07 July 2010

Adakah Judi Sukan Dibenarkan Semula?


Adakah judi sukan akan dibenarkan di negara ini? Persoalan itu timbul lagi apabila jawapan daripada perdana menteri yang juga menteri kewangan Datuk Seri Najib Razak menimbulkan pelbagai andaian.

Menjawap soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Najib berkata kerajaan masih belum memberikan sebarang lesen bagi perkhidmatan pertaruhan yang berkaitan dengan Piala Dunia Fifa 2010.

'Kerajaan akan menawarkan lesen kepada Ascot Sports Sdn Bhd untuk perkhidmatan pertaruhan (tidak termasuk Piala dunia 2010) kerana syarikat ini telah diberikan kelulusan sebelum ini untuk menjalankan aktiviti itu,” kata Najib.

"Oleh demikian, kerajaan berpendapat jika lesen pertaruhan sukan dipertimbangkan, Ascot Sports akan mempunyai kelebihan berdasarkan pengalaman mereka.”

Syarat dan peraturan pemberian lesen itu juga dinyatakan dalam jawapan itu berserta dengan justifikasinya - bagi mengawal dan membanteras kegiatan judi haram di negara ini.

Bulan lalu, Najib mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan judi sukan diteruskan berikutan bantahan meluas daripada pelbagai kalangan rakyat. Ia diumumkan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat tertinggi Umno.

Mahfuz yang keliru dengan jawapan yang diberikan kemudian menyoal “jadi, akhirnya, kerajaan akan membenarkan judi sukan untuk kejohanan atau liga lain seperti Liga Perdana Inggeris?”

“Jawapan itu bercanggah dengan apa (Najib) umumkan sebelum ini. Sekarang, beliau perlu memberikan penjelasan lanjut.”

Menurut Mahfuz keputusan itu juga meletakan status judi sukan kini tergantung kerana sepatutnya kabinet yang bertanggungjawab membuat keputusan berkenaan.

Beliau yang juga naib presiden PAS berkata Najib perlu mengaku jika beliau membuat kesilapan dan tidak mempersalahkan orang lain seperti yang dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, baru-baru ini.

Nazri menyalahkan seorang pegawainya berhubung sumber tidak tepat mengenai rancangan memindahkan bangunan Parlimen ke Putrajaya.

“Kita tidak sepatutnya menyalahkan kepada pegawai kerajaan semata-mata kerana jawapan bertulis sepatutnya diperiksa terlebih dahulu oleh menteri berkenaan,” kata Mahfuz di lobi parlimen.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal