10 July 2010

Haram ESQ : Dr Asri Ingatkan Tentang Talibanisasi

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (bawah) mengingatkan umat Islam di negara ini agar jangan bersikap melulu mengharamkan sesuatu tanpa mencari alternatif dan jalan penyelesaiannya terlebih dahulu.

"Jangan 'Talibanisasikan' (mengikut pendekatan Taliban) negara ini.

"Berhati-hatilah dengan pengharaman sesuatu perkara dan hak-hak rakyat," katanya ketika diminta mengulas isu pengharaman modul program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ).

Berita Harian hari ini melaporkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh menandatangani warta yang mengharamkan program motivasi ESQ mengikut subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan 1953), selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.

Mengikut warta yang dikeluarkan, ia diharamkan kerana mendukung fahaman liberalisme, iaitu memahami dan mentafsir nas agama dan fahaman pluralisme yang mengajar semua agama adalah sama.

Bagaimanapun, Ketua Panel Syariah ESQ Datuk Mustafa Abdul Rahman yang juga bekas ketua pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula dilaporkan menyangkal dakwaan wujud unsur penyelewengan dan kesesatan dalam program syarikatnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, membandingkan tindakan terbaru mufti itu dengan pengharaman Yoga suatu ketika dahulu, Dr Asri mempersoalkan pengharaman sesuatu secara menyeluruh sedangkan "kadang-kadang terdapat ruang bagi memperbaikinya".

"Mungkin pejabat mufti Wilayah Persekutuan ada hujah-hujahnya sendiri. Tetapi kalau boleh dibaiki (ESQ), kita baikilah. Masalah-masalah teknikal ini boleh dibetulkan. Ada jalan." katanya.

Ulama muda Umno: Ikuti sendiri program ESQ

Beliau yang juga penyarah kanan di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, tindakan sebegitu boleh menyebabkan perasaan fobia terhadap agama Islam dalam masyarakat.

"(Akibatnya) orang beranggapan (dalam) agama ini semua tidak boleh. Sebenarnya banyak yang boleh, yang tidak boleh itu sikit sahaja.

"Kalau banyak tidak boleh, macam mana kita hendak hidup," katanya.

Sementara itu, ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahaya - yang baru memohon menjadi ahli dalam sebuah majlis penyerahan borang kepada presidennya Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini - berkata selain meneliti kandungan ESQ, pihak berkuasa perlu melihat pada method penyampaiannya.

"Kedua-dua (kandungan dan method penyampaiannya) kena benar. Sekiranya ESQ bertepatan, kami dokong. Sekiranya salah satu dari menyimpang kami bantah," katanya.

"Hendak mengatakan ESQ benar atau salah secara pasti, wallahu'alam. Tetapi yang diwartakan itu (berdasarkan) kandungannya, bagaimana dengan method?"

Sehubungan itu, Fathul mencadangkan, untuk berlaku adil kepada semua pihak, pengharaman itu hendaklah dibawa berbincang semula bagi menilai semula hujah-hujah yang telah dikemukakan.

"Perkara sebegini sepatutnya ada perbincangan dengan semua pihak. Wakil daripada ESQ sendiri patut dijemput dan membentangkan (tentang program mereka).

"Kalau boleh, anjurkan program pada ilmuan Islam sendiri untuk menilainya (sama ada menyimpang atau tidak)," katanya kepada Malaysiakini.

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal