10 July 2010

Dermasiswa Perak Dipolitikkan? Apa Cerita?

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur - 9 Julai 2010

Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur (DPPK IT) kesal dengan tindakan Yayasan Perak yang jelas menjadi agen kepada aktiviti Umno melalui Majlis Penyerahan Dermasiswa Yayasan Perak anjuran Sekretariat Pelajaran Umno Bahagian Ipoh Timur bertempat juga di Bangunan Umno Negeri Perak seperti peruntukan tersebut daripada Umno dan bukannya kerajaan negeri.

DPPK IT mempertikai peranan sebenar Yayasan Perak yang sepatutnya tidak diperalatkan dan menjadi pentas bagi Umno / Barisan Nasional (BN) untuk menjaga kepentingan Umno semata-mata dan ini tidak sepatutnya berlaku. Ini sudah tentu memberikan tanggapan kepada rakyat bahawa Yayasan Perak sebenarnya sebahagian daripada Umno / BN termasuk lubuk kewangannya.

Perkara ini jelas serius dan DPPK IT mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan kerana berlaku penyalagunaan kuasa yang jelas kerana penyerahan dermasiswa tersebut mempunyai kaitan dengan satu peruntukan wang rakyat yang telah disalahgunakan oleh Umno / BN. Sepatutnya penyerahan dermasiswa tersebut tidak dipolitikkan kerana semua rakyat berhak mendapat jika ianya layak.

DPPK IT juga merasakan bahawa tindakan tersebut merupakan tindakan terdesak bagi mengaburi mata rakyat seolah-olah bahawa Umno membela nasib mereka. Tetapi mereka lupa semasa pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak dahulu, peruntukan dermasiswa ini meningkat lebih baik daripada zaman pemerintahan BN sebelumnya.

SALMAN HAJI SALEH
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal