07 July 2010

Yahudi Kuasai 42 % Tebing Barat

TEL AVIV 6 Julai - Pendatang haram Yahudi dan pertubuhan mereka menguasai kira-kira 42 peratus daripada kawasan tanah di Tebing Barat, walaupun kawasan penempatan haram Yahudi hanya menguasai satu peratus daripada wilayah Palestin tersebut.

Pertubuhan hak asasi manusia Israel, B'tselem dalam laporannya hari ini berkata, meskipun kira-kira 66 peratus daripada kawasan penempatan haram ditakrifkan sebagai terletak di atas 'tanah kerajaan', namun tanah itu diperuntukkan bagi penempatan haram menerusi manipulasi dalam mentafsirkan semua undang-undang relevan di Tebing Barat.

Laporan berjudul By Hook and by Crook: Israel's Settlement Policy in the West Bank mendapati, dengan mengambil alih tanah tersebut, mereka yang bertanggungjawab terhadap penempatan haram Yahudi telah memperalatkan 'undang-undang antarabangsa dan tempatan, arahan tentera Israel dan undang-undang Israel sendiri secara sinis'.

Israel mendakwa rumah-rumah penempatan Yahudi dibina di Tebing Barat dibina di tanah milik kerajaan.

Bagaimanapun B'tselem berkata, pihaknya membandingkan data daripada Pentadbiran Sivil Israel bagi Tebing Barat dengan gambar-gambar dari udara dan mendapati 21 peratus dari kawasan binaan di penempatan haram itu terletak di tanah persendirian milik Palestin.

Laporan B'tselem itu berdasarkan laporan dan dokumen rasmi kerajaan, termasuk peta tentera dan Pentadbiran Sivil, laporan pengawal kewangan kerajaan dan pangkalan data yang didirikan oleh bekas pegawai di Kementerian Pertahanan Israel, Brigadier Baruch Spiegel.

Kementerian Kehakiman telah diminta mengulas mengenai laporan itu, menurut B'tselem.

Namun, pihak kementerian menjawab bahawa kerajaan tidak akan mengulas mengenai laporan itu 'kerana ia berunsur politik'. - dpa

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal