Sumber : Minda Presiden PMRAM (link)
Assalamualaikum.
Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.
Dewasa ini, PMRAM menyedari akan peri pentingnya menyediakan mahasiswa-mahasiswa Islam yang unggul lagi meneruskan kelangsungan Islam apabila pulang ke Malaysia kelak. Mereka yang pulang bukan hanya berbekalkan semangat semata-mata tetapi didasari dengan kefahaman yang mendalam.
Sebab itulah PMRAM begitu menekankan ilmu-ilmu fundamental (turath) serta kotemporari (mu'asrah) kepada mahasiswa Islam agar pendapat dan pandangan yang diberikan oleh mereka selari dengan tuntutan agama dan kehendak semasa.
PMRAM bimbang akan golongan yang mempunyai semangat berkobar-kobar tanpa didasari dengan kefahaman yang mendalam. Golongan seperti ini bakal menerima sifat putus asa (futur) apabila terjun ke medan perjuangan yang sebenar.
PMRAM juga bimbang dengan golongan yang hanya mendalami ilmu semata-mata, berhujah dan berdebat tanpa melaksanakan dengan perbuatan. Golongan seperti inilah yang seringkali mempertikai gerak kerja yang dilakukan oleh aktivis-aktivis Islam. Ketahuilah bahawa ISLAM TIDAK AKAN TERTEGAK DENGAN KATA-KATA.
Sebagai seorang mahasiswa Islam, kita harus menyedari bahawa alasan yang banyak akan mengurangkan kualiti gerak kerja terutamanya kerja-kerja Islam. Demikian juga sikap berdolak dalih dengan kebenaran demi memburu kepentingan duniawi bahkan sanggup pula mengampu untuk mencari tempat selesa dalam perjuangan kononnya.
Artikel kali ini saya ingin datangkan pandangan ulamak berkenaan pertembungan antara maslahat dengan dalil al-Quran dan hadis. Terkadang pimpinan mengabaikan kaedah yang disusun oleh ulamak menyebabkan keputusan dan pendapat yang diberikan bercanggah dengan syarak. Kefahaman seperti ini begitu penting bagi membina fikrah pimpinan.
Adakah harus untuk kita beramal dengan maslahat padahal dalil al-quran atau hadis melarang perkara tersebut?. Adakah perintah daripada Allah SWT dan Nabi SAW tidak memberi maslahat yang sebenar? Manakah yang perlu didahulukan. Dalil atau maslahat?
PEMBAHAGIAN DALIL ANTARA QAT'IEYAT DAN ZONNIYAT
Secara umumnya dalil al-quran dan hadis terbahagi kepada 2 kategori :
1) Dalil Qat'ie iaitu dalil yang tidak mempunyai makna kedua padanya. Ulamak bersepakat berkenaan hukumnya dan tidak berlaku perselisihan pendapat. Kebiasaannya dalil ini melibatkan perkara usul dalam agama.
2) Dalil Zonni iaitu dalil yang mempunyai lafaz yang boleh diertikan dengan pelbagai makna. Para ulamak mempunyai pandangan yang pelbagai terhadapnya. Mereka berselisih pandangan berkenaan hukum yang terdapat pada dalil tersebut sama ada ia berkaitan dengan "takhsis" , "taqyid" , "majaz" dan lain-lain.
Sebagaimana dalil al-quran dan hadis, maslahat juga terbahagi kepada 2 kategori :
1) Maslahat yang besifat qat'ie iaitu kebaikan yang pasti akan berlaku.
2) Maslahat yang bersifat zonni iaitu kebaikan yang tidak pasti sama ada ia akan berlaku atau tidak.
Apabila bertembung antara dalil nas (al-quran dan hadis) dengan maslahat maka perlu dilihat kategori kedua-duanya sama ada besifat qat'ie atau zonni.
PERTEMBUNGAN ANTARA DALIL DAN MASLAHAT
1) Apabila bertembung antara dalil zonni dengan maslahat yang bersifat zonni, maka perlu diamalkan dalil zonni tersebut. Maslahat di sini tidak akan diiktibar oleh syarak.
2) Apabila bertembung antara dalil zonni dengan maslahat yang bersifat qat'ie, maka perlu diutamakan maslahat tersebut. Ini kerana dalil yang bertembung adalah bersifat zonni dan lafaznya boleh diertikan dengan makna yang pelbagai. Hanya maslahat ini sahaja yang dibenarkan oleh syarak beramal dengannya kerana bertembung dengan dalil yang bersifat zonni.
3) Apabila bertembung antara dalil qat'ie dengan maslahat yang bersifat zonni, maka sudah tentu perlu diutamakan dalil tersebut. Ini kerana maslahat tadi belum tentu boleh mendatangkan kebaikan jika diamalkan.
4) Pertembungan antara dalil qat'ie dengan maslahat yang bersifat qat'ie tidak akan berlaku sama sekali melainkan dalam situasi darurat sahaja. Para ulamak menyebutkan kaedah yang digunapakai apabila berlakunya darurat iaitu
الضرورة تبيح المحظورات
"Situasi darurat akan mengharuskan perkara yang haram"
MASALAH FIQH YANG BERKAITAN PERTEMBUNGAN ANTARA DALIL ZONNI DENGAN MASLAHAT YANG BERSIFAT QAT'IE
Penetapan Harga Barangan Oleh Kerajaan
Berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW, Islam melarang umatnya untuk menetapkan harga barang jualan kerana perkara tersebut akan menimbulkan kezaliman terhadap peniaga. Dalil larangan ini bersifat zonni dan mempunyai maksud yang pelbagai.
Sekiranya kerajaan tidak melakukan penetapan harga, maka peniaga akan mengambil kesempatan memonopoli barangan supaya ia dijual ketika harga melambung. Hal ini menyebabkan berlakunya kezaliman terhadap pengguna. Dalam situasi begini, kerajaan wajib menetapkan harga walaupun maslahat tersebut bertembung dengan hadis. Lafaz nas tersebut diertikan dengan makna yang sesuai dengan maslahat.
Fatwa Pengagihan Wang Zakat Kepada Yayasan
Ulamak bersepakat mewajibkan seseorang muslim mengeluarkan zakat. Tetapi mereka berselisih pendapat pada kelayakan penerima wang zakat. Berdasarkan dalil dalam Surah At-Taubah ayat 90, hanya terdapat 8 jenis individu sahaja yang layak menerima zakat. Dan dalil ini bersifat zonni.
Pengagihan wang zakat kepada yayasan merupakan suatu maslahat yang bersifat qat'ie. Maka ia dilaksanakan dalam masyarakat manakala dalil dalam surah At-Taubah itu diertikan dengan makna yang sesuai dengan keadaan semasa.
Hukum Perempuan Bermusafir Tanpa Mahram
Ulamak berselisih pendapat pada hukum perempuan bermusafir tanpa mahram. Berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW, Islam melarang perkara tersebut. Dan dalil ini bersifat zonni.
Jika diteliti, suasana masyarakat kini menuntut untuk perempuan bermusafir walaupun tanpa mahram dan ia dilihat sebagai maslahat yang bersifat qat'ie. Maka maslahat ini diamalkan dalam masyarakat mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh ulamak seperti aman di sepanjang perjalanan. Dalil yang bersifat zonni diertikan dengan makna yang sesuai dengan keadaan semasa.
KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH
Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.
Rujukan
1) Dhawabit Al-Maslahat karangan Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buti
2) Al-Muwazanah baina Al-Masalih karangan Dr. Ahmad 'Aliyuwi
3) Safar Al-Mar'ah penyusun Mas'ud Sobri
4) Politik Islam karangan Dr. Yusof Al-Qaradhawi.
0 comments:
Post a Comment