06 July 2010

Perompak Tersilap Sasaran


Anggota polis mengusung satu mayat penjenayah yang mati ditembak di luar rumah Wan Adnan di Taman Pantai Selamat, Jalan Teluk Sisek, Kuantan semalam.

KUANTAN – Hajat lima anggota penjahat Geng Tong Gas untuk mendapat habuan besar dengan menjadikan rumah banglo milik seorang ahli politik di sini sebagai sasaran untuk dirompak tidak berbaloi apabila empat daripada mereka ditembak mati semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, lima penjahat warga Indonesia itu hanya sempat berada kira-kira 10 minit di dalam rumah banglo dua tingkat milik Exco Belia dan Sukan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat (gambar) yang terletak di Taman Pantai Selamat, Jalan Teluk Sisek di sini.

Seperti beberapa kes jenayah membabitkan kumpulan itu yang menggunakan tong gas untuk memecah masuk bilik tidur di rumah mangsa-mangsanya, kali ini penjenayah itu juga cuba memecah masuk bilik tidur bapa mentua kepada Wan Adnan iaitu Datuk Ahmad Baharuddin Mohd. Akil, 81, menggunakan tong gas.

Namun tindakan penjenayah itu terbantut kerana mereka terpaksa melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.

Semasa kejadian Wan Adnan bersama sembilan ahli keluarga dan dua pembantu rumah wanita berada di tingkat atas rumah banglo dua tingkat itu sebelum dia menyedari ada penjenayah menceroboh rumahnya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani berkata, Wan Adnan menyedari penjenayah itu cuba memecah masuk rumahnya dengan mengumpil pintu di bahagian tepi rumah menggunakan sebatang besi pengumpil tayar.

“Wan Adnan terus menghubungi polis sebelum sepasukan polis tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, menyedari kehadiran polis, lima penyamun bersenjatakan sebilah parang, sebilah pisau pemotong daging dan satu alat pemotong besi cuba melarikan diri.

“Ketika penjenayah itu cuba meninggalkan rumah itu mereka telah mencabar pasukan polis sehingga menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan.

“Akibat tembakan itu, empat suspek yang berumur antara 30 hingga 40 tahun mati di tempat kejadian manakala seorang lagi yang cedera parah sempat melarikan diri,” kata Robiah.

Suspek yang memakai baju merah itu dapat menghilangkan diri ke arah semak berhampiran longkang besar tidak jauh dari rumah tersebut.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal