Segala puji dan syukur dipanjatkan buat Allah SWT, Tuhan yang memiliki sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda. Doa dihulurkan buat para pejuang Islam, serta seluruh ummat Islam, semoga berada di bawah rahmat dan inayahNya.
Tugas menyeru ke arah Islam tidak pernah berhenti . Usaha dakwah perlu diperhebat dari masa ke semasa supaya ianya sentiasa segar dan berpijak di bumi yang nyata. Sesungguhnya amalan yang amat mulia adalah beramal soleh, saling berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran, itulah golongan yang beruntung sekaligus menyelamatkan dari golongan yang rugi seperti yang difirmankan Allah.
Pembentukan syakhsiah ummah kini terlalu menyedihkan. Dewasa ini, kita sering dikhabarkan oleh media pelbagai gejala sosial yang meruntun jiwa seorang muslim. Masalah zina, pengguguran bayi, pembunuhan, kes buli, budaya samseng dan pelbagai lagi. Lebih menyedihkan, perlakuan tidak bermoral ini kebanyakannya `dijuarai` oleh golongan remaja Islam! Sampai bilakah masalah ini akan terus membiak dan membarah?
Mahasiswa yang menuntut Ilmu di bumi Mesir ini sepatutnya lebih peka akan tanggungjawab mereka yang sebenar. Kita berperanan menghidupkan suasana baik yang dianjurkan Islam. Adalah sangat menghairankan apabila bumi yang menjadi pusat ilmuan ini dicemari dengan perlakuan sosial, bahkan lebih menghairankan lagi gejala sosial ini semakin berleluasa!
Biah solehah yang dianjurkan Islam, sewajarnya diamalkan sepenuhnya oleh kita sekaligus memenuhi tuntutan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar. Dr Yusuf Al-Qardawi dalam kitabnya Kewajipan Remaja Muslim Pada Hari Ini menyatakan “golongan remaja adalah waktu yang menunjukkan tempoh kekuatan dan semangat yang kuat. Inilah tempoh untuk memberi, berusaha dan mampu untuk menanggung ujian-ujian. Justeru, gunakanlah tempoh ini, bagi merebut redhaNya dengan menyelamatkan diri kita dan orang lain dari azab Allah yang amat pedih.”
Tuntutan Islam supaya biah yang baik diwujudkan mesti diteruskan. Maka, Lajnah dan Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM pada sesi ini berbesar hati meneruskan lagi fungsi Unit Biah Solehah yang telah lama ditubuhkan. Unit ini berperanan penuh dalam melahirkan insan-insan yang benar-benar takutkan PenciptaNya bagi menghiasi kehidupan seharian dengan amalan soleh dan menjauhi segala maksiat. Firman Allah dalam surah A-Syams, ayat 7- 10 yang bermaksud :
“ Demi jiwa dan penyempurnaannya (ciptaannya), Lalu Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan da ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya..”
Akhirnya, semoga segala gerak kerja Unit Biah Solehah dipermudahkan. Kerjasama dan bantuan dari semua pihak amat diharapkan. Seperti yang digariskan oleh Dr Yusuf Al-Qardawi, kewajipan beramal dan berdakwah dalam Islam perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Mudah-mudahan amalan kita diterima disisi Allah ta`ala.
“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”
“KESATUAN UKHUWAH MANIFESTASI TARBIYAH”
Lajnah & Unit Dakwah dan Pembangunan Insan,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.
0 comments:
Post a Comment