TBILISI: Pihak berkuasa Georgia mendakwa, seorang wanita yang tinggal di perkampungan terpencil di kawasan pergunungan negara itu kini berusia 130 tahun, menjadikan dia manusia tertua di dunia.
PANJANG UMUR...Antisa berbaring di katil ketika kek dihadiahkan kepadanya di Sachino, Georgia, semalam.
Berasal dari barat Georgia, Antisa Khvichava dilaporkan lahir pada 8 Julai 1880.
Jurucakap jabatan pendaftaran yang berada di bawah Kementerian Keadilan Georgia, Georgiy Meurnishvili, berkata Antisa kini menetap di rumah itu bersama cucunya yang berusia 40 tahun.
Katanya, menurut rekod kerajaan, Antisa bekerja sebagai pemungut teh dan jagung sebelum bersara pada 1965.
“Ketika itu dia berusia 85 tahun,” katanya, Ketika ditemui media, Antisa berkata, dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan sentiasa bekerja sepanjang hayatnya, sama ada di rumah atau ladang.
Mengenakan pakaian berwarna cerah, penutup kepala dan gincu merah, dia selesa duduk di kerusi sambil memegang tongkat rotan.
Melalui penterjemah, Antisa menceritakan pengalamannya tidak pernah bersekolah sehingga tidak mampu berkomunikasi menggunakan bahasa Georgia, sebaliknya hanya mahir berbahasa Mingrelian yang digunakan penduduk setempat.
Kehilangan sijil kelahiran menyebabkan usia sebenarnya belum dapat disahkan oleh pihak berkecuali.
Sijil kelahiran itu adalah satu daripada dokumen penting Antisa yang gagal dikesan sejak seabad lalu, termasuk ketika berlakunya revolusi dan keruntuhan Soviet Union.
Bagaimanapun, Meurnishvili menunjukkan dua dokumen era Soviet Union yang boleh membuktikan usia sebenar Antisa.
Sejumlah pegawai kerajaan, jiran, rakan dan ahli keluarga Antisa menyokong dakwaan Meurnishvili.
Baru-baru ini, Kumpulan Penyelidik Gerontologi mengiktioraf Eugenie Blanchard, 114, dari Saint Barthelemy, Perancis, sebagai manusia tertua di dunia.
Setakat ini, kumpulan itu belum menyemak dakwaan Antisa itu.
Antisa mempunyai seorang anak lelaki, Mikhail, 10 cucu, 12 cicit dan enam piut.
Mikhail, 70, yang turut hadir ketika majlis meraikan ulang tahun kelahiran Antisa dibuat, lahir ketika wanita terbabit berusia 60 tahun.
Kata Antisa, dia juga mempunyai dua anak daripada perkahwinan terdahulu tetapi mereka maut akibat kebuluran ketika Perang Dunia Kedua. - Agensi
sumber
0 comments:
Post a Comment