Seorang penyiasat di Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa kebakaran yang memusnahkan gereja Metro Tabernacle pada 7 Januari lalu adalah perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Aswan Khamis, saksi kesepuluh pihak pendakwaan berkata berdasarkan sisatan dan laporan makmal - kebakaran berkenaan adalah perbuatan yang disengajakan.
"Bahan berasaskan petrol dilemparkan di bahagian lobi gereja melalui lubang cermin yang dipecahkan. Ia kemudian dinyalakan,” kata Aswan yang membaca laporannya.
Katanya, analisis makmal juga mendapati kesan petrol di sebuah topi keledar serta bekas plastik yang terbakar yang dijumpai di jalan di luar bangunan gereja.
Cecair di lokasi kejadian juga disahkan adalah petrol.
Menurut Aswan, sebatang sepana juga dijumpai dan dipercayai digunakan oleh petualang itu untuk memecahkan cermin gereja.
Peralatan berkenaan bukan milik jabatan bomba mahupun pihak polis, katanya kepada perbicaraan mahkamah yang memasuki hari kedua hari ini.
Semalam, mahkamah mendengar kenyataan tujuh daripada 25 saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Adik beradik, Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan Raja Mohamad Idzham, 23, serta rakan mereka Azuwan Shah Ahmad, 23, dituduh bersama beberapa lagi yang masih bebas membakar gereja berkenaan di alamat No 28, Jalan 4/4C, Desa Melawati, pada jam 11.50 malam, 7 Januari tahun ini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimun penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Serangan menggunakan bom api pada 8 Jan itu mengakibatkan bahagian bawah gereja tiga tingkat di Desa Melawati, Kuala Lumpur itu musnah.
0 comments:
Post a Comment