18 June 2010

Isu Militan : Sari Berita Lawak.. 6000 Pelajar Mesir Jadi Bahan Lawak


Kerajaan pantau pelajar di luar negara - Jamil Khir

KUALA LUMPUR 16 Jun - Kerajaan sentiasa memantau pergerakan para pelajar yang sedang mengikuti pengajian di luar negara bagi mengelakkan mereka terlibat dengan sebarang kegiatan ekstrem.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pegawai-pegawai di pejabat Kedutaan dan Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) sentiasa berkerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan pelajar Malaysia tidak terlibat dengan gerakan melampau.

"Di Mesir terdapat hampir 6,000 pelajar kita yang sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang terutama agama dan perubatan, sudah tentu mereka terdedah dengan pelbagai aliran dan fahaman perjuangan serta pergerakan atas nama Islam.

"Namun, kita mempunyai pegawai-pegawai yang sentiasa mengawasi dan berkerjasama dengan pelbagai pihak agar pelajar kita tidak terlibat dengan sebarang gerakan yang melampau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama media di Restoran Muzium Kesenian Islam Malaysia, Jalan Perdana, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Aziz Jamaluddin Mohd. Tahir, bekas Pengurus Besar Bernama, Datuk Seri Azman Ujang dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Beliau diminta mengulas kebimbangan kemungkinan para pelajar terutama yang mengikuti pengajian di beberapa negara terutama Mesir, Jordan dan Syria terpengaruh dengan pergerakan ekstrem termasuk kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan baru-baru ini mendedahkan mengenai kumpulan JI yang terdiri daripada warga asing secara aktif cuba merekrut golongan remaja termasuk pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menghidupkan kembali perjuangan mereka.

Menurut Jamil Khir, pihaknya menyedari para pelajar Malaysia mungkin mudah terpengaruh untuk terlibat dengan kumpulan militan itu kerana semangat untuk berjihad dan sebagainya.

"Pelajar tajaan kerajaan tahu batas-batas pergerakan mereka dan lazimnya tidak mahu mempersia-siakan peluang belajar kerana menuntut ilmu itu juga merupakan satu jihad di jalan Allah," katanya.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan perancangan melalui Indeks Petunjuk Prestasi Menteri (MKPI), Jamil Khir berpuas hati kerana sehingga Mei lalu, prestasi keseluruhannya telah mencapai 90 peratus dan mengikut jadual.

Katanya, hanya 10 peratus yang terlewat iaitu pembangunan tanah wakaf dengan 24 daripada 74 projek masih belum dimulakan pembinaannya.

''Tetapi yang lain dapat dilaksanakan dengan baik termasuk penyeragaman undang-undang keluarga Islam, memartabatkan program KAFA, memartabatkan Institut Tahfiz Negara dan Stesen TV al Hijrah yang akan mula dilancarkan pada 7 Disember ini," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal