08 July 2010

Pendahuluan Buku Akidah, Kefahaman dan Pemikiran


Pendahuluan
Buku Akidah, Kefahaman dan Pemikiran

Buku Akidah, Kefahaman dan Pemikiran ini menggabungkan 3 konsep utama, iaitu Akidah, Kefahaman dan Pemikiran. Setiap satunya dijelaskan secara asas, dan dikaitkan antara satu sama lain.

Di dalam Bahagian Akidah, ia dimulakan dengan senarai “Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah” secara asas. Ia sebagai mukaddimah dalam mengetahui asas dan pegangan yang utama sebelum memahami bab yang berikutnya.

Kemudian ia disusuli dengan Bahagian Dua yang menjelaskan tentang Ucapan Dua Kalimah Syahadah yang menjadi asas dalam keislaman seseorang. Di sana akan diperincikan secara mudah tentang beberapa masalah yang terjadi di dalam masalah ini.

Bahagian ketiga pula menceritakan tentang erti seseorang berakidah. Ia disebabkan beberapa fenomena yang terjadi di kalangan masyarakat yang tidak tahu apa ertinya saya beriman. Bahkan mereka sendiri tidak memahami kenapakah mereka perlu berakidah dengan akidah Islam.

Di dalam bahagian seterusnya menceritakan tentang taklid yang menjadi punca kejahilan seseorang memahami sebab keimanan dan pegangan mereka. Ia akan memperincikan beberapa perkara yang penting dan asas di dalam masalah taklid, dan huraian tentang beberapa ajaran sesat yang berpunca daripada taklid.

Bahagian kelima pula memuatkan 20 kefahaman utama bagi seseorang yang berakidah. Kadangkala manusia sudah tahu beberapa perkara yang perlu dipegang, tetapi mereka gagal memahaminya dengan betul. Maka perinciannya dimuatkan di dalam bab ini.

Bahagian keenam memuatkan beberapa bentuk motivasi dalam berakidah. Bahagian ini menceritakan tentang beberapa kefahaman motivasi yang perlu ditanam di dalam jiwa mereka yang berpegang dengan akidah yang sebenar. Tidak dinafikan, masih ramai yang berakidah, tetapi mudah putus asa. Maka hendaklah ia bermotivasi

Bahagian ketujuh memuatkan beberapa perkara am yang berkaitan dengan akidah. Namun apa yang disenaraikan hanyalah sebahagian sahaja, yang mampu memberikan kefahaman menyeluruh tentang cabang-cabang yang perlu difahami dalam berakidah.

Bahagian kelapan pula mengalih pandangan pembaca untuk melihat tentang pemikiran yang menjadi tunjang utama dalam menghasilkan kefahaman yang baik, dan pegangan yang teguh. Maka, di dalam bab tersebut menyusun beberapa kaedah utama dalam pemikiran yang selari dengan akidah yang sebenar.

Bahagian kesembilan pula cuba menjelaskan beberapa kaedah pemikiran yang diterangkan sebelum ini secara praktikal, supaya ia dapat diaplikasi dalam membuat renungan atau kajian yang sebenar terhadap akidah yang sebenar.

Bahagian terakhir pula merangkumkan beberapa kaedah pemikiran tadi dan diaplikasikan dalam menjawab permasalahan yang timbul bagi mereka yang berakidah. Semoga penulisan serba ringkas ini dapat memberi kefahaman dalam berakidah. WaLlahua’lam.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Penulis Buku, Akidah Kefahaman dan Pemikiran

1 comments:

DEMI MASA on July 25, 2012 at 5:13 AM said...

nak beli buku ni macam mana? saya di malaysia

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal