Sumber : Utusan (link)
CHICAGO 31 Mei — Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama kesal dengan tindakan kejam rejim Zionis yang menyerang kapal aktivis keamanan dalam misi bantuan mereka ke Gaza.
Jurucakap Rumah Putih, Bill Burton berkata, Obama yang dijangka akan menerima lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu esok, kecewa kerana serangan itu mengorbankan nyawa selain mencederakan beberapa aktivis yang menyertai konvoi berkenaan.
Sementara itu, di Moscow, Russia mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan itu sambil menganggapnya sebagai satu pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.
“Moscow mengutuk dan kecewa dengan serangan ini terutama apabila ia melibatkan kematian dan kecederaan konvoi aktivis keamanan.
“Serangan ini jelas telah melanggari undang-undang antarabangsa kerana mereka menyerang orang awam yang tidak bersenjata tanpa sebarang alasan,” kata Kementerian Luar negara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, perantara damai Asia Barat, Tony Blair turut menyatakan rasa kesalnya terhadap apa yang berlaku ke atas konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Saya kesal dan kecewa kerana serangan ini melibatkan kehilangan nyawa,” katanya yang juga merupakan bekas Perdana Menteri Britain.
Dalam perkembangan berkaitan, PBB mengadakan satu mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan tentang serangan yang dilaporkan telah meragut 19 nyawa selain turut mencederakan beberapa aktivis yang menyertai konvoi tersebut.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Lebanon setelah Perdana Menterinya, Saad Hariri menggesa PBB untuk mengadakannya.
“Perdana Menteri telah mengarahkan delegasi Lebanon di PBB untuk mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan tentang apa yang telah berlaku hari ini,” kata seorang pegawai kepada pemberita. - AFP/AP
0 comments:
Post a Comment