11 July 2010

Serbu Pusat Urut Guna Wanita Siam

KUALA LUMPUR: Dua premis yang asyik menjalankan kegiatan urut tradisional menggunakan warga Thailand terkejut apabila diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).


BERHIBUR...dua pekerja wanita dan pelanggan di pusat hiburan yang diserbu, semalam.

Pemilik premis terbabit yang dipercayai menjalankan perniagaan tanpa lesen tergamam apabila premis mereka diserbu sebelum penguat kuasa menyita peralatan mengurut termasuk tilam dan bantal.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata dua premis terbabit beroperasi di Jalan Pandan Indah dan Pandan Perdana diambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPAJ 2007.

Katanya, pemilik boleh dikompaun RM1,000 kerana tidak mempunyai lesen dan menyalahguna premis mereka dengan melakukan kegiatan urut.

“Kami mengambil tindakan tegas kepada premis yang menjalankan operasi tanpa lesen kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, MPAJ mengadakan operasi pusat hiburan yang berselindung di sebalik pusat latihan nyanyian di Taman Pandan Indah yang tidak mempunyai lesen.

Norhayati berkata, pusat hiburan itu diserbu kerana pemilik hanya membuat permohonan bagi mendapatkan lesen pusat nyanyian, tetapi belum diluluskan MPAJ.

“Ketika serbuan, terdapat beberapa pelanggan berhibur yang dilayan dua pekerja wanita.

“Kami mengambil tindakan mengikut Seksyen 6, Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Selangor) 1995 Pindaan 2001 dengan menyita peralatan hiburan dan minuman keras di premis terbabit,” katanya.

Menurutnya, pemilik boleh dikompaun RM25,000 kerana menyalahi undang-undang.

Sehubungan itu Norhayati meminta orang ramai yang mempunyai maklumat premis beroperasi tanpa lesen supaya bekerjasama dengan menghubungi talian 03-42968100 yang beroperasi 24 jam.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal