12 June 2010

Malam Bingkisan Mujahadah - HEWI PMRAM


KAHERAH, 10 Jun: Pimpinan HEWI PMRAM Pusat bersama Penasihat telah berkumpul di Markaz HEWI, dalam satu majlis yang cukup bermakna. Majlis yang dibuat dalam musim imtihan ini adalah bagi memberikan suntikan semangat, pengisian rohani disamping memberi ruang buat pimpinan HEWI PMRAM Pusat untuk sama-sama menautkan dan mengeratkan ukhuwah yang sedia terjalin.

Majlis bermula selepas maghrib, setelah selesai iftor antara pimpinan dan solat maghrib berjemaah. Selepas itu, bacaan yasin dan al-Mulk bergema di ruang legar Markaz HEWI yang bertempat di Hayyu Sabiek itu. Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah pimpinan HEWI yang berada di Kaherah, Penasihat dan mantan HEWI. Majlis yang diberi nama “Malam Bingkisan Mujahadah” itu, dipengerusikan oleh Saudari Hurriyyah Abdul Mokti selaku Naib Pengerusi HEWI II(Unit Dakwah dan Pembangunan Insan).

Saudari Dayang Siti Noraini binti Awang Damit Yahya, yang juga merupakan mantan Penasihat, dijemput khas bagi menyampaikan tazkirah. Beliau menyampaikan pengajaran sirah-sirah Islam dan kekuatan yang ada dalam jiwa umat Islam lampau.Beliau menekankan pesanan Allah yang terkandung di dalam surah Al-Buruj yang mempunyai kaitan dengan peristiwa Ashabul Ukhdud. Bagaimana orang Islam tidak akan disiksa melainkan kerana beriman dengan Allah Ta’ala. Inilah realiti yang bukan sahaja berlaku kepada umat Islam sekarang, bahkan sejak dulu sejarah telah membuktikan.

"Kita menantikan ummat Islam yang bersedia menjadi seperti pemuda di dalam peristiwa yang menyaksikan salah seorang bayi yang boleh berkata-kata. Itulah Pemuda yang menjadi contoh dengan sanggup mengadaikan nyawanya demi kalimah Tauhid yang agung, Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah. Dengan kesyahidannya, semua yang menyaksikan peristiwa itu lantas beriman dengan Tuhan yang disembah oleh pemuda tersebut”,

ujarnya dengan penuh semangat.

Selaku mahasiswi atau muslimah, kita harus mencontohi semangat dan kejituan hati yang ada di dalam jiwa pemuda tersebut. Biarlah kita penat melakukan usaha, memberi idea dan sumbangan, walaupun mungkin tidak digunakan atau diterima pada waktu sekarang, mungkin usaha dan idea itu akan digunakan untuk generasi akan datang.

Sebelum majlis ditangguhkan dengan solat Isya’ dan solat Hajat, beberapa makluman diberikan kepada pimpinan oleh Saudari Ibtisam Mohamad, selaku Naib Pengerusi HEWI I. Turut disampaikan pada majlis tersebut, pesanan Timbalan Pengerusi HEWI oleh pengerusi majlis. Majlis ini cukup bermakna demi kelangsungan ukhuwah dan semangat buat pimpinan untuk memburu kecemerlangan bukan sahaja di dunia bahkan akhirat yang menjadi matlamat utama.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal