15 July 2010

Turki Jadi Kuasa Baru Pembinaan Dunia


GAMBAR menunjukkan bangunan Krasnye Kholmy di Moscow yang dibina oleh syarikat Turki, ENKA Construction and Industry.

ANKARA - Turki kini muncul sebagai kuasa baru sektor pembinaan apabila firma negara berkenaan membina pelbagai infrastruktur termasuk empangan, stadium dan lebuh raya di Asia Barat, Asia Tengah dan Afrika.

Kecewa kerana usaha untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) tidak berjalan lancar, pemerintah Islam Turki menggunakan strategi yang menggabung pengaruh politik dan kekuatan ekonominya untuk mendapatkan projek di negara-negara membangun, terutamanya dunia Islam dan rantau bekas Kesatuan Soviet (USSR), sebelum bertapak di benua Afrika sejak beberapa tahun lalu.

Walaupun masih belum setanding berbanding pesaing utama mereka dari Eropah, Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun, nilai projek luar negara Turki melonjak daripada AS$750 juta (RM2.3 bilion) pada 2000 kepada AS$23.6 bilion (RM75.4 bilion) pada 2008.

Pemerintah Turki menyatakan, mereka berharap nilai kontrak antarabangsa negara berkenaan dapat ditingkatkan kepada sekitar AS$50 bilion (RM159.8 bilion) menjelang 2015.

Turki merupakan kontraktor utama di negara-negara bekas USSR.

Hampir suku perniagaan pembinaan di negara Rusia dilakukan firma-firma Turki.

Firma-firma dari Turki turut mempunyai projek pembinaan di Libya dan dua negara bekas USSR, Turkmenistan serta Kazakhstan.

Firma-firma negara itu melancarkan projek perintis di Brazil dan Angola pada 2009 dan turut terbabit di Qatar, Algeria, Iraq, Romania dan Afghanistan.

Antara projek besar melibatkan firma Turki termasuk membina pusat membeli-belah mirip sebuah khemah yang dinamakan Khan Shatry di ibu negara Kazaskhtan, Astana dan bangunan Piramid Keamanan setinggi 77 meter yang dibina daripada gelas, juga di Astana.

Piramid berkenaan yang dilengkapi sebuah dewan opera, perpustakaan dan pusat penyelidikan kebudayaan dibina dengan kos AS$65 juta (RM207.8 juta). - AP

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal