06 May 2010

Isu Qiraat Disiarkan Di Dalam Harakah, Sila Baca


Mahasiswa Maahad Qiraat al Azhar Gagal Masuk Periksa

sumber : harakahdaily (link)

oleh : Mahasiswa kecewa

Kekesalan jelas terpampang di wajah mahasiswa-mahasiswi Maahad Qiraat Al-Azhar sesi kemasukan 2009. Bayangkan jika anda sudah berada di pusat pengajian hampir 7 bulan, setelah bersungguh-sungguh mengulangkaji pelajaran, tetapi tidak dibenarkan memasuki peperiksaan.

Mereka amat-amat kesal dan kecewa oleh sikap seorang pegawai Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK), bahagian Atase Pendidikan MSD Cairo yang menjadi penyebab mereka tidak dapat memasuki peperiksaan. Anda pasti tertanya-tanya, kenapakah mereka tidak dibenarkan memasuki peperiksaan? Jawapannya ialah disebabkan sikap tidak professional dan tidak ada sifat integriti pada seorang pegawai yang menguruskan bahagian pendaftaran mereka iaitu Encik Khairi Jalaluddin.

Beliaulah punca mahasiswa-mahasiswi Qiraat Al-Azhar lemah semangat untuk meneruskan pengajian. Sedangkan jawatan yang disandangnya ialah bahagian pendidikan. Sepatutnya beliau menjadikan mahasiswa-mahasiswi di Mesir ini bersemangat untuk belajar, tetapi hal sebaliknya telah berlaku. Mahasiswa-mahasiswi Qiraat Al-Azhar tidak dapat menduduki peperiksaan adalah kerana urusan pendaftaran yang masih tidak dapat diselesaikan hingga ke hari ini.

Semua borang-borang yang berkaitan dengan pendaftaran telah pun diserahkan oleh pihak mahasiswa kepada Khairi bahagian Atase Pendidikan MSD Cairo pada bulan Disember 2009 lagi. Tetapi hingga bulan Mei 2010, nama mahasiswa-mahasiswi Maahad Qiraat Al-Azhar masih lagi tiada di maahad. Persoalan yang timbul ialah, Encik Khairi bin Jalaluddin ini menjalankan tugas atau tidak? Dalam jangka masa 5 bulan, amat mustahil jika urusan pendaftaran masih belum selesai.

Berita yang amat mengecewakan lagi ialah apabila beliau selalu mengeluarkan janji-janji manis semata-mata untuk menyejukkan hati mahasiswa-mahasiswi yang bertanya. Pihak pengurusan pelajar telah berjumpa dengan pegawai yang menguruskan sesi pendaftaran ini. Jawapan yang diberikan ialah nama mahasiswa-mahasiswi akan berada di Maahad Qiraat dalam masa 10 hari lagi. Setelah 10 hari dan beberapa kali 10 hari pihak pengurusan pelajar berulang alik bertanya tentang masalah pendaftaran ini seperti yang dijanjikan. Ternyata janji manis bertukar tawar.

Khairi juga telah menjanjikan bahawa hasil pertemuan beliau dengan Syeikhul Al-Azhar untuk menyelesaikan masalah ini akan dimaklumkan. Kemudian beliau bertukar pula kenyataan bahawa beliau akan menyiarkan di dalam laman web Atase pendidikan (http://ataseakademik.blogspot.com) pada 5/6/2010.

Hingga hari ini 6/5/2010 tidak disiarkan. Apabila mahasiswa-mahasiswi bertanya, beliau menyuruhnya supaya bertanya kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Apa kaitannya hasil pertemuan itu dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia? Susah sangatkah untuk berlaku jujur? Kemudian apabila ditanya lagi, beliau menyuruh mahasiswa bertanya kepada Encik Zulkifli (pegawai JPMK).

Apa yang mahu diutarakan disini ialah kenyataan beliau yang sering bertukar dan bersifat menipu mengakibatkan mahasiswa-mahasiswi merasa meluat dengan janji-janjinya. Benarkah beliau ingin menjaga kebajikan pelajar di Mesir? Bukankah kewujudan JPMK adalah untuk menjaga kebajikan pelajar? Sungguh kesal dan kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh beliau. Terbaru beliau mengeluarkan kenyataan bahawa mahasiswa-mahasiswi Maahad Qiraat dibenarkan menduduki peperiksaan pada bulan Julai. Kenyataan ini dikeluarkan melalui mulut yang manis! Bukan bertulis.

Mahasiswa-mahasiswi Qiraat merasa amat-amat tertekan dengan adanya pegawai yang bersikap sebegini. Kenyataan peperiksaan boleh diambil pada bulan Julai ternyata membuatkan mahasiswa-mahasiswi Maahad Qiraat tidak percaya akibat beberapa kali telah ditipu oleh beliau. Semoga Allah s.w.t. membalas perbuatannya dengan balasan yang setimpal!

Kami merayu kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai kemampuan menyelesaikan masalah ini supaya tampil membantu kami di sini kerana suara kami semakin dipermain-mainkan oleh beliau. Kami amat berharap kepada pihak berwajib di Malaysia mengambil tindakan yang sepatutnya kepada pegawai ini kerana telah menyebabkan kami susah untuk mengaji di Mesir. Kami amat sedih dan kesal diperlakukan sebegini. Kami datang ke sini adalah untuk menuntut Ilmu, malangnya diperlakukan seperti ini. Sekian, sekadar meluahkan rasa.

Semoga Allah mendengar rintihan kami penuntut ilmu di sini.

Tulisan Khairi 30 April lalu

Saya juga merasa kesal dengan kejadian ini dan mendapat tahu ianya juga berlaku pada tahun-tahun sebelumnya, sebelum saya hadir, ke bumi kinanah ini. Denyut nadi dan rintihan pelajar dapat dirasai menyebabkan saya kurang selera nak makan, saya tak mampu nak jawab semua panggilan telefon dengan masalah pelajar perubatan yang masih juga tertunggak sebelum saya ke sini. Justeru, pihak kami sedang berusaha semaksimum mungkin untuk menjernihkan keadaan, buang yang keruh, ambil yang jernih. Saya datang ke sini untuk menyelesaikan masalah dan tidak ada di hati kecil saya perasaan untuk "memilih bulu" dalam menyelesaikan hal pelajar samada perubatan atau pengajian Islam.

Setakat ini, apa yang saya dapati kenyataan hanyalah dibuat secara lisan "bahawa pelajar Qiraat akan dita'jilkan (dilambatkan) mengambil peperiksaan pada bulan Julai" oleh Syeikh Abdul Baqi, Amin al-Aam Majmak al-Bhuth al-Islamiah pada 29 April 2010 (Khamis). Saksi utama ialah Ustaz Sulaiman Zaki.

Justeru, pihak JPMK berusaha sekali lagi dengan mengaturkan pertemuan dengan Syeikh al-Azhar yang baru Dr. Ahmad Tayyib pada hari Selasa 4 Mei 2010.

Syeikh al-Azhar ini merupakan ulamak yang hebat dan mematuhi undang-undang. Sudah tentu dia mempunyai gaya kepimpinan yang tersendiri dari yang sebelumnya.

Untuk makluman, fail pelajar masih lagi di Idaratul Wafidin al-Azhar, hanya menunggu tandatangan dan persetujuan Syeikh al-Azhar.

Mohon kepada pelajar-pelajar solat hajat, agar dibukakan hati Syeikh al-Azhar yang baru ini supaya beliau bersetuju membenarkan pelajar Qiraat mengambil peperiksaan bertulis pada 8 Mei 2010.

Saya menasihatkan pelajar agar mengulang kaji lagi "hafazan al-Quran secara bertulis" sebelum keputusan secara hitam putih dipaparkan di laman web JPMK.

Saya juga sedang mengumpul maklumat dan punca kelewatan dari pelbagai sumber. Jika ada sebarang maklumat sila hantar e-mail kepada irfankhairi08@gmail.com , Harapan saya jangan buat spekulasi tetapi carilah jalan untuk menyelesaikan.

"Anggaplah ini adalah sunnah orang yang berjuang. Semoga al-Quran dapat membentuk akhlak kita semua"

Ikhlas dari;

Khairi bin Jalalluddin
Atase Pendidikan (Akademik)

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal