27 July 2010

Rombongan Perubatan Dan Media Malaysia Akan Tiba Di Gaza Ramadhan Ini

Oleh : Mini Pavilion (link)

Menurut sumber agensi berita safa, 26/07/2010 melaporkan bahawa 30 doktor perubatan Malaysia dalam pelbagai bidang kepakaran nekad tiba di Gaza dalam Ramadhan akan datang.

Berita Penuh:

KUALA LUMPUR: Seramai 55 sukarelawan, termasuk 30 doktor pakar dan pegawai perubatan daripada pelbagai bangsa, dipilih mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Gaza selama 13 hari pada bulan puasa ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata misi yang turut disertai 10 wakil media itu, akan berlepas pada 8 Ogos ini sebagai usaha berterusan Kelab Putera 1Malaysia untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

"Saya berbangga kerana misi kemanusiaan ini turut disertai oleh doktor dan pegawai perubatan pelbagai bangsa. Mereka terpanggil menyertai kerana tanggungjawab membantu mangsa peperangan dan sebagai isteri pemimpin utama negara, saya berterima kasih kepada doktor berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat dan penyampaian sumbangan misi kemanusiaan itu anjuran Kelab Putera 1Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di kediamannya di sini, hari ini.

Rosmah berkata, misi berkenaan menunjukkan keprihatinan dan sensitiviti rakyat di negara ini terhadap penderitaan penduduk Gaza.

Beliau berkata, 30 doktor dan pegawai perubatan daripada sektor kerajaan serta swasta itu masing-masing 10 bangsa Melayu, India dan Cina, melambangkan semangat 1Malaysia yang semakin berjaya diterima oleh semua pihak.

Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pasukan itu terdiri daripada pakar ortopedik, pakar bedah neuro, dan pakar psikiatri. akan ditempatkan di lima hospital termasuk Al-Quds Hospital, Khan Younis, Al-Amal Hospital dan Jabaliyah Hospital.

"Kita membawa doktor pakar tempatan untuk ditempatkan di lima hospital yang dikenal pasti bagi mendidik doktor di sana terutama daripada konteks psikiatri dalam memberi penekanan dan taklimat berkaitan pesakit trauma khususnya kanak-kanak dan warga emas yang masih dalam pemikiran ketakutan," katanya.

Menurutnya, 30 doktor terbabit dipilih daripada 173 doktor yang mendaftar untuk menjadi sukarelawan bagi menyertai misi bantuan kemanusiaan.

Beliau berkata, satu laporan akan dibentangkan kepada Rosmah berhubung misi berkenaan termasuk berkaitan bantuan di sempadan Gaza dan beberapa siri bantuan susulan akan dijalankan pada masa depan.

Abdul Azeez yang mengetuai misi itu berkata dalam misi berkenaan, bantuan ubat-ubatan, pakaian, makanan dan keperluan harian dibawa dalam suasana menyambut Ramadan yang akan dihulurkan kepada 1,000 keluarga.

Turut hadir pada majlis itu, Duta Palestin ke Malaysia, Abdul Aziz Abu Ghoush dan Naib Pengerusi Kebangsaan PBSM Malaysia, Datuk Dr Bahari Abu Mansor yang juga penasihat misi berkenaan. - Bernama

Sumber 26/07/2010, web berita harian(Malaysia)

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal