10 July 2010

Tertuduh Kes 'Bini Puaka' Hitamkan Nombor Motosikal

Saksi perbiracaan kes menconteng "bini puaka" - yang ditujukan kepada isteri perdana menteri Rosmah Mansor - memberitahu mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, seorang tertuduh Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini kelihatan "macam rasa bersalah" ketika malam kejadian.

Rohaizi Ishak, seorang pengawal keselamatan di Universiti Malaya (UM) memberitahu, pada 24 Jun, ketika bertugas di sekitar Akademi Pengajian Islam, beliau menemui sebuah motosikal yang nombor pendaftarannya digelapkan.

Menurutnya, ketika sedang mengintip apa yang berlaku di sekitar kawasan itu, dengan tiba-tiba motorsikal itu kelihatan ditunggang oleh seseorang dan keluar menuju ke jalan raya.

Beliau selepas itu mengekorinya sehinggalah di kolej kediaman ke-11 di mana beliau mendakwa mendapati Mohd Izzudddin sebagai penunggangnya.

Rohaizi berkata, apabila ditanya kenapa nombor pendaftaran itu digelapkan, tertuduh itu "diamkan diri sahaja".

"Saya bertanyakan kepada OKT (Izuddin) kenapa plat digelapkan, tapi dia hanya mendiamkan diri sahaja," katanya.

Rohaizi berkata dua lagi rakannya - yang turut datang ke situ - turut bertanyakan kepada Izuddin berhubung perkara itu.

"Dia diamkan diri dengan tunduk kepala ke bawah," kata Rohaizi bagi menjawab soalan timbalan pendakwaraya Aidatul Azura Zainal Abidin yang bertanyakan maksud "mendiamkan diri" itu.

'Rasa macam bersalah'

Menurut Rohaizi, Izzudin ketika itu tidak membawa kad matriknya.

Menurutnya lagi, Izuddin juga tidak menunjukkan "cubaan melawan" sewaktu ditahan.


"Selepas itu barulah OKT bawa kami ke Blok B, Akademi Pengajian Islam," katanya.

Rohaizi memberitahu, di tempat itu, beliau dan rakan-rakannya terhidu bau petrol di karpet merah bagi menyambut Rosmah (kiri) sejurus masuk ke dalam blok B di akademi tersebut.

"Kemudian kami lalu (ke) depan, di kiri dan kanan dinding di conteng. Ia diconteng dengan warna hitam.

"(Ia) ditulis (perkataan) Altantuya, bini puaka dan C4," katanya.

Katanya beliau dan rakannya terkejut dengan penemuan tersebut.

Rohaizi juga ketika ditanya oleh Aidatul Azura mengenai reaksi Izuddin ketika itu menjawab "rasa macam bersalah".

Empat saksi dipanggil

Dalam perbicaraan kali kedua hari ini, mahkamah setakat ini memanggil kesemua empat saksi.

Tiga lagi saksi ialah ayah tertuduh Mohd Zaini Zainal, penolong pegawai penyiasat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Brickfields Sarjan Hamidah Hassan dan penolong juruanalisa di makmal forensik Bukit Aman Inspektor Suzana Zainal Abidin.

Kira-kira 15 mahasiswa daripada UM hadir memberikan sokongan kepada kelima-lima tertuduh. Turut hadir ibu-bapa kepada dua tertuduh - Izuddin dan Shazni.

Selain Mohd Izzuddin, turut dituduh Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Mereka didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen-sekyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui Rosmah - dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Pihak pembelaan diwakili tiga peguam yang diketuai Mohd Arfizi Ramli.

Hakim Rozana Ali Yusoff menetapkan perbicaraan akan bersambung semula pada 28 Julai ini.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal