BAIT IZZAH, 30 JUN – Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud “Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad itu terdapat seketul daging, apabila elok daging tersebut, maka eloklah jasad tersebut keseluruhannya, apabila ia rosak, maka rosaklah jasad keseluruhannya, ketahuilah bahawa ia adalah HATI”.
Setelah sebulan warga Tanta berhempas pulas menghadapi peperiksaan fasa ini, maka pihak Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta(DPMT) di bawah UPAP telah mengambil inisiatif bagi mengadakan program ilmiah untuk menyuntik lagi semangat para mahasiswa dalam meningkatkan nilai thaqafah mereka,program diskusi kitab yang bertajuk Cebisan Hati Manusia telah disampaikan oleh Saudara Muhammad Mujahid Bin Mohammad Fadzil iaitu pengarang kitab tersebut.
Buku Cebisan Hati Manusia ini menceritakan mengenai hal keadaan hati manusia yang menjadi raja bagi kepada jasmani. Beliau berkata “ Manusia bergerak dengan menggunakan akal(pemikiran) dan hati bukannya melalui anggota badan kerana hati ialah raja kepada segala tindak-tanduk pergerakan manusia”. Di dalam buku tersebut sarat dengan peringatan dan motivasi dari al-Quran, al-Hadith dan kalam hikmah dari para ulama’ rabbani dan ia sesuai untuk semua lapisan mahasiswa samada dari perubatan mahupun pengajian islam.
Buku ini banyak mengaitkan tentang tasawwuf yang mana ilmu ini tidak boleh dipisahkan dengan ilmu feqah sebagaimana kalam Imam Syafie menyebut “seseorang fuqaha itu digelarkan fuqaha berdasarkan pada ilmu tasawwuf”. Ini kerana kebanyakkan ulama-ulama terdahulu merupakan ahli tasawwuf.
Disamping itu juga, antara kandungan yang terdapat didalam kitab ini ialah faktor-faktor yang boleh mengelapkan hati iaitu banyak berkata, banyak ketawa dan tidur yang banyak. Di akhir kitab ini juga diselitkan bagaimanakah cara untuk mengubati hati manusia. Sepanjang program berlangsung, semua mahasiswa Tanta mendengar dengan penuh tumpuan bagi memenuhi ilmu di dada sebagai persiapan untuk menghadapi masyarakat di Malaysia nanti. .
Walaupun sekarang ini Tanta di dalam musim panas, tetapi ia tidak menghalang kepada warga Tanta untuk menghadiri diskusi tersebut. Program yang bermula pada sebelah petang tadi mendapat sambutan yang menggalakkan oleh warga Tanta termasuk juga pelajar perubatan ikhwah dan akhawat serta ahli mutazawwijin.
Program di tangguhkan sementara waktu bagi menunaikan solat asar dan disambung kembali selepas asar. Program daurah kitab ini berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah oleh Pengerusi DPMT, Saudara Dzulhilmi Roslan.
0 comments:
Post a Comment