04 July 2010

Fiqh Aulawiyat Dalam Gerakan Islam


Feqh Aulawiyyat juga dikenali sebagai feqh prioriti, iaitu melakukan sesuatu amalan dengan makna memahami turutan-turutan keutamaan terhadap tindakan yang bakal diambil. Menurut Dr.Yusuf al Qardhawi, Feqh Aulawiyyat ialah meletakkan setiap sesuatu benar mengikut taraf keutamaannya. Ia diperlukan kerana bencana yang menimpa kebanyakan jemaah Islam hari ini adalah disebabkan hilangnya Feqh Aulawiyyat. Salah satu contoh fenomena kebejatan fikrah umat Islam apabila mereka tidak memahami Feqh Aulawiyyat ialah munculnya firqah Khawarij. Kebanyakan mereka yang dilanda penyakit kejahilan ini akan menumpukan persoalan furu’ berbanding persoalan asas, dan sering menimbulkan persoalan juz’iyyah berbanding kulliyyah.


Dengan memahami dan mengetahui Feqh Aulawiyyat, kita dapat mengetahui manakah musuh yang perlu dihadapi terlebih dahulu dan menumpukan serangan terhadap mereka. Kerana itu, apabila zaman permulaan dakwah Baginda salallahualaihi wasalam di Makkah, tarbiyyah Baginda difokuskan terlebih dahulu kepada pemantapan umat terhadap dasar-dasar aqidah, menghambakan kepada Allah, menjauhi perkara syirik dan tegahanNya serta menghiasi diri dengan akhlak yang baik.

Pada peringkat permulaan dakwah di Makkah, Baginda tidak mengarahkan orang Islam membinasakan berhala yang berada di sekitar Kaabah. Baginda salallahualaihi wasalam juga melarang orang Islam melawan Kafir Quraish dengan senjata, sebaliknya menganjurkan mereka (umat Islam) supaya bersabar dan mendirikan solat :
“Tahanlah tanganmu (dari berperang), laksanakan solat dan tunaikanlah zakat”- surah an Nisa’:77, al Quranul Karim.

Ini kerana, Islam menekankan persoalan aqidah sebagai permulaan pertama dalam setiap amal sebagai asas. Amalan dalam Islam pula umpama sebuah binaan, dan bagaimana binaan tersebut mampu teguh dan kukuh jika asasnya (aqidah) sendiri sudah goyah?

Tetapi, bagaimana pula apabila jemaah Islam sudah ada? Berikut, beberapa input-input penting mengenai topik feqh aulawiyyat dalam gerakan Islam :-

( 1 ) Sheikh Muhammad Ghazali rahimahuLlah, merupakan pendakwah yang pertama mencetuskan idea penstrukturan feqh aulawiyyat sebagai satu topik perbahasan. Beliau sering menekankan skop keutamaan apabila membicarakan masalah pendakwah masa kini. Sheikh Muhammad Ghazali berpendapat bahawa masalah pendakwah masa kini ialah tidak mempunyai wa’yu as siyasi yang baik. Mereka lebih suka membicarakan soal remeh temeh secara panjang lebar, sebaliknya memandang enteng perkara yang sepatutnya lebih diberikan perhatian. Kata Sheikh Muhammad Ghazali ;
[ Pemikiran politik di kalangan orang-orang agamawan masih lagi dibatasi blok kedangkalan. Mereka melihat korupsi (penyelewangan) tetapi tidak memikirkan apakah penyebabnya, mereka membaca sejarah tetapi gagal merungkai pengajaran melaluinya ].

( 2 ) Dr. Yusuf al Qardhawi antara tokoh ulama yang kerap menyinggung umat tentang persoalan Feqh Aulawiyyat. Menurut beliau, mereka yang gagal memahami aulawiyyat akan sentiasa dalam keadaan fanatik dan ta’assub. Dr.Yusuf al Qardhawi pernah menceritakan bahawa beliau pernah berjumpa dengan seorang lelaki yang bertanya kepadanya, “Apakah anda (Dr.Yusuf) percaya dengan karamah Sheikh Fulan?”. Lantas beliau menjawabnya,“Saya belum pernah membaca riwayat hidup sheikh itu”. Lalu pemuda tersebut membawakan kepadanya buku yang menjelaskan riwayat hidup sheikh tersebut.

Setelah beberapa bulan Dr.Yusuf al Qardhawi bertemu dengan pemuda itu, dan kembali bertanya kepadanya, “Bagaimana pendapat kamu?”. Lalu Dr. Yusuf al Qardhawi menjawab ;
[ Perkara itu tidak penting. Apabila saya meninggal dunia dan saya tidak tahu mengenai sahabatmu (sheikh) itu, maka sesungguhnya Allah tidak akan bertanya kepadaku tentang dirinya dan karamahnya ].

Allah akan bertanya kepada kita setiap ilmu yang kita perolehi, apakah manfaatnya untuk umat? Manakala ilmu yang kita dapat, apakah manfaat kita dapat amalkan?

( 3 ) Sebelum kita mengenali Feqh Aulawiyyat sebagai salah satu subjek ilmu, hendaklah diketahui bahawa kemaslahatan dalam syariat Islam tidak berada dalam satu darjat, tetapi dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu ; (1) Daruriyyat/ compulsory. (2) Hajiyyat/ necessity. (3) Tahsiniyyat/ excellent. Feqh Aulawiyyat menuntut kita untuk mendahulukan perkara-perkara yang termasuk ke dalam Daruriyyat ke atas perkara-perkara Hajiyyat, juga megutamakan Hajiyyat ke atas perkara yang termasuk dalam Tahsiniyyat (pelengkap). Kesimpulannya seperti berikut, Daruriyyat } Hajiyyat } Tahsiniyyat.

( 4 ) Apakah yang dimaksudkan dengan Daruriyyat, Hajiyyat dan juga Tahsiniyyat? Secara mudahnya, ketiga-tiga kategori tersebut difahami sebagaimana berikut ;
1. Daruriyyat iaitu kemestian, suatu peringkat untuk melanjut atau meneruskan kehidupan. Ia juga merupakan perkara yang mutlak diperlukan untuk kehidupan manusia.
2. Hajiyyat sebagai keperluan, merupakan peringkat untuk memenuhi kecukupan hidup supaya dapat menjalankan fungsi dengan baik. Sangat mustahak diperlukan kerana apabila ia tiada maka kehidupan manusia akan menjadi sangat susah.
3. Tahsiniyyat atau kesempurnaan, merupakan pelengkap yang menjadi hiasan tambahan di dalam kehidupan dan dengan keberadaannya, maka kehidupan manusia akan menjadi lebih sempurna.

( 5 ) Para ulama menjelaskan bahawa perkara Daruriyyat terbahagi kepada lima bahagian, iaitu: 1) Agama. 2) Nyawa. 3) Keturunan/ Maruah. 4) Akal; dan 5) Harta. Hal tersebut dijelaskan seperti berikut ;

Agama : Kewajiban kita menyebar dan menjaganya dari ancaman musuh.
Nyawa : Kewajiban menjaganya dari segala jenis ancaman.
Akal : Kewajiban menggunakannya untuk mengenal Allah dan menjaganya dari berfikiran tidak waras.
Keturunan / Maruah : Kewajiban memastikannya aman dari segala percampuran keturunan dan segala yang boleh mencemar maruah.
Harta : Kewajiban memanfaatkannya kepada sumber yang dipuji syara’ dan menjaganya dari ancaman.

( 6 ) Kerana itu, memelihara kemurnian agama adalah merupakan perkara darurat yang paling utama dan penting. Ianya mestilah didahulukan ke atas perkara-perkara darurat yang lain, hatta jiwa sekali pun. Begitu juga memelihara keselamatan jiwa mesti diutamakan dan didahulukan ke atas perkara-perkara darurat yang lainnya. Lalu, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan. Apa yang wajar didahulukan hendaklah diketengahkan dan suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan. Dengan kata lain, tiap-tiap suatu perkara hendaklah diletakkan pada tempatnya secara seimbang dan adil.

( 7 ) Semua aspek hukum, amal, nilai dan taklif tidak berada dalam suatu darjat yang sama. Justeru itu, al Quran mengemukakan sebagaimana berikut ;
“Apakah orang-orang yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan menguruskan Masjid al Haram, kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kiamat serta berjihad di jalan Allah. Mereka tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. Orang-orang yang beriman dan berhijrah di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orangnya yang mendapat kemenangan” - surah at Taubah:19-20, al Quranul Karim.

( 8 ) Imam Abdullah bin Mubarak pernah menulis kepada sahabatnya Sheikh Fudhail bin Iyadh. Beliau menegur Sheikh Fudhail kerana asyik beriktikaf dan melakukan ibadah sehingga meninggalkan urusan yang lebih utama iaitu tugas jihad ;
Wahai hamba yang tekun beribadat di tanah haram, jika kau melihat kami tentulah engkau akan mengetahui bahawa engkau sedang bermain dengan ibadatmu ~ Sesiapa (di kalangan kamu) yang berlumuran air mata dipipinya, adapun tengkuk - tengkuk kami pula berlumuran darah (di medan jihad) ~ Atau ada yang kudanya keletihan sia-sia (di tempat ibadah), sedang kuda-kuda kami keletihan di pagi hari (di tempat musuh) ~ Kalian dipenuhi bau wangian, sedangkan wangian kami adalah debu-debu nan indah yang diterbangkan hentakan kuda-kuda gagah ~ Begitupun sesungguhnya kami dianugerahi untaian sabda Baginda (salallahualaihi wasallam), kalimah Baginda yang sahih lagi benar, bukan dusta.

( 9 ) Melalui Feqh Aulawiyyat, kita dapat mengetahui kewajipan yang utama dilaksanakan. Kita sesekali tidak melewatkan perlaksanaannya, kerana dengan berbuat demikian, kita telah melepaskan kesempatan yang tidak dapat diganti kecuali setelah melibatkan zaman yang begitu lama dan kadang-kadang langsung tidak berganti. Kata as Shahid Imam Hasan al Banna rahimahuLlah ;
[ Waktu adalah sebahagian daripada proses mengubati/membuat pengislahan ]

( 10 ) Mereka yang tidak memahami Feqh Aulawiyyat, sebenarnya termasuk dalam golongan yang mensia-siakan waktu terhadap urusan yang lebih penting dilaksanakan. Mereka yang melakukan tabiat mensia-siakan keutamaan dalam setiap tindakan sebagai salah satu tanda kebodohan seorang manusia. Kata Ibnu ‘Ato’iLlah dalam Hikamnya ;
[ Menunda/ menangguh amal perbuatan (kebaikan) kerana menantikan kesempatan yang lebih baik merupakan suatu tanda kebodohan yang mempengaruhi jiwa ].

( 11 ) Sebuah gerakan, organisasi atau persatuan yang tidak memahami Feqh Aulawiyyat terhadap bidang tugas yang harus digarap lebih awal akan menyebabkan perpecahan. Sebagai contoh, ada pertubuhan yang hanya bergerak di bidang dakwah aqidah, dakwah ibadah; ada juga yang khusus memusatkan skop sosial, politik, dan sebagainya. Bila pendokong-pendokong organisasi ini tidak faham perkara mana yang mesti diutamakan, masing-masing akan merasa bahawa bidang dakwahnya-lah yang paling penting. Padahal, keutamaan tersebut perlu dilihat dari pelbagai sudut, tempat, situasi yang mungkin berbeza. Apabila hal ini tidak ditimbang dengan baik, perbezaan-perbezaan jenis gerakan sesebuah pertubuhan akan mendorong kepada perpecahan umat.

( 12 ) Apabila pendokong gerakan Islam tidak memahami Feqh Aulawiyyat, persoalan mengenai aspek ijtihadi furu’ (masalah ijtihad dalam urusan rantingan) sering menimbulkan pertengkaran dan perseteruan sepanjang masa. Benar, kita mesti memilih mana yang paling bertepatan dengan as Sunnah, tetapi kita mestilah berlapang dada dan tidak menganggap yang berbeza dengan pilihan kita telah keluar dari jalan Sunnah, melakukan bidaah yang tercela atau tuduhan-tuduhan lainnya. Kerana, barangkali mereka yang khilaf dengan pegangan kita juga mengasaskan pendirian kepada keterangan al Quran dan Sunnah, betapapun menurut kita lemah namun mereka masih memiliki sandaran dalil yang dibenarkan oleh Baginda salallahualaihi wasalam.

Mohd Azmir Maideen
Fakulti Usuluddin, Jabatan Dakwah & Thaqafah Islamiyyah
Universiti al Azhar as Syariff, Kaherah

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal