12 July 2010

UiTM Kelantan Tawar 500 Tempat Kepada Pelajar Miskin

MACHANG: Seramai 500 pelajar miskin tegar yang sebahagian besarnya dari Kelantan ditawarkan tempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan bagi sesi pengajian Julai-November 2010.

Mereka juga akan dikecualikan daripada membayar yuran pengajian selain menerima elaun sebanyak RM400 sebulan.

Pengarah UiTM Kelantan, Datuk Prof Dr Hussin @ Mohamed Ab Rahman berkata pelajar berkenaan merupakan pemohon yang sebelum ini gagal mendapat sebarang tawaran di institusi pengajian tinggi lain.

"Mereka juga akan diberi tempat tinggal di asrama secara percuma," katanya.

Pelajar berkenaan merupakan antara 2,300 pelajar baru yang diterima masuk ke kampus UiTM Machang dan Kota Baharu bagi sesi pengajian sekarang. Dr Hussin berkata pihaknya telah memohon peruntukkan dengan kerajaan pusat untuk membina bangunan baru di kedua-dua kampus berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) bagi menampung jumlah pelajar yang semakin ramai termasuk 6,000 pelajar sedia ada. "Kawasan seluas lebih 100 hektar di UiTM Machang telah disediakan bagi pembinaan tiga hingga empat bangunan kolej baru manakala bagi kampus Kota Baharu, kami sedang mencari tapak yang sesuai untuk pembinaan kolej yang dapat menampung sehingga 5,000 pelajar.

"Kita mensasarkan akan mengambil pelajar di kampus Machang seramai 8,000 orang sementara di kampus Kota Baharu sekurang-kuranya seramai 3,000 orang menjelang tahun 2015," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal