KAHERAH, 15 Julai - Semalam bertempat di al-Azhar Conference Centre (ACC), telah dianjurkan satu forum yang bertajuk “Peranan Wanita Muslimah dan Pengaruhnya Terhadap Masyarakat”. Majlis yang bermula pada pukul 11 pagi ini, diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh seorang mahasiswi dari negara Indonesia.
Forum ini telah disampaikan oleh Fadhilah asy-Syeikh al-Azhar asy-Syarif merangkap Rais ar-Rabitah al-A’lamiah (WAAG Azhar) dan beberapa wakil dari Jamia’h al-Azhar dan WAAG Azhar. Dalam slot tersebut para panelis telah menyatakan harapan mereka kepada para peserta yang hadir sebagai duta dalam menyampaikan hakikat dan gambaran sebenar tentang Islam, wanita muslimah dan al-Azhar kepada masyarakat umum di negara masing-masing.
Sejurus penyampaian tersebut, Dr. Abdullah Hussin, Rais Jamia’h al-Azhar selaku pengerusi panel telah membuka ruang untuk sesi soal jawab kepada para peserta yang hadir sekitar 300 mahasiswi al-Azhar yang terdiri dari negara Malaysia, Indonesia, Thailand, Libya, Turki, Iran, Afghanistan, Rusia, Palestin, China dan lain-lain lagi. Dalam kesempatan yang diberikan, para peserta tidak melepaskan peluang menyatakan persoalan dan permasalahan yang berlaku kepada Fadhilah asy-Syeikh Ahmad Muhammad at-Toiyyib.
Di antara permasalahan yang dikemukakan adalah berkaitan masalah pengkuliahan seperti penyampaian doktorah dalam bahasa ‘ammi, muqarar al-Quran yang berubah-ubah, subjek bahasa Inggeris yang menjadi ketetapan secara mengejut dan jenayah yang berlaku terhadap pelajar wafidat terutama Malaysia dan Indonesia.
Dalam program ini, PMRAM telah menghantar 10 orang mahasiswi termasuk dua orang AJKT HEWI PMRAM iaitu saudari Norhafiza Abdul Wahab dan saudari Nor Hasyimah Hassan. Majlis ini berakhir kira-kira pada pukul 2 petang dan disudahi dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh wakil mahasiswi Malaysia.
0 comments:
Post a Comment