala kita diuji dengan kehabisan duit belanja yang sangat kritikal.
Bersabarlah dengan ujian itu kerana rezeki itu milik Allah. Kadangkala kita diuji dengan penghinaan dan ancaman sepertimana yang dilalui oleh Baginda SAW, dan nabi-nabi terdahulu, namun kita perlu menilai bahawa ia adalah satu anugerah yang Allah SWT berikan kepada kita.
Usah Bersedih
Ingat, bukan semua orang akan diuji oleh Allah SWT. Mereka yang diuji adalah golongan terpilih. Maka, amat rugilah bagi mereka yang tidak terpilih untuk diuji olehNya.
Nabi SAW bersabda
إِذَا أَحَبَّ اللهُ قَومًا ابْتَلاهُم
“Apabila Allah SWT menyayangi sesuatu kaum itu, Allah akan menguji mereka” (Jami’ Saghir : 354)
Pernahkah kita menyedari bahawa kita sentiasa diuji oleh Allah SWT. Tanpa mengira waktu, kita kerap diuji, hatta kita membuat kebaikan, semakin banyak diuji oleh Allah SWT. Semakin banyak kebaikan dibuat, semakin banyaklah ujian anda!
Tanda Kasih Sayang Allah SWT
Mengapa perlu bersedih ketika diuji? Bukankah ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada kita? Lihatlah kepada seorang anak murid yang taat, kerap kali ditengking dan dimarahi oleh gurunya, sebagai tanda menguji anak muridnya. Begitu juga si ibu, turut melakukan perkara yang sama untuk mendidik. Apakah dia tidak sayangkan anaknya?
Satu ketika, si ibu melihat anaknya melakukan satu perbuatan yang dipandang jelek, lalu dimarahinya. Inilah kasih sayang ibu untuk mendidik anaknya supaya tidak melakukan perbuatan yang sama berulang kali. Apakah kita hanya tersenyum apabila anak kita melakukan suatu perbuatan jelek di hadapan anda?
Begitu juga Allah SWT, apabila melihat anda semakin hari, semakin sibuk dengan urusan dunia, Allah SWT menguji mereka supaya mereka tidak alpa dengan dunianya. Bukankah apabila kita ditimpa kesusahan (diuji), barulah kita menyedari siapakah kita di sisi Allah SWT.
Kenapakah apabila semakin banyak membuat kebaikan, kita semakin diuji?
Sebelum mendalami lebih jauh, persoalan yang timbul ialah, benarkah kita benar-benar membuat kebaikan atau di“kepil”kan dengan bangga diri, sombong dan sebagainya?
Apabila kita melakukan sesuatu bukan kerana Allah SWT, sudah pasti selayaknya kita mendapat ujian, bahkan kutukan!
Kenapakah kita mempersoalkan apabila diuji ketika melakukan kebaikan? Bukankah ini menunjukkan terdapat segelintir rasa bangga pada hati? Apabila kita tidak mempersoalkan tentang ujian Allah SWT, itulah yang sebenarnya.
Allah SWT sengaja menguji kita sehingga kita sendiri tidak mempersoalkan sebarang ujian yang ditimpakan ke atas kita. Bahkan semakin suka apabila diuji kerana menyedari bahawa inilah tanda kasih sayang Allah kepadanya.
Allah SWT berfirman di dalam Surah Muhammad, ayat 31
Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang –orang yang berjuang dari kalangan kamu ..
Semakin hebat ujian, semakin tinggi kasih sayangNya
Semakin diuji, adakah kita merasa semakin tertekan dengan ujian tersebut, atau suka? Adakah apabila kita diuji dengan kematian orang yang tersayang, kita merasa suka?
Inilah apa yang diertikan sebagai redha. Inilah dia tanda tabahnya kita menghadapi ujiannya. Adakalanya kita merasa kehilangan tersebut satu perkara biasa, setiap benda yang hidup pasti akan mati.
Apabila seorang suami sangat menyayangi isterinya, kemudian dia dimatikan. Apakah perasaan si suaminya kalau bukan sedih? Tetapi apabila difikirkan, bukankah Allah SWT tidak mahu kita lalai disebabkan isteri kita? Begitu juga si isteri yang kematian suami.
Bagaimanakah pula sekiranya isteri atau suami yang mengingatkan kita kepada Allah? Tidakkah kita ketahui bahawa setiap yang hidup pasti mati, dan setiap pertemuan pasti ada perpisahan? Tidakkah kita sedar tentang hakikat ini?
Sedarlah, kita diuji hanya sedikit jika hendak dibandingkan dengan mereka yang lebih teruk diuji. Setahap manakah tingginya kesabaran kita menghadapi ujian?
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
0 comments:
Post a Comment