06 July 2010

PAS Ajaran Sesat - Shafie Apdal... Apa Komen Anda?


PAS menganggap ucapan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menuduh parti itu sebagai parti ajaran sesat adalah satu kenyataan yang biadab.

"PAS berpandangan bahawa kenyataan biadab ini untuk memburukkan perjuangan PAS di kalangan orang Islam khususnya dan orang bukan Islam yang sudah semakin dekat dengan perjuangan PAS.

"Beliau cuba menakutkan orang ramai supaya jangan sokong PAS ketika Umno mengalami masalah dalaman mereka dan kekurangan minyak pelincir untuk menggerakkan parti mereka, terutama lubuk emas Umno di Selangor dan Pulau Pinang yang kini berada di bawah Pakatan Rakyat," kata ketua penerangan PAS Idris Ahmad dalam satu kenyataan.

Idris mengulas ucapan perasmian Mohd Shafie pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kulaijaya Sabtu lalu, yang menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat kerana memperjuangkan kemenangan kerusi DUN dan Parlimen berbanding kepentingan rakyat.

Idris juga mempertikaikan kenyataan naib presiden Umno itu yang didakwanya "emosi dan mentah dalam hal ehwal agama" tetapi sanggup menuduh PAS sebagai sebuah parti ajaran sesat sedangkan mereka selama ini didokong oleh tuan guru dan alim ulama.

"Satu ketika dahulu PAS pernah dituduh lebih berbahaya daripada komunis, walaupun dalam sejarah perjuangan PAS tidak ada mereka yang menganut fahman komunis yang memimpin PAS, sebaliknya pemimpin Umno yang ditangkap kerana menjadi ejen komunis dan tahan di bawah ISA," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Mohd Shafie yang juga ahli parlimen Semporna untuk membuktikan dakwaan bahawa PAS adalah parti ajaran sesat.

"Apakah beliau sudah kehilangan arah dan celaru dalam pemikiran politik sehingga mengeluarkan kenyataan demikian rupa.

"Di dalam perlembagaan PAS, Fasal 3 “Dasar Pas ialah Islam”. Fasal 7 (1) (menyebut bahawa) adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijma' Ulamak dan Qias yang terang dan nyata.

"Umno pula apa dasarnya dan apa pula rujukannya?," soalnya.

Idris juga turut menasihatkan Mohd Shafie supaya melihat dahulu beberapa kenyataan pemimpin Umno yang didakwa menghina hukum Allah dan janggut Nabi Muhammad SAW, sebelum hendak menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat.

"PAS memberi amaran, sekiranya beliau tidak menarik balik , kita akan mengarahkan supaya laporan polis dibuat di seluruh negara dan bacaan Yasin dan solat Hajat diilakukan oleh satu juta ahli PAS di seluruh negara," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal