08 May 2010

Laporan Penuh Pertemuan Wafidin Di Tanta 27 April


Kami warga Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) tidak bersetuju dengan perpindahan pelajar Al-Azhar bukan warganegara ke Kaherah.

Isu ini telah diperkatakan sebelum peperiksaan fasa satu bermula. Pelajar arab tempatan dan wafidin sesetengahnya telah mengetahui maklumat ini. Antara sebab-sebabnya ialah:-

1- Permasalahan sosial akan berleluasa: Kewujudan pelajar pengajian Islam di muhafazah yang mempunyai pelajar pengajian perubatan serba sedikit mampu membendung permasalahan sosial yang berlaku di kalangan pelajar perubatan. Sekiranya hanya pelajar perubatan yang tinggal, kemungkinan masalah ini akan berleluasa. Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) dan pelajar pengajian Islam yang wujud mampu membendung gejala ini.

2- Kos sara hidup yang tinggi: Kaherah merupakan ibu negara Mesir dan taraf kehidupan di sana tinggi. Kebanyakan barang keperluan harian lebih tinggi berbanding di muhafazah. Situasi ini akan lebih membebankan pelajar yang sudah mendirikan rumahtangga. Sekiranya ia berlaku, pastinya ada di kalangan peniaga atau tuan rumah akan meninggikan lagi kos sewa dan harga barangan akibat permintaan yang tinggi, anggapan pelajar asing mempunyai kehidupan yang mewah serta keterpaksaan pelajar memilih (kos dan nilai tinggi tersebut) kerana tiada pilihan lain.

3- Alasan pihak Al-Azhar pelajar bukan warganegara tidak menguasai bahasa Arab TIDAK RELEVAN: Penguasaan bahasa Arab seseorang pelajar sebenarnya lebih didasari kehendak sendiri dan kesan pengajian adalah kesan secara tidak langsung. Sebab ini terbahagi kepada beberapa bahagian:-

a. Sekiranya penguasaan bahasa Arab yang disebutkan adalah umum, maka langkah perpindahan bukanlah langkah yang terbaik. Cara yang lebih berkesan (di peringkat Tanta) ialah mewujdukan kelas pembelajaran bahasa Arab kepada pelajar asing. Seperti beberapa siri kelas bimbingan bahasa Arab yang telah dijalankan oleh pensyarah kuliah Quran sebelum ini.

b. Sekiranya penguasaan bahasa Arab yang disebut ialah penguasaan basasa Arab baku (fushah), didapati di kalangan masyarakat dan pelajar tempatan sendiri tidak mampu bertutur dengan bahasa Arab fushah dengan baik.

c. Meraikan pelajar tempatan untuk pengajaran bahasa Arab pasar tidaklah boleh dijadikan alasan yang kukuh. Sepatutnya, pembelajaran yang bersifat formal perlulah memenuhi ciri-cirinya iaitu pembelajaran di dalam bahasa standard bagi melambangkan kualiti pengajian Universiti Al-Azhar yang terulung di mata dunia.

d. Sekiranya pengajaran di dalam bahasa pasar (yang sesetengahnya terlalu kuat pasarnya) terus dijadikan amalan dikalangan pelajar Al-Azhar, pastinya sedikit demi sedikit nilai ilmu akan menjadi kurang dan nilai bahasa Arab itu sendiri akan musnah.

f. Musuh-musuh Islam pada hari ini sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memusnahkan nilai dan sistem bahasa Arab. Malangnya, dalam masa yang sama institusi Al-Azhar sendiri tidak mahu dan tidak mampu mempraktikkan bahasa Arab melalui nilai dan etikanya yang sebanar secara menyeluruh. Bahasa Arab fushah kurang diberi penekanan di dalam pengajian Islam. Sudahlah komunikasi masyarakat umum serta pengajian selain pengajian Islam menggunakan bahasa pasar, lebih menyedihkan pihak yang berautoriti untuk terus memperjuangkan bahasa Arab fushah akhirnya tidak melaksanakan secara serius dalam medan yang sepatutnya (institusi pengajian).

g. Di peringkat Tanta sendiri telah wujud Markaz Nil cawangan Tanta dalam membantu penguasaan dan pembelajaran bahasa Arab di kalangan pelajar Malaysia dan asing.

4- Mengumpulkan pelajar wafidin (pelajar Malaysia khususnya) akan menimbulkan beberapa masalah lain. Antaranya ialah:-

a. Kehidupan pelajar Malaysia dalam satu tempat bukan membantu penguasaan bahasa Arab, malah kemungkinan praktikal pengunaan bahasa Arab tidak akan wujud akibat kehidupan sama rumpun dan tidak berhajatkan praktikal penggunaan bahasa Arab.

b. Urusan perpindahan maklumat pengajian pasti akan berlaku keciciran kerana sistem yang diamalkan masih di takuk lama. Dibimbangi akhirnya memberi impak yang buruk kepada pengajian pelajar seperti terpaksa menukar kuliah, menangguhkan pengajian, maklumat tidak lengkap serta hilang dan sebagainya.

c. Proses perpindahan dengan jumlah yang terlalu banyak (akibat perpindahan daripada semua muhafazah ke Kaherah) bakal menyulitkan proses mendapatkan penempatan dan urusan pendaftran kuliah.

d. Ini akan mengurangkan penguasaan bahasa Arab itu sendiri dan pengalaman bermuamalat dengan masyarakat sekitar. Masyarakat Arab Mesir mempunyai nilai sosialnya yang tersendiri. Ini akan menghapuskan peluang pelajas asing mempelajari dan menghayati sistem kehidupan masyarakat tempatan. Malah, pihak kedutaan Indonesia (berdasarkan kenyataan ketua pelajar Indonesia) mahukan pelajarnya tersebar ke seluruh Mesir.

e. Akan wujud ‘assabiyah Melayu/ Malaysia’ akibat kehidupan yang hanya setompok tanpa komunikasi dengan masyarakat tempatan dan pelajar asing yang lain.

5- Cadangan perpindahan ini ada mainan politik dan pengaruh pihak atasan pengurusan Al-Azhar. Antaranya ialah:-

Terdapat beberapa petanda awal seolah-olah ia merupakan rancangan pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KMBK) dan Jabatan penuntut Malaysia Kaherah (KBMK). KBMK dan JPMK tidak memainkan peranan mereka. Semasa isu ini panas dibincangkan, tiada sebarang respon dan tindakan yang sepatutnya oleh pihak yang berkaitan.

Suatu ketika dahulu, pihak JPMK mahu memisahkan kelompok Malaysia yang tertumpu di pudat dengan mewujudkan muhafazah pada tahun 1992. Kemungkinan akibat merasakan penguasaan PMRAM di kalangan pelajar pengajian Islam semakin kuat, tindakan lain diambil oleh mereka. JPMK mahu menyekat pengaruh PMRAM yang semakin melebar di kalangan pelajar.

Isu ini hanya diketahui oleh orang atasan (pihak pengurusan) Al-Azhar sahaja tanpa diketahui oleh kebanyakan pensyarah pada peringkat awal. Malah pensyarah Universiti Al-Azhar di Mansurah tidak menyetujui perpindahan ini.

6- Pertukaran ke Kuliah Ulum yang akan diwujudkan kelak akan menghilangkan nilai identiti pelajar Al-Azhar di mata masyarakat dan dunia. Seolah-olah silibus pengajian telah berubah di kalangan pelajar wafidin dan menghalangi mereka memperoleh manhaj, kaedah dan method pengajian Al-Azhar yang digunapakai secara umum di kalangan pelajar berbangsa Arab dan selainnya selama ini.

7- Kenaikan yuran akan membebankan pelajar. Terdapat ura-ura yang menyatakan di Kaherah kelak yuran pengajian akan mencecah USD 1000 seorang. Ini pastinya membebankan pelajar yang tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak. Malah, sebahagian besar pelajar Al-Azhar bukanlah daripada golongan berada dan berpendapatan tinggi.

8- Perbezaan silibus merendahkan taraf dan identiti Al-Azhar. Penggubalan semula dan pertukaran silibus yang dikatakan akan berlaku di Kuliah Ulum kelak sebenarnya akan merendahkan martabat pelajar Al-Azhar wafidin. Semua pelajar Al-Azhar sepatutnya menerima silibus, manhaj dan method pengajian yang sama.

Antara maklumat lain yang diperolehi daripada perjumpaan tersebut ialah:-

Indonesia

Ketua Pelajar Indonesia dari Dewan Pengurus Daerah, Persatuan Pelajar dan Mahasiswa Indonesia (DPP PPMI Tanta) menyatakan bahawa kebanyakan pelajar Indonesia sendiri keberatan untuk berpindah. Pihak mereka telah berhubung dengan kedutaan Indonesia dan pihak kedutaan menyatakan ketidaksetujuan mereka. Pihak kedutaan mahukan pelajar Indonesia bertebaran ke seluruh pelusuk Mesir dan isu ini tiada kaitan dengan kedutaan.

Beliau juga menambah, perpindahan ini adalah cadangan daripada pihak Ikatan Alumni Al-Azhar Sedunia. Pihak Ikatan berpendapat bahawa ia akan memudahkan mereka (penguasaan bahasa Arab di kalangan pelajar wafidin). Namun, ia sebenarnya lebih banyak mendatangkan mudharat. Pihak mereka masih tidak menerima hitam-putih (qarar) mengenainya. Sekiranya ada, mereka membantahnya.

Beliau menambah, pihak kedutaan Indonesia akan akan menyelidik asal usul isu ini (cadangan perpindahan). Kemudian mereka akan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang terbabit. Persatuan Indonesia akan mendesak persatuan Al-Azhar terhadap isu ini.

Nigeria

Wakil Nigeria menyatakan bahawa isu baru baru didengari sekitar dua minggu yang lalu dan beliau mendapatkan pengesahan mengenainya daripada pelajar Nigeria yang lain yang berada di muhafazah selain Tanta seperti Mansurah, Dsuq dan sebagainya. Beliau mencadangkan agar semua pelajar wafidin bergerak dan bertindak dalam ‘satu suara’ membantah cadangan perpindahan ini. Jangan hanya mementingkan keperluan dan kepentingan sendiri.

Beliau menambah, sekiranya perpindahan ini berlaku, pastinya akan banyak masalah yang akan timbul yang berkaitan secara langsung denga pengurusan seharian dan pengajian. Katanya, berdasarkan kenyataan Syeikh Al-Azhar yang baru, konsep pengajian Al-Azhar akan bertukar kepada konsep pengajian kitab turath. Sekiranya ini berlaku, pastinya pelajar wafidin akan terlepas dan ketinggalan mengikuti proses ini.

Turki

Ketua pelajar Turki menyatakan bahawa kehidupan dan pengurusan pengajian di Tanta lebih mudah berbanding Kaherah. Kehidupan di Kaherah sangat sukar dan sibuk. Beliau menambah bahawa terdapat beberapa pelajar Turki yang memilih Kaherah menyatakan kekecewaan mereka apabila menjalani kehidupan di sana. Apabila perpindahan ini berlaku, pelajar wafidin akan terpisah dengan masyarakat Arab dan ini pasti tidak akan memperkasakan bahasa Arab pelajar wafidin.

Selain itu menurutnya, permasalah besar akan timbul berkaitan proses perpindahan, pengajian dan penempatan. Beliau mencadangkan perlunya ada perbindangan dengan dekan atau rektor kuliah di peringkat Kaherah dan menghantar surat aduan.

Cadangan

Antara cadangan tindakan yang telah diutarakan oleh ahli ialah:-

a. Para pelajar perlu meletakkan sikap dan nilai thiqah (kepercayaan) yang tinggi kepada para syeikh dan pensyarah Al-Azhar. Sesungguhnya mereka merupakan golongan ulama’ yang lebih rapat dengan Allah SWT dan mengetahui apa yang lebih baik.

b. Pelajar perlu lebih mengutamakan peperiksaan kerana ianya semakin hampir. Peperiksaan adalah perkara pasti dan isu ini masih dalam perbincangan.

c. Para pelajar perlu bertindak profesional dan mengawal emosi dalam menghadapi isu ini.
Meminta bantuan persatuan pelajar Al-Azhar. Ini kerana, pihak persatuan pelajar sendiri tidak bersetuju dengan cadangan perpindahan ini.

d. Pihak berwajib perlu bersama menangani isu ini, menyatakan bantahan terhadap cadangan perpindahan ini. Ia melibatkan kerjasama daripada pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

e. Mendesak KBMK dan JPMK menyatakan ketidaksetujuan dalam isu ini. Ini disebabkan mereka seolah ‘berdiam diri’ terhadap isu ini.

f. Pengerusi DPMT yang merupakan wakil PMRAM pusat perlu membuat tindakan susulan terhadap kesanggupan pihak persatuan palajar Al-Azhar Tanta yang mahu bekerjasama dalam isu ini.

g. Sekiranya perpindahan ini benar-benar berlaku, perlu meminta jaminan agar PMRAM terus dibenarkan berprogram.

9- Meminta jaminan daripada Al-Azhar bahawa pelajar wafidin akan memperoleh kemudahan yang sama diperolehi di Tanta apabila berpindah ke Kaherah kelak.
Muhasabah

Antara muhasabah di dalam perjumpaan:-

a. Seluruh ahli dan pelajar wafidin perlulah berusaha bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam pengajian dan penguasaan bahasa Arab. Mereka perlu mampu membawa manhaj Al-Azhar apabila turun ke medah kelak.

b. Kecemerlangan dalam penguasaan bahasa Arab merupakan kehendak sendiri. Sekiranya tidak bermula dari diri sendiri dan atas inisiatif sendiri, pastinya seseorang tidak mampu menguasai bahasa Arab dengan baik merangkumi tatabahasa dan nilai estetikanya.

c. Sesetengan pelajar malu untuk berbicara dan bertutur dalam bahasa Arab kerana bimbang akan salah. Ini merupakan sikap yang patut dihindari. Malu untuk menuju kecemerlangan bukanlah daripada sikap dan sifat yang dianjurkan oleh Islam. Malah Islam menganjurkan umatnya agar bersungguh-sungguh untuk memahami dan menghayati Al-Quran yang ilmunya bermula daripada bahasa Arab.

d. Pelajar tidak seharusnya mengamalkan sikap berpuak atau assabiyah. Hanya hidup di dalam lingkungan pelajar melayu atau Malaysia sahaja. Komunikasi dengan masyarakat Arab sangatlah dituntut untuk penguasaan bahasa Arab yang lebih baik dan penyaluran ilmu yang lebih berkesan.

Laporan ini berdasarkan perbincangan dan luahan idea semasa perjumpaan tergempar pada hari Selasa bertarikh 27 April 2010, bertempat di Bait Izzah (markaz pelajar Malaysia Tanta) pada jam 7:00 malam. Kehadiran ahli mencecah 100 orang.

Disediakan oleh:
Setiuasaha Agung DPMT Sesi 2009/2010.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal