oleh : BP Faizuddin (link)
Ust Aisam, Ust Azlan, & Ust Azfar
Mungkin ramai yang kurang menyedari tentang mereka, orang yang banyak bekerja disebalik tabir. Mereka bekerja tanpa mengira masa dan waktu. Dan pastinya, mereka ini adalah ‘orang kuat’ PMRAM Multimedia Centre (PMC).
Merekalah yang banyak menjayakan program-program mega PMRAM. Kejayaan mereka dalam memastikan “sound system” berjalan dengan baik dalam setiap program PMRAM selayaknya diberikan pujian dan penghargaan.
Semalam, kami sempat berbincang tentang hala tuju PMC PMRAM yang memerlukan tenaga yang ramai dalam memastikan setiap program PMRAM berjalan dengan baik dan lancar. Rintihan demi rintihan didengari, muhasabah demi muhasabah diterima. Begitu banyak idea dan cadangan yang dikongsi untuk memastikan survival PMRAM terus utuh.
Kini usia PMC sudah pun 10 tahun, telah ditubuhkan semenjak tahun 2000 lagi. Kejayaan demi kejayaan telah pun ditongkah oleh PMC. Mungkin generasi hari ini ramai yang tidak mengetahui tentang sejarah PMC yang telah ditubuhkan pada 20 Oktober 2001 yang buat julung kalinya telah dirasmikan oleh TYT Duta Besar Malaysia di Kaherah, Dato’ Abu Bakar Daud bertempat di Kompleks Hayyu Asyir.
TYT Duta ketika itu juga turut merasmikan projek mega PMC iaitu Malaysian Silicon ValleyOf Egypt (MASSIVE) yang telah dipancarkan secara lansgung ke seluruh dunia melalui internet dan tayangan slide show sebagai penerangan awal projek PMC.
Generasi perintis dahulu telah berjaya mengorak langkah dalam memikul tanggungjawab untuk memastikan segala perjalanan dan perancangan program PMRAM berjalan lancar. Namun, hari ini kita melihat generasi sekarang sudah kurang berminat dalam membantu gerak kerja PMC khususnya di dalam bidang teknikal.
Saya cukup kagum dengan mereka yang banyak membantu gerak kerja PMC khususnya di bidang teknikal. Kemahiran yang diperolehi oleh mereka tidak semua orang memilikinya. Ada juga di kalangan mereka langsung tidak mengetahui tentang kemahiran teknikal. Namun, sifat ingin belajar yang ada pada diri mereka membuatkan mereka lebih mahir dari semasa ke semasa sehingga ke setiap program PMRAM, merekalah yang banyak menjayakannya tanpa mengeluh sedikit pun. Bahkan, banyak pula wang mereka dihabiskan semata-mata untuk menjayakan setiap program PMRAM.
Saya hanya mampu berdoa mereka yang bekerja dan menghabiskan banyak masa untuk kesatuan ini diberikan kekuatan, dimantapkan iman, diberikan kesabaran dan tangkas serta mempunyai keazaman yang teguh dan kuat.
Bekerjalah kalian, usahlah mengharapkan sedikit pun pujian dari manusia… Sentiasalah harapkan pertolongan dari Allah SWT. Dialah yang menilai gerak kerja kalian bukannya manusia. Tetap dan thabat!
0 comments:
Post a Comment