KAHERAH, 8 Mei - City Star menjadi tempat pertama bagi Unit Hisbah Akhawat memulakan operasi turun padang. Operasi yang bermula jam 9.00 malam melibatkan seramai 13 orang akhawat yang mewakili Unit Operasi Hisbah cawangan BKAN di sekitar Hayyu Sabiek’, 4 orang mutazawijin dan semua AJK Unit Hisbah Pusat sendiri.
Turut serta, Naib Pengerusi HEWI II (Unit Dakwah dan Pembangunan Insan), Saudari Hurriyyah Abdul Mokti. Timbalan Unit Operasi Hisbah Pusat, Saudari Nabilah Misnan bertindak menyusun tenaga kerja bagi melancarkan operasi yang dibuat. Penerangan telah diberikan di Markaz HEWI selepas maghrib oleh Saudara Jamal Najmuddin, selaku Ketua Unit Operasi Hisbah Pusat, merangkap ketua operasi pada malam tersebut.
Sebanyak 4 kumpulan yang ditemani oleh pasangan mutazawijin dibahagikan untuk memantau keadaan di City Star, bagi mengesan individu yang melanggar etika Hisbah bagi diambil tindakan dan diberikan nasihat yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, kebanyakan yang melakukan kesalahan adalah di kalangan ahli Negara Asia Tenggara yang lain.
Unit Hisbah bertindak dengan memberikan nasihat dan pamplet kepada mereka pada malam tersebut. Timbalan Ketua Unit Hisbah Pusat, Saudari Norazura Rahim melahirkan rasa syukur di atas kelancaran operasi yang dibuat yang berakhir pada jam 10.45 malam itu. Beliau mengharapkan mahasiswa dan mahasiswi agar tidak menjadikan pusat-pusat membeli belah atau mana-mana tempat untuk melepak, dating dan sebagainya.
Jauhilah segala agenda maksiat yang hanya akan membawa dosa yang tak terhingga kepada Allah SWT. Semoga segala usaha yang dibuat pada malam tersebut menjadi titik permulaan bagi Unit Hisbah peringkat akhawat untuk melakukan gerak kerja turun padang bagi membanteras gejala sosial yang kian meruncing.
0 comments:
Post a Comment