12 July 2010

UIA Lancar 9 Buku Mengenai Agama Dan Perspektif Islam

KUALA LUMPUR: Bahagian penerbitan Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIA) hari ini melancarkan sembilan buku berkaitan agama dan perspektif Islam oleh penulis berlainan bagi menghargai petugas akademik.

Presiden UIA yang juga Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata kesemua buku dijangka memberi faedah kepada kemanusiaan sejagat.

"Terdapat lima buku dalam Bahasa Inggeris, tiga dalam Bahasa Arab dan satu dalam Bahasa Malaysia.

"Buku-buku ini diterbitkan oleh IIUM Press dan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC, Kampus UIA Kuala Lumpur) serta Dewan Bahasa dan Pustaka," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran buku berkenaan di universiti itu di sini.

Mohd Sidek berkata unit penerbitan universiti tersebut bekerja keras bagi memastikan kuantiti dan juga kualiti penerbitannya, selain sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti.

Beliau berkata tiga daripada buku berkenaan ditulis petugas akademik bukan dari UIA yang mempunyai hubungan dengan universiti itu.

"Dua daripada mereka merupakan adik-beradik dari Indonesia iaitu Dr. Hamid Fahmy Zarkasy dan Dr Amal Fathullah Zarkasyi, kedua-duanya merupakan Naib Rektor Institut Pengajian Islam Darussalam Gontor Ponorogo Indonesia.

Dr Hamid juga bekas graduan ISTAC.

"Penulis ketiga ialah Profesor Madya Dr. Mohamad Sujimon, pengarah Pusat bagi Sains Islam dan Sosial (CISS), Institut Undang-Undang Islam, Pengurusan dan Kewangan Antarabangsa (ILMF), Brisbane, Australia.

"Beliau ialah bekas dekan Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Islam UIA dari 2002 hingga 2005," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal