KAHERAH, 10 Julai - Sambungan pengajian Madrasah Imam As-Syafie bermula pada hari ini apabila ia diberhentikan seketika untuk memberi laluan kepada peperiksaan fasa 2. Pengajian yang dijalankan pada setiap pagi itu dikelolai oleh Unit Madrasah Imam As-Syafie di bawah pantauan Badan pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2010.
Pada kali ini, Rumah Terengganu dipilih sebagai tempat untuk menjalankan madrasah. Hal ini kerana tempat asal pengajian tersebut iaitu Rumah Selangor akan dibaikpulih untuk beberapa bulan. Pengajian di musim panas ini bermula pada jam 6.30 pagi sehingga jam 8.00 pagi.
Kelas pengajian yang dimulai oleh Saudara Shahrizan Mohd Hazime selaku salah seorang tenaga pengajar itu dihadiri oleh kebanyakan mahasiswa yang tinggal di kawasan Haiyu 'Asyir dan Haiyu Sabiek. Beliau yang juga merupakan Presiden PMRAM menyambung pengajian kitab Fath Al-Qarib pada bab pembahagian harta Fai' dan pembayaran Jizyah oleh kafir zimmi.
Ujar Pengarah Unit Madrasah Imam As-Syafie Saudara Khairullah bin Hasyim, "Pada kali ini unit madrasah akan membuka 2 kitab yang baru iaitu Tarbiyatuna Ar-Ruhiyah yang akan di ajar oleh Saudara Khairul Anuar bin Ismail serta kitab Fiqh As-Sirah yang akan diajar oleh Saudara Abdul Aziz bin Ali. Kita mengharapkan supaya mahasiswa yang hadir mampu menyeimbangkan antara kitab turathi dan haraki."
Madrasah yang ditubuhkan pada tahun 2007 itu dilihat mampu bergerak secara istiqamah apabila beberapa kitab pengajian sudahpun dihabiskan seperti kitab Arba'in An-Nawawiyah (Hadis 40), 'Umdatul Ahkam, Ta'lim Al-Muta'allim, Hadis 40 Al-Ghumariyah dan lain-lain lagi.
PMRAM mengharapkan semoga Madrasah Imam As-Syafie akan menjadi medium untuk melahirkan para alim ulamak yang mampu menyeimbangkan antara pengajian fundimental (turath) dan kotemporari (mu'asarah).
0 comments:
Post a Comment