Pendahuluan
Buku Kacamata Melayu
Di dalam masyarakat Melayu hari ini, terdapat beberapa golongan yang boleh diklasifikasikan kepada :
1. Orang Islam
2. Bukan Islam
Orang Islam pula terbahagi kepada tiga :
a. Orang Islam yang sebenar dan berjuang menegakkan Islam
b. Orang Islam yang tidak berjuang
c. Orang Munafik yang bertopengkan Islam
Bukan Islam pula terbahagi kepada dua
a. Kafir disebabkan agama asal mereka
b. Kafir disebabkan murtad
Orang yang kafir disebabkan murtad berpunca daripada dua faktor utama :
a. Jahil atau taklid buta
b. Membenci Islam (munafik)
Demikianlah pembahagian ringkas yang perlu difahami terlebih dahulu di dalam membincangkan perbahasan yang lebih panjang di dalam buku ini. Oleh itu, di dalam buku ini saya membahagikan perbahasan kepada beberapa tajuk yang utama, yang menjadi dasar penulisan buku ini.
1. Khilafiah
2. Taklid buta
3. Sesat
Khilafiah akan membincangkan tentang isu yang sedang hangat di dalam dunia Melayu hari ini iaitu membincangkan perkara-perkara cabang yang terdapat percanggahan ulama di sana. Maka, wujudlah golongan anti Mazhab yang menyebabkan berlakunya pecah belah di kalangan masyarakat, penyesatan terhadap amalan-amalan yang benar dan sebagainya. Golongan ini gagal membezakan di antara kesesatan yang nyata, dan perbezaan pandangan. Maka, ia sangat berkait dengan golongan ajaran sesat yang sepatutnya dibasmi oleh kita secara bersama. Golongan anti Mazhab ini juga sebahagian besarnya dari kalangan mereka yang bertaklid buta.
Tetapi, mereka sendiri mengharamkan manusia daripada bertaklid. Lalu, penulisan seterusnya akan menjelaskan tentang taklid yang sebenar dan percanggahannya dengan taklid yang buta. Taklid buta banyak dianuti oleh golongan ajaran sesat yang dijelaskan selepas itu. Maka, apabila berlakunya taklid buta yang sepatutnya diperangi oleh golongan Anti Mazhab, berlakulah kesesatan. Masyarakat Melayu sesat disebabkan kejahilan mereka, susulan daripada taklid membuta tuli dengan apa yang diterima oleh mereka.
Penulisan diteruskan lagi dengan kesesatan di Malaysia dalam dua bentuk. Iaitu bentuk amalan (adat) dan pemikiran. Kesesatan Masyarakat Melayu dalam amalan dan adat sangat jelas dan dapat diperhatikan di hadapan media hari ini. Tetapi di sana terdapat kesesatan yang tersembunyi dan tersorok di dalam pemikiran masyarakat Melayu. Itulah yang dinamakan kesesatan dari sudut pemikiran. Tetapi, ia tidak pula ditentang oleh golongan anti Mazhab dan tidak pula diwartakan sesat, melainkan beberapa golongan yang memperjuangkan Islam, yang lantang memperkatakan tentangnya.
Orang Islam yang senyap, akan terus senyap dan hidup dengan periuk nasi mereka sendiri. Golongan munafik pula lebih suka menyuntik pemikiran-pemikiran ini sehingga ia menjadi darah daging di kalangan masyarakat Melayu. Masyarakat tertipu, yang mana satukah kesesatan yang sebenarnya? Maka golongan anti Mazhab mendakwa bertaklid dengan mazhab itu adalah sesat. Golongan yang memperjuangkan Islam bertungkus lumus menjelaskan perkara sebenar, dan orang Islam yang beku akan terus membeku sehinggalah hak peribadi mereka diusik.
Apabila hak peribadi golongan ini diusik mereka akan bersemangat memperjuangkan Islam, walhal perjuangan itu hanyalah bersifat semangat semata-mata, bukan didasari dengan kefahaman yang sebenar sepertimana perjuangan orang Islam yang sebenar yang telah disebutkan sebelum ini.
Golongan munafik terus menerus menyerang orang Islam dan membuatkan umat Islam keliru, berpecah dan bertikam lidah. Di manakah orang bukan Islam? Mereka tercari-cari hakikat Islam. Mereka dalam proses mengenal Islam. Tetapi apabila mereka melihat perangai segelintir umat Islam yang membeku dan munafik, terbatal niat mereka untuk mengenali Islam lebih mendalam. Maka, mereka akan menuduh undang-undang Islam menyekat, zalim dan sebagainya. Walhal ayat-ayat inilah yang dilemparkan oleh golongan munafik yang cuba merosakkan kesucian Islam. Mereka menyebabkan umat Islam berpecah dan menyebabkan orang bukan Islam memandang buruk pada Islam.
Maka, kita perlu menggolongkan diri kita dalam golongan mereka yang memperjuangkan Islam. Perangilah kesesatan yang sebenar yang tertanam di lubuk pemikiran masyarakat Melayu. Jelaskanlah hakikat yang sebenar. Basmi kesesatan yang berbentuk amalan, adat dan pemikiran. Saluran yang paling utama perlu dilalui untuk merealisasikan niat murni ini ialah dengan memperjuangkan tampuk pemerintahan Islam.
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Penulis Buku Kacamata Melayu
0 comments:
Post a Comment